Pages

2.19.2009

HITAM YANG JERNIH

Saya baru melihatnya sebentar tadi. Dia membuatkan saya terpaku seketika. Dia membuatkan saya terdiam sejenak.
Sekilas, memang tiada yang menarik tentangnya. Dia berkulit gelap seperti lumrahnya orang-orang dari Afrika Selatan. Pakaiannya sederhana. Tingkahnya sederhana. Tapi dia memang telah membuatkan saya terpegun seketika.

Dia bernama Mahfouz (mungkin begini ejaannya). Kulitnya memang gelap. Tetapi, apakala memandang tampangnya, perkataan yang bisa keluar dari hati ialah 'pesona'.

Saya mula membanding-bandingkan dia dengan kebanyakan lelaki kulit hitam yang lain. Jauh bezanya. Menilai-nilai pula tampangnya dengan tampang saya sendiri. Jauh jernihnya.

"Graduan dari Universiti Madinah." beritahu kakak senior saya sambil meneguk minuman berkafein yang biasa kami nikmati saban petang.

"Dia cepat tangkap apa yang dia belajar." Beritahu kakak itu lagi.

"Mungkin sebab hatinya bersih." ujar saya pula. Kakak yang seorang itu mengangguk. Tanda setuju bagi saya.

"Yah. Tak semestinya kena handsome baru sedap mata memandang."

Kali ini saya pula yang mengangguk.

Memang tanda setuju. Bahkan sangat setuju kerana ramai lelaki yang kacak perangainya macam sampah. Boleh bayangkan sampah yang dah berulat? Wah, mati dikeronyok saya dengan kenyataan ini. Mungkin kenyataan terlampau. Tapi, ini pendapat saya dan pendapat tidak ada hukuman salah atau betulnya. Different eyes come different evaluation. Dan, perlu realistik, bukan lelaki sahaja yang begitu. Perempuan pun ada yang dua kali lima sepuluh. Adillah kan? Maka tak perlu nak keronyok saya dek kerana perkataan 'sampah' itu.

"Eja, kalau Eja tengok orang, apa yang Eja nilai dulu?"

"Hati."

Tak kira orang itu memang tiada rupa sekali pun, hati lebih penting. Hati yang mencintai Allah akan melukiskan kejernihan pada wajah.

Lagi?

Perlakuan. Tak ada yang pelik-pelik. Tingkah yang sederhana. Pertuturan yang sederhana tetapi bijaksana. Maknanya tak merepek meraban. Ada isi dan ada ilmu. Ilmu dunia dan akhirat. Minta maaf kalau tiba-tiba Eja boleh angkat kaki dengan penuh kesopanan andai orang itu mula merapu. Lebih baik duduk dengan orang yang diam.
(Sebab kadang-kadang saya juga pendiam orangnya. Bukan seorang dua yang pernah 'bengkek' apakala berbual dengan saya kerana menantikan respons verbal.)

Hitam Yang Jernih. Sedap mata memandang kerana hatinya yang bersih.

Entah mengapa saya teringatkan kisah Zaid Bin Harithah. Orangnya berkulit gelap. Dijodohkan dengan Zainab, sepupu kepada Rasulullah SAW. Zainab pengsan ketika mendengarkan khabar itu. Dia tidak mahu dijodohkan dengan Zaid yang baginya tiada rupa dan hitam legam pula wajahnya. Dia menyangka rombongan meminang itu datangnya bagi pihak Rasulullah SAW.

"Dia ahli syurga." Ujar Rasulullah SAW.

Tetap, Zainab tidak mahu. Akhirnya, Zaid dinikahkan dengan Ummu Aiman seorang jariah kesayangan nabi Muhammad SAW.

Dia ahli syurga. Dan apakah yang lebih penting antara rupa dan jaminan itu?

Harapnya Allah SWT jauhkan saya dari cinta dunia. Biar hati bilamana melihat sesuatu, nilaian yang pertama diambil kira adalah pandangan-Nya. Ameen.Doakan saya.

1 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

assalamualaikum w.b.t.

sayidah mu'izzah...
insyaAllah, sekiranya jalan yang dipilih adalah jalan mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi barakahNya. sentiasa berpegang teguh pada iman yang satu, sentiasa menjadi dirimu... ILHAM akan sentiasa menyokong perjalanan hidup dan pilihan sayidah mu'izzah...