Pages

2.04.2011

KEBAIKAN HATI ADALAH PUNCAK PERASAAN INSAN

Assalamualaikum wbt...

Aku sudah deactivate FB aku sekali lagi semalam. Namun, aku aktifkan kembali setelah Tuhan jentikkan aku ingatan pada seorang sahabat yang kini berada di Kaherah, Mesir. Beliau sedang melawat kota purba itu bagi menghabiskan masa cutinya.

Dan, kota Firaun itu pun bergolak.

Rusuh politiknya jadi gawat.

Aku cuba-cuba intai sahabatku ini di FBnya. Nyata, beliau selamat. Alhamdulillah... Namun, aku masih gusar dengan keadaan yang tidak menentu di sana. Dengan talian komunikasinya yang dimatikan, urusan perbankan yang dihentikan, juga perintah berkurung itu, buat sesiapa sahaja yang punya anak, saudara, sahabat dan apa sahaja hubungan kemanusiaan, jadi resah.

Doktor Faisal. Itu yang kugelarkan padanya sementelah beliau seorang pelajar perubatan di Volgograd, Russia. Bukan sekadar gelaran tetapi itu juga kuanggap doa untuknya semoga beliau jadi doktor yang berjaya dunia dan akhirat. Persahabatan kami sudah masuk ke usia 11 tahun jika ikut kiraan dari darjah 5. Tapi aku rasa, aku kenal beliau sebelum darjah 5 lagi. Sehingga kini kami masih berkawan baik walaupun terputus hubungan beberapa tahun lepas. Beliau juga antara sahabat yang sentiasa sudi membantu aku dalam mencari maklumat tentang bidang perubatan dalam usaha mengusaikan kerja penulisanku.

Dalam waktu gawat ini, aku belajar sesuatu yang baharu daripada persahabatan kami. Dalam waktu beliau jauh di bumi Mesir yang sedang bergolak, dengan keluh-kesah memikirkan keadaan kewangan untuk melalui pemindahan dari Kaherah - Jeddah - Kuala Lumpur - Moscow, aku adalah sahabat yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengirim doa.

Aku katakan pada beliau, aku tiada mampu membantu dari segi kewangan. Tetapi, doaku sentiasa ada untuknya juga umat Islam yang lain. 

Beliau menulis sesuatu di status FBku, "Kalau nak deactivate, jangan sampai lost contact eh..saya tak nak kehilangan seorang sahabat seperti anda.."

Aku berjeda sebentar dan memusing-musingkan bulat fikir yang tidak sebesar mana. Teringat pesan ummi agar berbuat baik kepada semua orang. Dan kata-kata Doktor Faisal adalah buktinya. Oh, lisan ummi terlalu sakti!

Kata-kata Doktor Faisal buat aku tahu bahawa dalam persahabatan, seringkas kata boleh jadi penawar mujarab rusuh diri, juga mampu jadi bisa membunuh nyawa percaya dan kebaikan hati walaupun seculin, adalah segala-galanya.

Kebaikan hati itu adalah puncak perasaan insan. Cinta dan kasih sayang itu datang dari sana. Ikhlas dan kemaafan juga datang dari sana. Ia terlalu tinggi dan untuk tiba, manusia memang perlu mendaki gunung fikir. Kalau gelincir, harus teguh berpaut pada tali akal. Kerana hati dan akal itu harus sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan.

Kebaikan hati juga tiada corak tagihan balasan. Ia putih seperti awan. Kalaupun rapuh, ia cuma ada tangisan. Dan tangisan itu bukan sendu lemah. Ia sekadar guyuran kecewa yang tidak lama, jatuh ke bumi dan kemudian kembali ke langit, muncul lagi sebagai kebaikan hati.



*Sesudah hujan, bianglala tersenyum. 
Kamu semua sahabatku, adalah warna-warninya yang tiada jalur tambah.

6 Bicara Balas.:

Anonymous said...

salam..

hati-hati menjaga hati...nanti dimurkai oleh Pemberi Hati..

Sayidah Mu'izzah said...

Sekamar Rindu

Salam kembali...

Hati adalah bahagian paling payah untuk dijaga. Ya, hati-hati menjaga hati.

Terima kasih sudi menyinggah. =)

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum Eja,

Sungguh benar apa yang dikata. Bagus entri yang ini. Dan kepada sahabatmu itu, saya doakan agar beliau selamat, insya-Allah. Amin Ya Rabb.

Sayidah Mu'izzah said...

Waalaikumussalam Hafiz,

Insya-Allah...Mudah-mudahan. Beliau akan pulang ke Moscow esok. Doakan perjalanan beliau selamat sentiasa. Ameen ya Rabb.

hanaahmad said...

salam. entry yg bagus. moga kawan selamat. kawan saya ada dua orang di sana. sama2 kita doakan.

Sayidah Mu'izzah said...

Hana Ahmad

Salam kembali...

InsyaAllah... Sama-sama doakan agar sahabat kita semua selamat dan dilindungi Allah swt. Ameen ya Rabb.