Pages

3.26.2011

PEMIMPIN v. AHLI POLITIK

Assalamualaikum...

Aku memerhati kehuru-haraan politik sejak aku bergelar budak hingusan. Tetapi aku tidak memberi apa-apa kenyataan kepada sesiapa pun. Siapa mahu mendengar kenyataan seorang budak bukan? Maka, diam lebih baik.

Tetapi, kini aku sudah lewat akhir remaja kalau diikut kiraan psikologi. Bahkan, kalau budak sekolah memberi pendapat tentang politik pun, aku kira, pendapatnya harus didengar kerana mahu atau tidak, orang-orang tua kini tidak harus berasa perit untuk menerima kenyataan bahawa remaja pada hari ini pengetahuannya lebih luas. Ini bukan zaman radio semata. Bukan zaman televisyen kotak. Bukan zaman telegram atau mengutus surat. Ini zaman maklumat di hujung jari. Maka, sabda Rasulullah saw itu sangatlah benar "Didik anak harus mengikut zamannya." Tetapi, ya terpulang untuk mendengar atau tidak kerana aku juga tidak dapat menolak bahawa orang tua kebanyakannya pongah dan bongkak untuk mendengar kata-kata yang muda. Dikiranya cuma jumlah garam yang ditelan. Tetapi itulah pegangan aku; mendengar apa yang diperkatakan dan bukan siapa yang memperkatakan.

Video Lucah Dan Dosa Politik . Ini adalah salah satu pautan bacaan aku sebentar tadi. Aku tidak menyokong sesiapa atau mana-mana parti politik kerana apa yang aku pegang adalah, mendengar kepada apa yang diperkatakan dan bukan siapa yang memperkatakannya.
Apa yang diperkatakan di Blog Dr. MAZA adalah benar. (sila baca untuk maklumat lanjut). Dunia politik sekarang, bahkan sebenarnya dari dahulu hanya tahu mengaibkan ahlinya dengan isu seks dan lucah. Perkara aib dan mengaibkan itu memang amat mudah menjadi bahan (lapuk) untuk menjatuhkan orang lain sehingga khalayak jadi jemu dengan kekecohan itu.

Pokok utama yang menjadikan perkara ini seolah-olah trend politik ialah, pucuk pimpinan kita bukan lagi diterajui oleh pemimpin tetapi politikus. Dan politikus ini pula sekular pandangannya. Buktinya, apabila salah seorang politikus membuat kenyataan "Apabila agama dan politik dicampuradukkan, itu sangat bahaya."

Itu pandangan sekular yang pernah dikeluarkan oleh salah seorang ahli politik Mesir iaitu Ali Abdul Raziq dalam bukunya Al-Islam wa Usul al-Hukum, 1925. Ali Abdul Raziq menjelaskan bahawa politik dan agama itu merupakan dua perkara berbeza yang harus dipisahkan. Rasulullah saw itu diutuskan hanya untuk menjaga akhlak manusia dan bukannya seorang pemimpin. Inilah pandangan sekular ahli politik.
Ini adalah orang yang tidak memahami sejarah Islam. Ini orang yang tidak memerhatikan bagaimana kehebatan Piagam Madinah membentuk sebuah negara yang makmur. Maka, lihatlah politik Mesir pada hari ini.

Ya, politik tanpa agama memang akan jadi sangat kucar-kacir. Bukan sahaja politik, tetapi hidup itu sendiri sebenarnya.

Semalam pula, di FB, aku baru sahaja menyingkir seorang ahli politik dari senarai rakan. Bahasanya kesat. Kata-katanya memperlekehkan orang lain dengan menyoal tahap kecemerlangan akademik orang itu. Aku menepuk dahi membacanya. Bukankah itu rakyat? Dan apakah kalau seseorang itu tidak cemerlang di sekolah, maka pendapatnya tidak harus didengar? Come on! Cemerlang dalam bidang pelajaran tidak menjamin kecemerlangan dalam pemikiran. Sekolah adalah pelajaran di atas buku. Hidup adalah pelajaran mencari kehidupan. Daripada pelajaran mencari kehidupan itulah, Thomas Alva Edison mencipta mentol untuk memberi cahaya ketika kegelapan. Lalu, kita yang pongah dan sombong mengambil sejarah Thomas Alva Edison sebagai satu pelajaran di atas buku. Kita mendefinisikan cerdik itu sebagai hafalan dari buku sedangkan nanti, ketika sudah jadi tua dan nyanyuk, hafalan itu tidak akan melekap lagi di kepala.

Itulah kita yang hidup dengan pelbagai teori lampau tanpa mahu memikirkan teori baru. Kerana itu, ramai yang cerdik di dewan peperiksaan, lancar menjawab soalan peperiksaan, tetapi gagal menjalani kehidupan. Ramai yang berani menjawab soalan peperiksaan tetapi sangat penakut untuk menerima kenyataan dalam kehidupan. Itulah kebanyakan kita, pongah dan bongkak dengan penilaian sempit melalui pencapaian akademik sedangkan Tuhan punya ilmu sangat luas dan belum habis diterokai.

Maka, itulah perangai politikus. Kita ini sudah sangat nazak dalam unsur rohani. Kita sudah kekurangan pemimpin berbanding ahli politik.

Aku masih ingat akan sebuah filem tamil yang aku tonton ketika berada di tingkatan dua, menonjolkan keadaan politiknya yang korup. Antara kata-kata yang aku sempat cernakan ialah "Politik (merujuk kepada keadaan politik India) adalah longkang yang sangat kotor. Ramai orang yang mahu turun untuk bersihkannya tetapi pada akhirnya, ramai yang turut menjadi kotor." Those words should get the big applause. Dan bayangkanlah kalau Malaysia bikin filem begini, tentu sahaja seluruh krewnya ditahan di bawah ISA.

Dan aku, berkecuali dalam menyokong sesiapa. Tidak mahu terjun dalam kancah politik Malaysia. Bahkan politik di universiti aku sekalipun tidak pernah aku sertai. Aku sekadar cinta untuk memerhati dan mencerna kehidupan itu sendiri. Moga, kalau aku dicampak ke bulan sekalipun, aku masih bisa terus jalani hidup dan kehidupan.

2 Bicara Balas.:

mamawana said...

Nawaitu seseorg pemimpin itu sama Lillahitaala atau sekadar kuasa dan harta benda... Di kala kembali ke akhirat tunggulah azab yg pedih utk mereka yg berdusta.

Macammana andai Nabi s.a.w. masih ada di zaman ini? Video, DNA dan segala bagai... jawapannya pasti kembali merujuk kepada AlQuran.

Yang munafik dan fasiq terbongkar. Kita dah di akhir zaman.

wanacesh said...

politik malaysia memang kotr dh,,bukn nk tnjuk kredebiliti masing2,,nh sibuk nk mnjatuhkan satu sama lain,,muak dh tgk,,

pstt:: kalo xde org nk turun membersihkan longkng sbb takut kotor,,smpai bila2 pon akan tetp kotor,,boleh x nk bersihkan, sembur air dari atas jer,,huhu