Pages

11.11.2010

UPSR- 5A : REKOD YANG TERPECAHKAN

Kali ini bukan resensi karya. Bukan pembedahan puisi. Tetapi saya mahu sampaikan ekspresi gembira dan rasa syukur di sini. Alhamdulillah, adik saya, Sayidah Musfirah Kamarul Shukri telah mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Keputusan begitu sebenarnya memang saya jangkakan dari awal. Memang kadang-kadang beliau sibuk dengan aktiviti kokurikulum, dan tidaklah ulangkaji di rumah bagai nak rak. Tetapi saya percaya, fokus di dalam kelas yang membuatkan segala ilmu itu mudah masuk ke otak.

Adik saya ini agak matang sebenarnya. Mungkin pemilihan dari segi bahan bacaan kami sejak kecil yang jadi acuannya. Saya masih ingat lagi, kami tidak dibenarkan membeli walaupun sebuah majalah hiburan. Dan saya, meskipun dibesarkan oleh nenek kami, turut tidak diasuh sebegitu. Sesekali ada juga saya melanggar pantang itu secara senyap-senyap. Yang jadi geng konspirasi ketika itu ialah adik-adik lelaki saya. Tapi, kerana tidak diasuh meminati benda-benda hiburan sebegitu, lama-lama saya sendiri yang jadi patuh benar pada pantang larang di rumah sehinggalah sudah tua begini.

Maka, sejak jadi taat sebegitu, bahan bacaan saya ialah majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka dan majalah-majalah mendidik yang lain - antara yang masih saya ingat Asuh, Kuntum, Quest dan sebagainya. Doraemon pula komik yang tidak pernah saya tinggalkan kerana ia punya ilmu sains fiksyen. Saya juga mula membaca novel tulisan Sidney Sheldon seawal usia 12 tahun- saya 'rembat' daripada Cik De, ibu saudara saya. Sama seperti adik perempuan saya ini, guru praktikalnya,  (juga rakan saya) memberitahu bahawa dia pernah terlihat adik saya ini mengusung buku yang tebal ke sana ke mari.

"Matang. Macam awak dulu-dulu masa sekolah. Takut saya tengok." Itu gurauan rakan saya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Hafiz.

Cumanya, jujur, yang buat saya agak kurang selesa (saya yakin adik saya pasti membaca entri ini kerana dia antara orang yang rajin jadi 'silent reader' di sini..heheh), dia kelihatan agak mahu 'meniru' saya.

"Awak tahu tak, dalam buku biodatanya, dia tulis, idolanya adalah awak?"beritahu Cikgu Hafiz lagi.

Errkkk~  (-_-')

Sebenarnya bukanlah saya kisah sangat, kerana saya faham dari sudut psikologinya, itulah yang dialami oleh seseorang di peringkat awal remaja. Saya juga begitu dahulu - tapi lupa pula siapa yang saya tiru. Tapi, begitulah, setiap orang punya acuan yang mahu dia tekapkan pada dirinya ketika masih tercari-cari identiti sendiri. Satu hari nanti, secara naturalnya, seseorang itu akan punya identiti sendiri dan pemikiran sendiri. Kita tidak pernah sedar tentang itu. Saya masih ingat dialog dalam filem Finding Nemo. Ketika Marlin ragu-ragu tentang anaknya, Nemo, dia bertanya kepada Squirt, si penyu yang sudah berusia 150 tahun. Lebih kurang begini;

"Bagaimana kita tahu bahawa anak kita sudah dewasa dan matang?" 

"Kita tidak akan pernah tahu. Mereka sendiri yang akan tahu nanti."

Mungkin agak kelakar kerana saya merujuk kepada filem animasi tetapi saya banyak belajar tentang hidup daripada filem-filem yang mendidik sebegitu - saya cerewet memilih cerita yang ingin ditonton.

Jika saya pulang ke Terengganu, seingatnya, saya tidak pernah lokek untuk mendengar pendapat adik-adik saya kerana walaupun mereka muda bertahun-tahun daripada saya, hak seseorang untuk didengar pendapatnya tidak boleh dinafikan. Melainkan saya betul-betul sibuk, ketika itu janganlah diganggu.

Alhamdulillah...Untuk UPSR pada kali ini, saya antara orang yang paling gembira dengan kejayaan adik saya. Semoga terus berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum di sekolah baru. Peringkat yang baru, cabaran juga baru. Pesanan saya, hati-hati memilih kawan, selamat hidup di dunia dan akhirat. Hidup ada jatuh dan bangunnya. Sekali jatuh, sepuluh kalilah bangun. Itulah orang yang berjaya. Dan jangan berjaya dalam pelajaran sahaja kerana ia tak menjamin kejayaan dalam hidup juga. Ramai orang yang cerdik belajar, tapi bodoh dalam kehidupan. Ini sahaja sekadar ingat-ingatan kita semua.

Tahniah sekali lagi! Teruslah berjaya dalam segala bidang yang diceburi.


Saya, Sayidah Mus'ifah (bongsu), Sayidah Musfirah

 * Hey~ Kamu berjaya pecahkan rekod 4A 1B kakak ya~ (^^,)

7 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Pertamanya, tahniah buat Adik Musfirah atas kejayaan yang diraih. Pastinya keluarga sangat bangga dengan kamu.

Keduanya, tahniah juga buat Eja kerana 'mendidik' diri dan adik-adik supaya memilih bahan bacaan yang sesuai.

Benarlah seperti yang dikata, antara yang membentuk peribadi manusia ialah buku yang dibaca dan dengan siapa kita berkawan. =)

engitex said...

alamak..abislah musfirah berdendam kat cikgu nanti ...haha..tahniah musfirah....!!! ..kena tunggu deknorla pecahkan rekod hambe..tapi cam payah je.....

SAYIDAH MU'IZZAH said...

Waalaikumussalam...

Hafiz,alhamdulillah...Semoga adik Musfirah terus membanggakan keluarga..amen ya rabb...

Cikgu Hafiz,

Tak adanya dia berdendam dengan kamu.InsyaAllah..Dik Nor pun boleh buat. Just pray for her okay.

Abesa007 said...

wahhhh tahniah adik kak eja... :P

SaatPenaMenari said...

Salam 'alaik...

Cikgu Hafiz,
Hemm... Dendam??? Tak kot.. Jangan risau cikgu,... Cikgu tetap cikgu. Hehe. Jangan risau. Syukran kathir.

iLhAm.HaFiZ,

Syukran akh... Jazakallahu khairan.


Kakak Sayidah Mu'izzah,

Hak3!!! Orang inila yang apabila nak dekat 21 September masih bermain dan ditegur. Tapi, alhamdulillah, 5A. Jadi, jangan pandang ambe sebelah mata!!!

Sayidah Mu'izzah said...

Musfirah;

Bukan pandang sebelah mata. Ia disebut sebagai ambil berat. SPM ada lagi ok. Jadi jangan buat perangai main-main. Kali ini mungkin nasib menyebelahi kita. Kita tak pernah tahu masa depan macam mana.

Sayidah Mu'izzah said...

Faisal;

Terima kasih, dik! =)