Pages

10.05.2007

SATU OBLIGASI NASIONAL: SEBUAH CINTA YANG TELAH DIPERLERKEHKAN

Saya menulis sejak berumur 13 tahun. Putik cinta saya terhadap bidang penulisan ialah puisi. Sehingga sekarang karya-karya yang saya tulis ketika masih bergelar seorang budak mentah masih tersimpan rapi. Karya saya yang pertama bertajuk 'Kembali Ke Pangkuan' diterbitkan dalam majalah sekolah. Ketika itu umur saya 14 tahun. Apabila saya membaca kembali cerpen saya itu, jelas ternampak itulah cerpen 'jagung muda'.Biar pun karya-karya tersebut hanyalah karya budak hingusan, saya amat menghargainya kerana bagi saya di situlah permulaan bagi saya dalam memperjuangkan cinta terhadap bidang penulisan.
Minat menulis semakin berbunga dan mekar apakala mendapat pujian daripada seorang guru bahasa Melayu sewaktu dalam tingkatan 3. Beliau memuji karangan naratif saya yang mengisahkan seekor burung camar laut yang bernama Kirana yang mati akibat kontaminasi. Beliau memberitahu saya bahawa beliau membaca karangan itu berulang kali dan kisah Kirana itu tidak menjemukan.Ketika berada di tingkatan 3 itu juga, saya berjaya menghasilkan sebuah novel cinta remaja yang bertajuk 'Kembara Kasih Sekeping Hati'. Ya, saya akui saya juga pernah menjadi seorang gadis remaja yang terpengaruh oleh momokan kisah-kisah cinta yang ringan. Lantas, kerana momokan itu, maka terhasil sebuah novel cinta yang sering bertukar tangan di dalam kelas. Ketika itu saya berasa cukup puas apabila setiap kali rakan-rakan menghabiskan pembacaan mereka dari satu bab ke bab yang masih segar lahirnya, mereka akan bertanya "Bila awak nak siapkan bab yang baru?" atau pun ,mereka akan berkata " Nanti, kalau dah siapkan bab baru, bagi saya baca dulu ya." Itulah suara-suara gadis yang termakan momokan kisah cinta. Apatah lagi, sekolah tempat saya belajar ketika itu hanya terdiri daripada kalangan remaja perempuan. Makin besarlah pengaruhnya. Malang sekali, lembaran novel yang terhasil oleh tulisan tangan saya itu, telah dihilangkan oleh seorang sahabat yang kini sedang menuntut di UM.
Saya terus menulis kerana inilah cinta saya. Mana mungkin cinta ini pudar kerana darah yang mengalir di dalam tubuh saya ini adalah darah seorang penulis. Ayah saya seorang penulis buku dalam bidang ilmiah. Beliau telah memiliki koleksi buku sendiri sejak berumur belasan tahun. Sehingga kini, beliau masih menulis buku-buku yang berkaitan dengan bidang keagamaan dan kajian bahasa Arab. Beliau juga merupakan salah seorang pendorong kuat saya dalam bidang ini. Terima kasih, ayah...
Seorang lagi pendorong kuat, juga pengkritik karya saya ialah sahabat saya, Abdul Hafiz bin Abdul Rahim. Bersama sahabat saya inilah, karya-karya saya dipentaskan untuk majlis-majlis tertentu yang memerlukan pendeklamator. Syukran jazilan wa jaza kumullahu khairan kathira ya sadiqi.
Paling menggembirakan hati saya, kini adik lelaki saya yang baru berusia 15 tahun sudah mula menunjukkan minatnya terhadap bidang penulisan setelah membaca karya-karya saya yang tersiar hampir setiap bulan. Saya sangat gembira!
Dalam tempoh 7 tahun saya meyuburkan cinta untuk bidang ini, tiba-tiba pada satu ketika cinta saya diperlekehkan. Sukar benar bagi saya untuk menginterpretasikan perasaan saya yang berkerau ketika cinta saya diperkotak-katikkan. Kisahnya begini...
Seorang rakan yang umurnya jauh lebih tua daripada saya bertanya,"Kenapa awak menulis?"
Satu soalan yang amat mudah untuk dijawab. Maka saya pun menjawab" Sebab minat dan saya rasa inilah tanggungjawab saya dalam memartabatkan bahasa Malaysia."
"Kenapa tak suruh orang lain je yang bertanggungjawab? Kenapa awak yang buat? Biarlah orang lain je yang buat daripada awak menyusahkan diri sendiri."
Saya terkedu jadinya. Hati saya jadi sakit secara tiba-tiba.
- Macam ni punya orang pun ada... - Itulah selintas bisikan hati saya sewaktu diam mencari jawapan yang sesuai.
Lalu saya menjawab soalan yang saya rasa cukup bermasalah itu dengan soalan kerana bagi saya soalan yang diajukan kepada saya sebenarnya menggambarkan mentaliti si penyoal itu sendiri. Jika dinilai dari sudut usia, seharusnya rakan saya itu patut tahu berfikir tentang kepentingan bidang penulisan dalam bahasa kebangsaan.
"Kenapa mesti serahkan tanggungjawab kita kepada orang lain sedangkan kita mampu melaksanakannya? Kenapa mesti rasa menyusahkan diri sebab kita berjuang untuk bahasa kita sendiri? Kalau pun tak ada orang yang nak menulis dalam bahasa kita, kenapa kita tak boleh jadi yang pertama?"
Dia terdiam. Saya tidak tahu apa yang sedang difikirkan olehnya ketika itu.
Akhirnya setelah diam yang panjang, dia berkata dalam nada acuh tak acuh" Ikut suka awaklah nak buat apa pun.
"Sakit hati saya masih tidak hilang hingga saat ini apabila mengenangkan betapa rakan saya itu tidak menyedari akan kepentingan memperjuangkan bahasa rasmi bangsa Malaysia.Bukankah BAHASA JIWA BANGSA?
Setiap warganegara Malaysia memikul tanggungjawab memartabatkan bahasa negara. Memang bukan semua orang tahu menulis dan minat menulis. Tetapi, perlukah diperlekehkan sebegitu usaha insan-insan yang mencintai bahasa? Sekurang-kurangnya hargailah insan-insan ini. Bagi saya itu juga satu perjuangan dalam memartabatkan bahasa walaupun dalam diam. Sungguh saya terasa cukup diperlekehkan ketika itu.
Setelah 7 tahun mencintai bidang penulisan, hari itu adalah satu hari yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Mungkin yang membaca kisah ini berpendapat bahawa saya ini seorang yang sensitif kerana saya orang seni atau orang sastera atau sememangnya saya jenis yang sensitif atau apa sahaja. Saya tidak mahu menafikan atau mengiyakan.
Saat ini, cuba ketepikan andaian itu dan nilailah kisah ini dari sudut obligasi nasional. Dalam kisah ini saya menilai bahawa terdapat dua benda yang telah diperlekehkan.
Pertama, jelas nampak dalam ketidakpuasan hati saya, tentunya cinta saya dalam bidang penulisan. Saudara saudari boleh mengabaikan perkara ini jika mahu. Tumpukan kepada perkara yang kedua, perjuangan saya dalam memartabatkan bahasa Malaysia telah diperlekehkan!
Saya ulang sekali lagi, BAHASA JIWA BANGSA. Jika kita memperlekehkan usaha untuk memartabatkannya bermakna kita memperlekehkan jiwa bangsa. Memperlekehkan jiwa bangsa sendiri bermakna kita memperlekehkan jiwa kita sendiri.
Aduhai... malang sungguh orang ini kerana memperlekehkan jiwanya sendiri!

1 Bicara Balas.:

Azree MH said...

Uish. Lambatnya mula menulis. Hurmm..... Saya mula menulis masa tadika lagi.

Tulis A.. B.. C...


www.studiomuslim.com