Pages

8.21.2010

FILEM : KETIKA CINTA BERTASBIH v. AYAT-AYAT CINTA

MUNGKIN saja saya telat meresensikan filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) sementelah waktu tayangannya sudah menjangkau setahun sejak mula ditayangkan pada 19 Jun 2009. Ya, saya telat menontonnya. Namun, bersyukur juga kerana masih diberikan peluang untuk menonton filem tersebut yang pada perkiraan saya, mesej Islaminya lebih padat berbanding filem Ayat-ayat Cinta (ACC) yang datangnya daripada seorang penulis yang sama iaitu Ustaz Habiburrahman El-Shirazy.

Pada karya pertama Ustaz Habiburrahman, iaitu ACC, kepuasan membaca dan menikmati dakwah lebih menjuruskan kepada novelnya berbanding filemnya. Entah mengapa pada selera peribadi saya, filem ACC masih punya lompang yang tidak terisi bahkan tidak berapa padat. Cintanya lebih menjurus kepada cinta sesama manusia. Itu merupakan perkara yang membuatkan saya tidak puas menonton filem tersebut.

Namun, dalam KCB, lain pula ceritanya. Kepuasan lebih menyerlah dengan kepadatan unsur dakwah sehingga saya berulang kali menonton bahagian-bahagian tertentu pada filem tersebut untuk menghayati ilmu yang disampaikannya baik secara lisan mahu pun bahasa tubuh pemain-pemain filem ini.



Watak utama KCB, Abdullah Khaerul Azzam yang diperankan oleh Kholidi Asadil Alam lebih realistik berbanding watak Fahri dalam ACC yang tiada cacat-celanya langsung. Watak Abdullah Khaerul Azzam disisipkan sedikit kelemahan manusiawinya iaitu kelewatan graduasi dari Al-Azhar. Namun, kelemahan itu diadun secara relevan dengan sebab yang munasabah iaitu kelewatan itu disebabkan oleh tanggungjawabnya terhadap keluarga. Abdullah Khaerul Azzam terpaksa menjual Bakso dan Tempe juga menjadi tukang masak di Cairo, Mesir, demi membiayai kehidupan keluarganya di Kartasura, Jawa Tengah, Indonesia. Inilah ruang lompang yang diisi padat dalam KCB berbanding ACC. Memang dalam ACC, watak Fahri juga merupakan watak pemuda yang tidak senang, namun lompangnya adalah ia tidak punya sebab yang dilihat kemas dan padat.

Selain itu, hal yang realistik adalah perjalanan Abdullah Khaerul Azzam dalam mencari jodoh. Jika dalam ACC, majoriti wanita dalam filem itu mahu Fahri menjadi suami mereka, dalam KCB halangan dan dugaan yang dihadapi oleh watak utamanya kelihatan benar sekali dan tiada yang pura-pura padanya.

Pada filem KCB juga, unsur Islaminya dinilai lebih menyeluruh. Jika dalam ACC, isu yang lebih menonjol adalah isu poligami sehingga menenggelamkan isu lain yang cuba diangkat, namun dalam KCB ilmu-ilmu yang ditonjolkan lebih bersifat ringan dan menyusup masuk ke dalam jiwa penonton. Dipermudahkan, tiada ilmu yang menutup keserlahan ilmu yang lain. Namun, saya tidak boleh menilai filem ACC sebagai filem yang cacat juga kerana mungkin atmosfera kisahnya memang bertujuan mengangkat tema poligami sebagai salah satu cabang topik dalam ilmu munakahat (nikah kahwin) supaya dimengerti konsepnya.

Selain itu, kecintaan pada Allah SWT juga lebih menonjol dalam KCB. Kesabaran,keredaan dan keikhlasan watak-wataknya dalam menerima tarbiah daripada Allah SWT telah menonjolkan konsep sebenar beriman kepada Tuhan Azza Wa Jalla. Sebagai contoh, watak Anna Althafunnisa yang dibawa oleh Oki Setiana Dewi dan Abdullah Khaerul Azzam yang sebenarnya mencintai antara satu sama lain, namun masing-masing reda dengan perkahwinan antara Anna dan Furqan (Andi Arsyil Rahman). Kemudian, kekuasaan Allah SWT ditunjukkan pada perjalanan mereka setelah itu yang akhirnya membawa kepada perkahwinan Anna Althafunnisa dan Abdullah Khaerul Azzam. Jalan ceritanya dijalin dengan cantik sekali tanpa membiarkan sesuatu isu dilompat-lompatkan sehingga mengakibatkan kelompangan.

Semangat persahabatan juga dapat dirasai antara Abdullah Khaerul Azzam, Anna Althafunnisa, Furqan, Ayatul Husna (Meyda Sefira) dan Elliana (Alice Norin) baik di Mesir juga di Indonesia. Semangat kekeluargaan juga turut ditonjolkan dalam setiap keluarga yang ada dalam filem ini yang menjurus kepada sakinah fiddunya wal akhirah.

Penghayatan Islam dalam KCB lebih dirasai mungkin kerana sistem audisi yang dijalankan untuk mencari pemain-pemain filemnya. Jika dilihat, para pemainnya kelihatan punya latarbelakang agama contohnya Oki Setiana Dewi dan Meyda Sefira yang sememangnya bertudung baik dalam penggambaran mahupun di luar penggambaran. Manakala Kholidi Asadil Alam atau lebih dekat dipanggil Odi ini kelihatan juga seperti orang yang tahu agama sehingga dipertanggungjawabkan untuk melaungkan azan di RCTI, yang merupakan stesen televisyen swasta pertama di Indonesia. Watak Kiyai Haji Lutfi juga sangat cocok dengan Deddy Mizwar (yang lebih saya kenali dengan nama Haji Romli dalam Sinetron Kiamat Sudah Dekat). Apa pun pemilihan watak-wataknya sesuai dan berpadanan dengan pameran wajah masing-masing.

Saya kira tidak keterlampauan jika saya katakan udara KCB lebih tenang. Untuk ACC, filemnya juga bagus kerana punya ilmu namun dari segi kekemasan jalinan cerita, KCB lebih menyerlah.

Kepada yang belum menonton KCB, tontonlah dan buatlah penilaian sendiri. Ia sebuah filem yang bagus buat pencinta ilmu dan kebaikan.

4 Bicara Balas.:

iLhAm.HaFiZ said...

Assalamualaikum...

Eja,
Insya-Allah... Nanti saya tengok. Teringin juga nak tahu apa kisahnya. Hehehe... Terima kasih kerana berkongsi. =)

BiLA PenA bERbicAra said...

Waalaikumussalam...

Sama-sama.
Tontonlah. Sangat banyak ilmu padanya.Itu filem yang mendidik.Setiap jalannya punya mesej mengingati Allah SWT.

iLhAm.HaFiZ said...

Salam...

Eja,
Saya sudah selesai menonton KCB1 dan KCB2. Benar apa yang awak cakap, alhamdulillah, ada banyak ilmu yang boleh dikutip. Namun, bagi saya, tetap ada sedikit kelompongan yang mungkin disengajakan atau tidak, itu saya serahkan kepada pengarah dan penerbit filem tersebut.

Saya kurang bersetuju dengan salah satu babak dalam filem KCB2, di mana Anna tidak memberikan peluang kepada Furqan untuk menyatakan hal sebenar yang berlaku ketika mereka akhirnya bercerai di hotel tersebut. Sedangkan bagi saya, Furqan berhak untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya kepada Anna.

Juga, untuk mematikan sesuatu watak, dengan menggunakan kaedah kemalangan dan akhirnya watak itu meninggal dunia juga menjadikan ianya klise. Ya, mungkin dengan kematian ibu Azzam, ia membuatkan emosi kita sebagai penonton terusik. Tetapi, tetap saya merasakan bahawa ada cara lain lagi untuk mematikan watak itu.

Buat masa ini, setakat ini dulu. Hanya pandangan dan perkongsian kerdil dari saya. =)

BiLA PenA bERbicAra said...

Salam Hafiz,

Alhamdulillah...Saudara peroleh ilmu daripada KCB. Semoga ia memberi manfaat kepada saudara.

Untuk komen saudara,

Ya,Anna tidak adil kepada Furqan dalam KCB.Di situ mungkin ada kurangnya namun saya tidak melihat itu sebagai kelompangan kerana ia merupakan penonjolan sifat seorang manusia yang lemah.Di sini, wataknya tidak menjadi sempurna maka bagi saya ia adil bagi watak Anna bahkan bagi penonton juga yang kebanyakannya tidak gemar akan watak yang sungguh sempurna sedangkan tiada manusia yang sempurna.

Adegan kematian yang disebabkan oleh kemalangan, ya, saya berkongsi pendapat yang serupa dengan saudara.Mungkin pengarang boleh mencari cara yang lain bagi mematikan watak ibu Azzam.

Terima kasih kerana sudi memberi pandangan untuk KCB di sini.