Pages

3.18.2008

SAYA HAMPIR NAIK DARAH!





Ruangan ini sangatlah lama terbiar sehingga ada yang bertanya “Bila nak update blog?” “Tak de cerita best ke?”. Maafkanlah manira ( rasa macam kucing pula hehe…) kerana manira terlalu sibuk dengan kuliah, peperiksaan dan program universiti. Sekarang pula, manira sedang sibuk membuat persediaan untuk peperiksaan akhir semester. Baik.Kali ini, manira mahu bawakan sebuah kisah yang hampir membuatkan manira naik darah.

Ada seorang lelaki yang entah daripada planet mana jatuhnya, mengatakan saya sekular kerana pada namanya, saya seorang pelajar undang-undang sivil- baginya undang-undang ini sesat kerana berkiblatkan barat. Saya tersenyum, sekular tang mananya saya? Assalamualaikum…ni nak habaq mai, walaupun saya pelajar undang-undang sivil, saya juga belajar undang-undang syariah seperti pelajar-pelajar undang-undang syariah . Cuma yang berbeza bahasa yang digunakan. Di UIAM, pelajar sivil belajar undang-undang syariah dalam bahasa Inggeris. Pelajar undang-undang syariah, belajar undang-undang syariah dalam bahasa al-Quran. Itulah untungnya apabila mengambil jurusan undang-undang di UIAM.

Saya akui, undang-undang kita pada hari ini memang berasaskan English Common Law. Itu perkara yang tak dapat semua nafikan kerana hal ini sangat jelas. Tetapi kita masih ada mahkamah syariah untuk orang Islam. Cuma yang kurang,mahkamah tersebut sangatlah kecil bidang kuasanya (hanya ta’zir – hudud dan qisas tak tahu ke mana- kes banyak terpenjara dalam bidang kekeluargaan seperti kahwin cerai dan perbankan Islam yang tak berapa nak Islam) walaupun artikel 121 (1A) menjadi pelindung di mana artikel ini menyatakan bahawa mahkamah yang tertakluk di bawah artikel 121 (mahkamah tinggi sivil) tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Maka dengan rasa tidak puas hati tahap petala ke-8, dia memarahi saya (marah tak tentu fasal menampakkan kebodohan diri sendiri. Apatah lagi jika lelaki, nampak macam tak gunakan 9 akal yang ada. Nampak macam bukan lelaki sejati.). Dengan memberikan satu akta bidang kuasa jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang lengkap dengan tarikh akta tersebut diwartakan, serta hukuman yang tertakluk di bawah akta tersebut, dia bertanya “Inikah yang dikatakan hukum Allah? Cakap jika awak seorang yang benar!!! ” (Wah, main sergah-sergah tahap Z pulak, ya?) Maka sejujurnya (berkatalah benar walaupun ia pahit) saya menjawab “Tidak. Tetapi jangan bimbang, dengan izin Allah kita akan jadikan hudud dan qisas sebagai undang-undang kita. Allah swt dah janji, Dia akan pelihara Islam.”

Dia mempersoalkan lagi. Katanya saya beragama Islam, kata perjuangkan hukum Allah, kenapa pilih jurusan undang-undang yang sedangkan undang-undang sekarang ini tak mengikut undang-undang syara’? Dia sogokkan lagi saya dengan akta yang telah dikemukan. (Balik-balik akta sama. Tak ada akta lain? Setakat tu je ke pengetahuannya?) Apabila dia mengemukakan soalan begitu, maka mudahlah saya membuat kesimpulan bahawa inilah orang yang tidak boleh diharapkan untuk memperjuangkan Islam. Apakah dengan tidak memilih bidang ini orang Islam akan maju? Mari kita singkap sejarah sadis dari Negara India.

Dahulu India merupakan sebuah negara Islam. Setelah British melancarkan dasar imperialisme, India jatuh ke tangan British. Penduduk Islam India sangat tidak suka akan British lalu mereka semua mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam pentadbiran negara secara berjemaah. Maka, hari ini, India dikuasai oleh penduduk bukan Islam yang rata-ratanya beragama Hindu. Dengan itu, lenyaplah sebuah negara Islam.

Jadi, persoalannya, apakah saya patut berhenti daripada menjadi pelajar jurusan undang-undang? Adakah pensyarah-pensyarah yang mengajar jurusan undang-undang perlu berhenti kerja? Haruskah peguam dan hakim mahkamah syariah meletakkan jawatan hanya sebab tak sukakan undang-undang yang ada sekarang? Apa jadi lepas tu? Nak tengok mahkamah syariah kosong nampak macam perkampungan koboi kena tinggal? Hanya ada gumpalan jerami dan rumput tergolek-golek atas tanah dek kena tiupan angin? (Tolong bayangkan sekali dengan bunyi angin bertiup). Tolong jangan sempitkan pandangan masa depan.

Bersyukurlah, kita memiliki mahkamah syariah yang masih ada ta’zir. Hudud dan qisas? Jihad kena sabar. Itu pesan Rasulullah ketika seorang sahabat bertanya kepada baginda “Ya, Rasulullah, lambat lagikah? (menawan kota Makkah)” Nabi cakap, “Sabar wahai sahabatku… sabar…” 23 tahun rasulullah berjihad untuk Islam. Tak ada pula dengar Rasulullah jadi ekstrimis dalam bertindak dan memberikan pendapat? Rasulullah itu sangatlah penyabar orangnya dan baginda sangatlah fathonah (bijak). Itukan sifat rasulullah selain siddiq, amanah dan tabligh?

Si lelaki ni tak puas hati lagi, untuk kali ketiga dia berikan akta yang sama. Saya jadi hampir naik darah sebab dah penat saya berikan hujahan sekali dengan fakta sejarah dan fakta terkini, dia masih tidak faham, masih kemukakan soalan sama, masih kemukakan akta yang sama. Tetapi apakala mengingatkan, sebagai seorang pelajar undang-undang, diri harus dididik agar tidak dikuasai oleh emosi, maka saya dengan ‘profesional’nya, memaksakan senyuman dengan hati berkata, “Sabar jelah… He is a layman…”

Tak faham, tak mengapa. Saya terangkan agar faham. Tapi apabila tak faham bercampur nak cari gaduh, perjuangkan sesuatu membabi buta tanpa sifat sabar dan sikap realistik, tanpa pengetahuan yang mencukupi, (apa itu English Common Law pun tak tahu) itu yang tak tahan.Inilah nak dikatakan orang yang bodoh sombong. (Perhatikan, bodoh sombong BUKAN bodoh dan sombong. Maknanya berbeza, ya). Berpeganglah pada prinsip, tak tahu apa-apa, jangan bercakap apa-apa. Tak tahu apa-apa, bertanya pada yang tahu. Tak tahu apa-apa, jangan melawan tuk guru. Hujahan yang saya berikan pun berdasarkan apa yang dibincangkan dengan pensyarah saya yang mengajar undang-undang syariah.(Bukan seorang pensyarah sahaja, ya)

Maka, ada baiknya saya ucapkan “Wassalam untuk selama-lamanya.” kepada lelaki yang entah dari planet mana jatuhnya. Serasa kalau 1000 kali saya terangkan pun mungkin tak akan faham. Buang masa saya, kerana saya sebenarnya sangatlah tak banyak masa lapang untuk bermain-main permainan yang mencabar keimanan saya itu.

Lalu, kerana ‘wassalam’ saya itu, dia berkata “Baru saya yang tanya, awak dah nak mengalah? Belum lagi orang yang berpelajaran tinggi tanya.” Mencabar saya nampak? Saya pun cakap, “Kalau orang yang berpelajaran tinggi rasanya dah boleh faham kot.” Nak kecil hati? Peduli apa saya. Kalau dah payah sangat nak faham campur dengan nak melawan darab dengan tak ada ilmu darab lagi dengan sikap sombong lagi angkuh, turunlah cikgu dari langit pun (bukan ayah Pin, ya), jawabnya payah jugak nak faham. Kalau dah sampai berkali-kali terang tak faham, apa bendanya tu? Belajarlah dengan rasa rendah diri. Bukan semua benda kita tahu. Bukan semua benda kita nampak. Jangan suka ‘wak bijok’ (slang Terengganu, maknanya, buat bijak atau membijakkan diri) sampai orang boleh hilang rasa hormat. Lagi payah ilmu nak masuk. Kalau tak tahu cakap tak tahu. Kan senang? Saya sangat menghormati orang yang begini, seperti pensyarah-pensyarah saya yang bergelar doktor falsafah tetapi masih tidak egois untuk mengakui sesuatu yang mereka tidak tahu.

Satu lagi, janganlah menyempitkan pemikiran bahawasanya apabila bercakap dengan orang undang-undang, anda kena bercakap macam dalam mahkamah. Berhujah banyak-banyak. Berdebat bagai nak rak macam nak cari gaduh. (Saya sangat benci bergaduh dengan orang) Kalau dalam mahkamah sekali pun, mahkamah bukan tempat bergaduh. Mahkamah tempat selesaikan masalah.

Akhirul kalam, sesungguhnya, diam itu lebih baik daripada bercakap berapi-api, tapi yang ada pada percakapan itu hanyalah abu hitam setelahnya. (Macam tin yang cuma ada seketul batu di dalamnya. Digoncang bunyi berdegang-dengang, tapi bising je yang lebih. Menyampah dan rimas dengan orang macam ni. Sebab itu kadang-kadang saya lebih suka senyap. Ramai je ingat saya sombong. Saya peduli apa? Tak kenal maka tak cinta. Betul?)

1 Bicara Balas.:

Nisah Haji Haron said...

Muizzah,
Katakan kepadanya "orang yang banyak bertanya (soalan bodoh, seperti dia) maka kuranglah imannya." Hahaha

Lelaki seperti ini tidak harus dilayan. Merekalah yang merendahkan martabat lelaki yang seharusnya menjadi pelindung kepada wanita.

Kepada orang yang tidak faham bahasa seperti dia, lupakan sahaja. Biar orang lain (yang ada banyak masa) menerangkan kekeliruan yang berselirat dalam benaknya. Orang seperti ini jugalah yang pendek akal lalu mahu mengebom diri sendiri atas nama Islam kononnya. Tapi satu hapah hukum pun tak tahu.

Abaikan sahaja. Terus menulis selepas exam ini. Kawan-kawan MPR yang lain nampak sudah agak rancak dengan cerpen masing-masing.

Ikhlas,
Nisah