Pages

12.06.2007

MINGGU PERTAMA, SEMESTER BARU



Seronok melihat rakan-rakan yang baru mendaftarkan diri sebagai mahasiswa di UIA, kampus utama, Gombak. Tampak mereka begitu bersemangat dan teruja untuk menghadiri kuliah. Sebelum pensyarah tiba, mereka sudah duduk mentelaah buku pelajaran.


Harap-harap semangat itu tidak goyah atau luntur kerana dunia kampus tak seindah mimpi jika tidak pandai menjaga diri dan menghias peribadi dengan akhlak yang baik. Ada banyak dugaan yang bakal anda tempuhi dan pelbagai godaan bakal anda hadapi. Godaan dan dugaan inilah yang bakal memusnahkan diri jika anda bukan seorang warga kampus yang berhati-hati dan teliti dalam setiap langkah.


Kehidupan yang jauh daripada pengawasan ibu bapa merupakan satu kebebasan yang boleh dikatakan mutlak. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, baik atau buruk, kita mampu untuk membohongi mereka. Itu pun jika kita seorang penipu yang bagus.


Walaupun jauh daripada ibu bapa, kita seharusnya sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang jasa mereka. Kerana susah payah mereka membesarkan kita, mencari rezeki, kita akhirnya berjaya tiba di menara gading. Jadi, jika anda adalah seorang yang mudah lupa di manakah daratan dan lebih seronok memikirkan untuk terbang di awangan atau belayar di tengah lautan tanpa menetapkan hala tuju, anda adalah seorang anak yang benar-benar lupa diri.


Ingat, kejayaan kita menjejakkan kaki di menara gading bukanlah kerana kecemerlangan kita dalam peperiksaan, tetapi kejayaan juga adalah hasil jerih payah ibu bapa anda mencari rezeki untuk anda sekeluarga. Jadi sentiasa waspada dalam setiap langkah yang anda aturkan.


Apa pun, SELAMAT DATANG KE MENARA GADING DAN SELAMAT BELAJAR! SEMOGA ANDA TIDAK MUDAH PATAH SEMANGAT.

0 Bicara Balas.: