Pages

10.08.2007

AIDILFITRI YANG MULIA

Tanggal 8 Oktober adalah hari terakhir saya di IIUM sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri. Rindu kepada keluarga setelah 3 bulan tidak bertemu seakan semakin terubat kerana saya tahu esok jika diizinkan oleh Allah swt, pada pukul 6 petang, saya pasti sampai di Kuala Terengganu, tempat kelahiran saya.

Selama 3 bulan hidup di alam kampus dan berjauhan daripada keluarga, baru saya memahami erti perhubungan kekeluargaan. Benar, kita tidak akan menghargai seseorang itu jika dia sentiasa berada di samping kita. Setelah dia berjauhan, barulah kita akan merasakan betapa pentingnya orang itu di sisi.

Kehidupan saya untuk bersama ibu, ayah dan adik-adik di rumah telah dirampas oleh usia saya yang semakin meningkat. Semakin hari, usia saya mula menjauhkan saya daripada keluarga. Jika beberapa bulan yang lalu, apabila saya balik dari sekolah, wajah-wajah merekalah yang akan saya tatap. Kini, tidak lagi. Kini saya terpaksa bersendirian menjalani kehidupan mencabar seorang siswi. Semakin bertambah usia, semakin bertambahlah masalah, dugaan dan cabaran. Inilah yang kadangkala membuatkan saya takut untk menghadapi hari-hari esok. Bukan takutkan cabaran tetapi takut cabaran itu membuatkan saya tergelincir dari landasan insani. Kalau dahulu, ibu dan ayah sentiasa mengawasi pergerakan saya dan memberi nasihat kini saya sendiri yang harus berwaspada.

Semakin saya perhalusi realiti kehidupan kini, saya semakin mengerti akan kasih sayang yang terhimpun dalam sebuah keluarga. Sungguh, keluarga amat penting dalam kehidupan kita. Saya tidak mengerti mengapa kita harus berkelahi dengan ahli keluarga hanya disebabkan oleh hal yang tidak-tidak. Masalah kecil dibesarkan. Yang jernih dikeruhkan. Yang lurus dibengkokkan.

Keluarga tiada gantinya. Kita cuma punya seorang ibu dan seorang ayah. Adik-beradik juga tidak mungkin dapat diganti oleh adik-beradik yang lain. Sayangilah mereka sebelum segalanya menjadi terlalu lambat. Gunakanlah kesempatan pada Aidilfitri ini untuk kembali mengecilkan masalah yang besar, menjernihkan yang keruh dan meluruskan yang bengkok.Jika memang punya kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, pulanglah... kerana di sana ada insan-insan yang menunggu kita...


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

0 Bicara Balas.: