4.12.2010
SUAMI BUKAN TUAN BESAR, ISTERI BUKAN ORANG GAJI DAN SEBALIKNYA
MENGINJAK ke- usia hampir 23 tahun, soal-soal urusan perkahwinan sudah kerap menyentuh pendengaran saya. Apatah lagi, kebanyakan sahabat juga sudah mendirikan masjid dan sudah ada yang punya dua-tiga-empat orang anak. Sahabat-sahabat yang baru saya kenal juga kebanyakan berada dalam golongan 'suami dan isteri orang juga ibu dan bapa orang'.
Berbicara soal rumahtangga, bagi saya yang masih bujang ini tentulah tidak arif mana. Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa saya belum selayaknya membicarakan perkara ini. Tetapi, saya seorang pengkaji manusia dan tidak bias dalam mentafsir seseorang. Saya sudah terbiasa membaca orang dalam diam dan menulis tentang seseorang dalam karya-karya saya, baik puisi, cerpen mahupun novel. Jika lembut orang itu, maka lembutlah keperibadian yang saya cerapkan pada watak dalam karya saya itu. Dan berkenaan soal perkahwinan, kerana saya suka membaca, maka sejak kecil lagi, sejak usia saya 9 tahun, saya sudah menghadam isu-isu perkahwinan daripada majalah. Yang paling kerap dibeli oleh ibu saudara (saya dibesarkan oleh nenek sejak bayi sehingga fasa akhir sekolah menengah), ialah NONA, WANITA dan JELITA.
Masalah yang kerap kali ditekankan dalam sesebuah perkahwinan ialah masalah KOMUNIKASI. Dan ia menyedarkan saya bahawa benarlah seperti kata pujangga bahawa lidah itu lebih tajam daripada pedang dan kata pujanga itu bukanlah memfokuskan 'kelaseran' mulut sahaja, tetapi cara kita berinteraksi dengan seseorang.
Saya masih ingat, ketika kecil, saya ada membaca dialog pada kartun dalam sebuah majalah. Mesejnya sangat ringkas. Begini bunyinya:
(Situasi: Suami meminta isterinya bancuhkan kopi untuk dirinya)
Situasi A
S: Mah, buatkan air untuk abang.
Situasi B
S: Mah, tolong buatkan kopi untuk abang. Manis-manis ya, manis macam Mah.
[Kartun perempuan itu tersenyum manja]
Antara dua situasi itu, tentulah situasi B yang lebih manis.
Memang apa yang saya lihat dan dengar, kebanyakan suami gemar berkasar dengan isteri. Sejak lama dahulu, ada sahaja berita yang memaparkan suami berkasar dengan isteri. Cuma pada hari ini, sesetengah wanita mengalami revolusi dengan menterbalikkan kebiasaan kekasaran seorang suami ke dalam dirinya. Mungkin kerana wanita pada hari ini memiliki pendidikan dan pengetahuan yang baik berbanding pada zaman dahulu, maka mereka berasakan bahawa mereka tidak boleh ditindas terus-terusan oleh kaum lelaki.
Dalam hal ini, tidak haruslah saling menuding jari. Suami atau isteri harus berlembut dengan pasangan masing-masing. Saling bertolak-ansur itu juga sangat penting. Mengalah juga perlu dan ia tidaklah melambangkan kekalahan sesiapa. Ego perlu diturunkan tanpa mencalar kewibawaan kerana ada manusia yang sangat menjaga egonya tanpa dia menyedari bahawa kewibawaannya sebenarnya lebih teruk daripada tercalar.Apalah salahnya sedar bahawa diri masing-masing tidak pernah sempurna, dan perkahwinan itu sebenarnya yang saling melengkapkan kekurangan yang ada pada diri sendiri? Belum pernah ada dalam sejarah orang yang meminta maaf itu akan mati atau ditimpa bala. Jadi ringankan mulut untuk meminta maaf.
Rasulullah adalah contoh terbaik dalam alam berumahtangga. Saya tidak mahu bercakap hal berpoligami kerana Rasulullah itu seorang rasul yang keadilannya sudah dijamin oleh Allah SWT. Sementelah, masyarakat di Malaysia sangat alergi dengan perkahwinan poligami ini, maka tolakkan ke tepi soal itu di sini kerana saya sendiri ingin membicarakan soal kelembutan baginda dalam melayan dan mendidik isteri-isteri baginda.
Hal kelembutan Rasulullah SWT itu sepatutnya dicontohi oleh para suami dan para isteri dan bukanlah ditujukan kepada kaum lelaki sahaja.
Mahu minta sesuatu daripada pasangan, mintalah dengan kelembutan dan kasih sayang. Kalau isteri kelihatan sangat sibuk dengan tanggungjawabnya yang lain, yang mungkin dalam keadaan genting, maka sesekali mengalahlah dengan melakukan tugasan rumah itu sendiri. Jika pasangan lupa akan sesuatu, contohnya lupa mahu lihat jam, pukul berapa suami mahu keluar bekerja, tidak rugi mengingatkan isteri tentang itu. Kalau suami lupa tarikh-tarikh penting dalam hubungan, merajuk pun biarlah merajuk yang jauh sekali daripada berkasar dengan suami dan ingatkanlah suami itu tentang perkara yang dia lupa.
Bukankah dalam al-Quran ada menyatakan bahawa, Islam itu adalah agama yang menganjurkan usaha untuk saling mengingatkan tentang kebaikan dalam kesabaran? Al-Quran tidak hanya menyatakan hal-hal solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Tidak hanya menyentuh soal jual dan beli mengikut hukum syarak.
Perkara yang saya tidak faham, adalah sesetengah orang, yang solatnya tidak pernah tinggal, puasanya memang 'two thumbs up', pagi, petang , siang, malam di masjid, setiap tahun zakat tidak pernah tidak bayar, haji naik berkali-kali macam main dam haji saja lagaknya sebab sudah banyak kali sangat pergi haji, tetapi dalam soal rumahtangga, mereka tidak mampu menjaganya. Soal ibadah yang lima itu, dijaga dengan sangat sempurna, tetapi soal ibadah dalam berumahtangga, hancur hampas kelapa.
Menjaga keharmonian rumahtangga itu juga ibadah. Kalau tidak ada kemesraan dalam keluarga, anak-anak yang sudah dewasa pun jadi sangat liat mahu pulang ke rumah. Kalau hari-hari dalam rumah suami tengking isteri, isteri tinggikan suara pada suami, suami sepak isteri, isteri lempang suami, anak-anak kena bedal, kena marah tak henti-henti, jadilah rumahku nerakaku, aku mahu keluar tak mahu balik-balik dah.
Kadang-kadang kita rasa kita sudah berikan kasih sayang dan sudah jalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, tetapi kita sebenarnya silap kerana kita kabur apa makna kasih sayang dan juga apa makna tanggungjawab sebab kasih sayang dan tanggungjawab itu merupakan perkara yang sama, tetapi sangat berbeza.
Contoh, menghulurkan wang belanja dapur itu 80% tanggungjawab dan 20%kasih sayang, tetapi bertanyakan kesihatan itu, 90% kasih sayang dan 10% tanggungjawab.
Atau membancuh kopi itu 80% tanggungjawab dan 20%kasih sayang, menghidangkan kopi yang sedap itu, yang meresap ke dalam jiwa adalah 90% kasih sayang dan 10 % tanggungjawab.
Wallahu'alam.
Semoga saya sendiri beroleh suami yang bukan hanya ibadah yang lainnya 'two thumbs up' tetapi sangat lembut melayan dan mendidik saya. Ameen ya Rabb!
Labels:
Perspektif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Bicara Balas.:
Assalamualaikum w.b.t.
Sayidah Mu'izzah,
Insya-Allah... Saya akan sentiasa doakan yang terbaik untuk awak.
Tidak dinafikan, ada juga di kalangan teman-teman saya yang sangat berjaya dalam segala hal, tetapi ada suatu hal yang mereka mungkin terlepas pandang. Hal dalam pengurusan rumahtangga. Natijahnya, berlaku perceraian dan sebagainya.
Pengurusan sangat penting, selain daripada ilmu agama dan lain-lain yang diterapkan dalam sesebuah keluarga.
Apapun, semoga kita semua dilindungi dari sebarang musibah yang awak nyatakan dalam entri kali ini.
Entri ini juga saya anggap sebagai peringatan kepada diri saya supaya 'mendalami' hati seorang isteri. =)
Waalaikumussalam Hafiz,
Benar sekali pendapat anda itu. Alhamdulillah, setakat ini kawan-kawan saya yang sudah berkahwin, masih kekal masjid yang mereka bina itu.
Apa pun, wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung, atau daripada kaki untuk dijadikan alas tetapi daripada rusuk, dekat di hati untuk disayangi dan dekat di bahu untuk dilindungi.
Itu petikan lagu nasyid yang saya dengar. Maka relevannya begitu.
Renung-renungkan. =)
Post a Comment