Pages

12.09.2007

CINTA DI KAMPUS????















Siapalah aku menolak cinta,
Yang hadir di jiwa tanpa dipaksa,
Hidup ini tidak akan sempurna,
Tanpa cinta dari Tuhan Yang Esa.

Lirik lagu nyanyian kumpulan nasyid In-Team saya pilih sebagai mukaddimah entri untuk kali ini. Serasa ramai yang memahami inti pati lirik di atas. Memang sebagai seorang manusia kita tidak mampu lari daripada fitrah manusia iaitu CINTA. Dan cinta itu sendiri adalah salah satu perasaan kurniaan Tuhan.

Saya tergerak menulis tentang soal ini apabila ada yang bertanya kepada saya apakah saya sudah mempunyai ‘seseorang’ di kampus? Soalan cepu cemas itu membuatkan saya tergelak. Saya datang ke kampus tanpa ikatan hati dengan sesiapa dan kepulangan saya dari kampus sewaktu cuti semester tempoh hari juga tidak membawa hati sesiapa.

Maka, apakala saya menjawab dengan jawapan “Tidak.”, satu lagi soalan cepu yang boleh dikatakan cemas ditujukan kepada saya. “Betul ke kalau kita tak cari orang masa di kampus kita akan lambat kahwin?”
Sekali lagi ketawa saya berderai. Setelah menghabiskan sisa tawa, saya terdiam seketika untuk mencari jawapan yang sesuai. Bukan sekali saya mendengar pernyataan bahawa ‘jika kita tidak mempunyai seseorang di kampus bermula semester pertama, kita akan lambat kahwin”. Sebenarnya sudah berkali-kali.

Maka saya menjawab “ Bukankah soal jodoh itu Tuhan dah tetapkan sejak azali? Jadi tak semestinya jika kita tidak mempunyai pasangan ketika zaman kampus kita akan lambat kahwin. Jika ada pun, apakah pasti itu jodoh kita?”

Kemudian seseorang itu pun membalas “ Tapi, macam mak saudara tu, masa kat U dulu tak bergaul dengan orang, sekarang umur dah 30 lebih tapi tak kahwin-kahwin.”

Bagi saya, soal bergaul dan berpacaran itu berbeza. Bila menggunakan istilah ‘bergaul’ itu bermakna kita memiliki hubungan sosial yang meluas. Bergaul dengan rakan-rakan dalam persatuan, dalam kelas, dalam usrah, bergaul dengan pensyarah, itu meluas bukan?
Berpacaran, lain pula makna istilahnya. Dalam dunia pacaran, hanya ada ‘engkau dan aku’. Orang lain tidak masuk ‘geng’.

Ketika kita bergaul dengan semua orang, kita akan melihat hakikat sebenarnya kita diberikan begitu banyak pilihan. Dalam banyak-banyak pilihan itu, mungkin Allah sudah tetapkan ada jodoh kita di situ. Jika tiada di situ, mungkin juga kita akan bertemu dengan jodoh itu pada masa hadapan. Apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa agar jodoh kita adalah yang terbaik untuk kita dan datang dari kalangan orang-orang beriman.

Cinta akan berubah mengikut peralihan zaman. Cinta zaman sekolah, zaman kampus, zaman berkerjaya, semua itu berbeza. Semakin dewasa, perasaan cinta itu akan menjadi semakin matang dan cinta yang matang memilki hala tuju yang nyata dan jelas.

Kebanyakan rakan-rakan saya (lelaki) pernah berkata bahawa mereka berasa sangat menyesal kerana bercinta sewaktu zaman persekolahan. Apabila mereka berada di alam kampus, mereka mula menilai hakikat bahawa dunia ini sangat luas dan pilihan adalah terlalu banyak. Maka, ada yang mula terdetik mahu meninggalkan pasangan masing-masing. Ada pula yang pasang dua tiga. Saya tidak tahu apakah masih ada lagi cinta yang tulus setia di dunia ini. Seharusnya cinta membina kehidupan yang harmoni bukan memporak-perandakan kehidupan yang harmoni.

Ha, ini yang membuatkan saya takut untuk memikirkan soal cinta. Mudah melafazkan cinta, mudah pula meninggalkannya. Kasihan orang yang terkoteng-koteng ditinggalkan itu. Harus pula diingat bagi yang telah meninggalkan itu, setiap apa yang kita lakukan terhadap seseorang akan mendapat balasan. Betapa sakitnya hati seseorang yang telah dipermainkan oleh kita, sesakit itulah akan kita rasa satu hari nanti. Saat itu baru kita akan mengerti perasaan orang yang telah ditinggalkan. Jadi, jangan permainkan orang jika tak mahu kita dipermainkan!

Maka, dengan itu, saya memutuskan, biarlah cinta itu datangnya lambat, tapi jodoh yang sampai akan berkekalan hingga akhir hayat. Bukankah itu lebih baik daripada memiliki cinta yang tidak matang dan kemudian mudah beralih arah, betul?

Saya bukanlah anti dengan cinta atau seperti adik saya pernah copkan sebagai ‘kalis cinta’. Saya cuma percaya bahawa lambat atau cepat, satu hari nanti jodoh itu akan tiba jua. Untuk mengulas panjang tentang cinta, terus-terang saya katakan bagi saya, cinta adalah sesuatu yang misteri. Datangnya tak diundang, perginya tiada yang merelakan.

Sebagai intiha, saya sertakan sebuah syair Arab daripada Syeikh (al-Imam al-Ajall Najmuddin) Umar bin Muhamad an-Nisafi yang diterjemahkan dari buku Ta’limul Muta’allimi Toriqatta’allumi oleh Syeikh Zamuji.


Salamku bagi orang yang mengabdikan dirinya kepadaku dengan kejelitaannya, cahaya kedua pipinya dan sinar matanya.

Menjadikan aku tertawan dan terpesona dek anak gadis yang cantik menjadikan akal fikiran terasa bingung bila memikirkan hakikat kejadiannya yang sempurna.

Maka aku berkata “ Tinggalkanlah daku (dengan keadaan begini) dan maafkanlah daku (kerana tidak dapat bersuka-sukaan bersamamu) kerana sesungguhnya aku telah cinta kepada pengumpulan ilmu dan mendedahkan kerumitannya.

Bagiku cukuplah dengan menuntut limpah kurniaan, ilmu pengetahuan dan ketakwaan, tidak perlu lagi kepada permainan-permainan dan menuruti keinginan nafsu.

3 Bicara Balas.:

NuRiZz said...

"andai pesona yang kau hamparkan adalah untukku sebelum aku layak memilikinya, maka aku harapkan ianya bukanlah untukku"

sebuah kalam indah yang pernah saya terima. ya, ia memang menjentik hati saya utk saya bermuhasabah kembali tentang soal cinta. semua yang 'dia' berikan adalah janji yang penuh kepalsuan dan angan2. sejujur mana dia berkata tentang cinta, belum layak untuk kita terimanya selagi mana dia belum bergelar seseoarng dalam hidup kita(seorang suami)

seorang perempuan harus menjadi adil kepada bakal suami. mengapa serahkan hati pada yang bukan pemiliknya. sudah Allah tuliskan namanya di lauh mahfuz. dan sesungguhnya lelaki yang baik akan datang dalam utusan yang penuh barakah kepada kita. bukan dengan cara curi2. yang datang dengan dengan hasrat memperisterikan secara adab dan adat yang benar. buka memperkekasihkan dgn maksiat. naudzubillah.

namun, ramai yang dapat berkata, menyusun kalam tentang kepalsuan cinta. tapi, jika kita sedang hadapinya, kita selalunya gagal mempraktikkanya. kerana itu teori cinta harus seiring dengan praktikalnya yang selari dengan islam.

apa pun, kembalikannya pada Allah. perjalanan hidup kita sudah punya jawapan. mohon Allah benar2 tunjukkanya supaya kita mudah untuk mebuat pilihan dan keputusan. ameen.

BiLA PenA bERbicAra said...

Masih belum mahu memikirkan sebab luka yang terlalu dalam.

KAY QAYRA AL-JAUHARI said...

kalau ada jodoh, maka adalah walaupun tidak bercinta di alam sekolah dan kampus. satu perkongsian yang baik ^_^

lawati blog saya

http://dakwatbiruhitam.blogspot.com/