Pages

1.13.2011

AKU

TAJUK nampak macam selfish kan? Anggap sahaja begitu jika mahu. Jika tak mahu pun, okey. Dua-dua pun aku ucapkan terima kasih.


Aku sudah buat keputusan. Mahu mengubah gaya penulisan di blog. Sebelum ini bahasa diri yang aku gunakan adalah nama panggilanku, juga kata ganti diri pertama 'saya'. Selepas ini aku mahu gunakan kata 'aku'.


Aku rasa lebih selesa. Aku rasa lebih tegas.


Aku mahu orang melihat bahawa dalam diamku ada ketegasan. Dan dalam diamku, aku boleh sahaja jadi orang yang tahu bersuara. Aku tidak mahu orang menyangka aku sebagai perempuan yang lemah-lembut. Yang kadang-kadang boleh dipijak-pijak. Atau boleh diperlakukan apa sahaja dan aku akan terus diam dengan baik hatinya. 

Cuma yang aku tidak mahu, yang aku minta agar Allah swt jauhkan aku daripadanya ialah tahu memaki-hamun orang kerana lidah adalah lebih tajam daripada mata pedang. Luka di hati manusia biarpun bisa sembuh, parutnya terlalu payah untuk hilang.


Hidup dengan ujian buat aku rasa lebih kuat. Itu yang aku rasakan sekarang. Aku rasa sangat kuat pada hati. Tuhan telah tunjukkan pada aku jalan dan pengertian bahawa walau ke mana pun aku pergi dan apa pun yang datang kepada aku, aku harus hadapinya tanpa berpaling atau berdolak-dalih sedikit pun. Kalau ada yang tiba-tiba menolakku, aku harus terus bertahan seperti empangan yang menahan air. Ya, seperti empangan, kerana bagaimana aku bisa punya kekuatan sempurna sedangkan aku adalah hamba Tuhan? Hanya Tuhan sahaja yang sempurna seluruh alam.

Kalau pun ada kejayaan atau kegembiraan yang datang menerpa ke arahku lalu memelukku erat, aku harus longgarkan pelukan itu. Aku tidak harus lemas dalam pelukannya. Ia bermakna bahawa aku menggali liang lahadku sendiri. Seperti kata Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, pujian itu ibarat mata pisau yang tajam yang terhunus di leher. Begitulah lebih kurangnya kata-kata sasterawan negara itu yang diucapkan kepadaku oleh seorang guru yang kupanggil Cikgu Senu. Beliaulah mentorku ketika terlibat dalam Akademi Sastera 2010. Ya, kejayaan dan kegembiraan juga adalah ujian.

Dan, ujian pula tanda Tuhan masih ingat padaku. Cerita Ma aku yang aku simpan kemas-kemas dalam fikiran, sahabat-sahabat nabi akan menangis jika Tuhan tidak menguji mereka. Mereka takut benar jika Tuhan sudah lupakan mereka. Jadi, pesan Ma kepadaku, jangan pernah lalai dalam setiap keadaan sama ada dalam keadaan duka mahupun gembira. Juga jangan pernah persoalkan Tuhan dalam menghadapi dugaan keranaTuhan tidak akan menguji seseorang itu melebihi kemampuannya. Jangan pernah menyangka bahawa ujian yang diturunkan Tuhan kepada kita itu lebih berat daripada orang lain. Ada orang yang lebih besar ujiannya daripada kita. Lain orang, lain ujiannya.


Ujian itu tarbiah dan kifarah. Didikan bagi manusia untuk menghadapi hari mendatang yang lebih pelbagai cabarannya. Kifarah bagi mengurangkan bebanan dosa. Alhamdulillahi ala kulli hal.



*Teringat nasihat seorang kawan sekolah apabila aku cuba-cuba guna panggilan diri 'aku'
"Sayidah, jangan guna 'aku' sebab tak sesuai dengan Sayidah yang lembut. Sayidah dengar macam jahat bila bahasakan diri macam tu." Rindu kamu Nurul Izzah Alias! Aku terpaksa untuk tak dengar nasihatmu. Tapi kurang-kurang dalam 8 tahun kita bersahabat, aku patuh dengan nasihat itu.*

0 Bicara Balas.: