Pages

4.17.2009

PETIKAN DARI BLOG USTAZ ZAKARIA SUNGIB

Jumaat lepas, seorang pelajar Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa muncul di Galeri Ilmu Sdn Bhd. Namanya Sayidah Mui’zzah Kamarul Shukri. Nama yang mungkin cuma dikenali sebagai penulis cerpen dan puisi. Karya-karyanya pernah tersiar dalam surat khabar dan majalah.


Pagi itu beliau datang sebagai seorang novelis, kerana novel sulungnya bakal diterbitkan oleh GISB. Novelnya Janji Miftahul Raudhah adalah sebuah novel motivasi remaja.
Mungkin menulis sebuah novel remaja dianggap mudah bagi seorang yang baru meninggalkan alam remaja, khususnya alam persekolahan. Benarkah begitu?


“Saya rasa sukar juga untuk mengingat balik pengalaman zaman sekolah walaupun belum lama ditinggalkan,” akui Sayidah Mui’zzah.

Saya tersenyum.

“Mungkin orang yang paling sesuai menulis tentang dunia remaja ni adalah guru dan mereka yang ada anak remaja,” kata saya.

Biarpun begitu, Janji Miftahul Raudhah tetap mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai sebuah novel yang mengangkat persoalan dunia remaja atau lebih khusus, pergolakan dan perjuangan remaja di alam persekolahan.

Melihat potensi Sayidah Mu’izzah, saya jadi kagum dengan anak-anak muda yang pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR). Beliau adalah mantan MPR 2007 yang pernah menerima bimbingan penulis berkredibiliti seperti Faisal Tehrani dan Nisah Haron.

Novel sulung Sayidah Mu’izzah membawa kisah pelajar bernama Miftahul Raudhah yang dibayangi janji kepada kakaknya Jannah sebelum Jannah melanjutkan pelajaran ke Glasgow. Satu ketika, berlaku tragedi di Glasgow dan sejak itu, semangat Miftahul Raudhah semakin kuat untuk menunaikan janji itu. Lebih-lebih lagi setelah berlaku kejutan psikologi pada mamanya. Untuk memenuhi janjinya, Miftahul Raudhah sanggup mengubah cita-citanya. Dia sanggup memilih bidang pengajian yang sama sekali asing baginya.

Tragedi di Glasgow mengganggu ketenangan mereka sekeluarga. Namun, Miftahul Raudhah tidak pula menyangka, angkara Tiga Minah Pengacau di sekolah, berakhir dengan satu lagi tragedi dalam hidupnya.

"Secara keseluruhannya, cerita ini baik: sarat dengan pengajaran." Begitu komen rakan editor, Puan Suraiya Pauzi.

0 Bicara Balas.: