Pages

8.31.2010

CATATAN PADA ULANGTAHUN MERDEKA KE-53

ULANGTAHUN MERDEKA lagi. Alhamdulillah untuk kemerdekaan negara yang masih kekal ini. Alhamdulillah kerana di sini ialah Malaysia yang tidak lagi dijajah (Hurm...secara harfiahnya).

Seperti tahun-tahun yang lepas, saya memang tidak pernah keluar menyambut hari kemerdekaan di Dataran Merdeka. Memang saya tidak pernah punya keberanian untuk itu. Bukan kerana tidak menghargai kemerdekaan tanah air, tetapi prinsip saya, tidak perlulah untuk saya keluar dan sipi-sipi menjahanamkan diri di luar pada malam merdeka kerana kebanyakan perkataan MERDEKA itu hanya dilolongkan tanpa makna bagi sesetengah pemuda-pemudi di kota tanpa tidur, Kuala Lumpur.

Menghabiskan masa menikmati kopi sambil berbincang soal masyarakat dan sastera bersama-sama dua orang teman seperjuangan, juga mencatat idea yang memang sentiasa datang tanpa duga, perbualan kami sangat terganggu oleh bunyi motosikal yang ditekan pedal minyaknya. Ah, budak-budak motor yang sudah penat saya doakan agar berubah laku! Bingit sekali! Didoakan jadi baik pun bagaikan salah, didoakan mati awal-awal agar tidak menyusahkan orang lain pun salah . Semuanya serba-salah. Malas mahu menyesakkan fikiran yang sedia sudah terbeban ini, saya cuba juga menulikan telinga. Ada perkara yang harus saya dahulukan di fikiran; soal mencari wang bagi biaya kehidupan di Kuala Lumpur sahaja sudah cukup memusingkan kepala, soal pelajaran yang kadang-kadang terganggu dek gastrik juga perlu hati yang kuat, soal kertas kerja yang belum siap-siap lagi tambah pening, soal sinopsis novel yang belum usai juga bikin runsing. Merempitlah kalian sebodoh-bodohnya sehingga memerdekakan nyawa dari jasad, saya tidak peduli.

Tetapi dalam tidak mahu berfikir terlintas juga, ini baru di kawasan Gombak. Kawasan yang masih ada hutan belukar. Belum lagi di pusat kota raya. Jadi kalau sudah begitu rupanya di Gombak, tidaklah berbaloi kalau ke Dataran Merdeka. Setakat melolong-lolong, bagi saya itu perkerjaan yang sangat sia-sia. Tidur adalah lebih bermakna.

MERDEKA lebih bererti jika ia di minda dan hati. Setelah itu, ia akan dibawa kepada perlakuan pula. Semangat merdeka bukan sahaja pada 31 Ogos, tetapi hari-hari kita perlu untuk merdeka dari sekecil-kecil hal kepada sebesar-besar perkara. Merdeka tidak membawa maksud kita harus berjuang di medan perang. Tetapi merdeka bermaksud.....

Ah..penat...penat...lelah tersangatlah lelah...termasuk hari ini bicara soal merdeka, dalam tempoh 53 tahun, bermula daripada moyang kepada moyang kepada moyang kepada moyang dan seterusnya sehingga sampai kepada saya,  masih sesetengah orang tidak melakukan hal yang merdeka apatah lagi berfikiran waras tentang merdeka. Saya malas dan penat untuk mendefinisikan merdeka di sini.

Tetapi merdeka cara saya adalah, punya jati diri sebagai orang Melayu dan Muslim, berjuang dalam setiap perkara yang memajukan, memerdekakan diri dengan memiliki prinsip diri yang utuh dan tidak tergoyahkan oleh orang lain, juga berjuang untuk memerdekakan masyarakat menerusi karya yang berilmu. Itulah merdeka.

Definisi ANAK MERDEKA pula pada pandangan peribadi saya adalah budak ini:

Gambar ini dicuplik daripada FB tuannya. Heheheh ;p


MUHAMMAD SYARAFI KAMARUL SHUKRI
SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-18!
SEMOGA SENTIASA MENJADI SEORANG MANUSIA.

KEPADA SEMUA PEMBACA;
SALAM MERDEKA, SALAM RAMADHAN.
PUASA ITU  MERDEKA. MERDEKA DARIPADA NAFSU.
MENJADI MANUSIA ITU MERDEKA.
MERDEKA DARIPADA BERSIFAT SYAITAN DAN BINATANG.

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Eja,
Sungguh benar bagai dikata, MERDEKA itu entah apalah maknanya bagi mereka.

Apapun, saya doakan segala yang terbaik buat awak. Setiap dari kita punya ujian dan pasti kita punya cara tersendiri untuk menyelesaikannya.

Semoga terus tabah jalani hidup di kota tanpa tidur ini. =)

kojah said...

hai eja...

salam merdeka!

=)