Pages

6.25.2008

APAKALA AYAT-AYAT CINTA BERBICARA

Saya usai menonton filem Ayat-ayat Cinta (ACC) tanggal 12 Jun 2008. Komentar saya? Saya lebih suka membacanya daripada mendengar dan melihat dia berbicara. Mungkin kerana saya seorang yang lebih gemar membaca dan membayangkan sendiri apa yang berlaku menurut jalan cerita.

Secara peribadinya, entah mengapa pada permulaan filem ACC, jalan ceritanya agak hambar. Menontonnya bagai melihat cerita yang ditapis atau dipotong-potong. Dan watak Fahri yang tersangat mulus dalam cerita asalnya kelihatan tidak begitu mulus di dalam filem. Ketenangan yang saya miliki ketika membina sendiri bayangan seorang lelaki bernama Fahri di dalam minda tidak begitu saya perolehi apakala melihat sendiri Fahri di dalam filem. Tapi, harus saya akui, kita memang tidak dapat mengharapkan jalan cerita sesebuah filem yang diadaptasi daripada novel seratus peratus sama dengan novelnya.

Nak memberi bintang, saya bukan pakar dalam menilai filem. Cuma, saya akan katakan, tak rugi juga kalau menonton ACC.

Sejauh mana islaminya filem ACC? Payah untuk saya katakan. Tetapi, islaminya ACC lebih terkesan di jiwa saya ketika saya membaca novelnya. Keharuan dapat memberi tekanan yang kuat kepada empangan air mata seseorang. Dan itulah yang saya rasakan. Dan rasanya, tak keterlaluan jika saya katakan bahawa ACC karya Ustaz Habiburrahman El Shirazy itu merupakan novel yang pertama islaminya cukup menyentuh jiwa saya (novel pertama yang membuatkan saya menangis rindu kepada Allah).

Saya perhatikan, di Malaysia ada juga novel-novel yang islami. Tetapi, ada sebuah novel yang apabila saya membacanya, bagai membaca buku agama. Apa pun saya memuji inisiatif yang diambil oleh penulis-penulis yang menulis novel-novel islami dan usaha ini wajib diteruskan kerana syahadah, kita dai’e (memetik tagline blog Nurul Izzah Zainol. Izz, halalkan ya =) )Tetapi bagi saya, apa yang harus difikirkan oleh penulis ialah bagaimana mahu membuatkan jalan cerita serta watak dan perwatakan di dalam novel tersebut mampu menyentuh jiwa pembaca pada titik yang paling terpencil.

Memang bukan mudah untuk mencapai tahap yang sebegitu terutama apabila kita bercerita tentang kehidupan yang islami dewasa kini dalam momokan budaya barat yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat, yang bukan sahaja melibatkan remaja malah golongan dewasa dan berusia. Saya juga masih tercari-cari bagaimana caranya mahu menulis sesuatu yang bukan sahaja dapat menghidangkan ilmu dunia dan akhirat kepada pembaca semata-mata tetapi juga perkongsian kisah itu dapat menggetarkan jiwa pembaca.

*‘Ainul Yaqeen. Sudah ketemu lelaki seperti Fahri. Penyejuk mata, pendamai hati. Satu dalam sebilion sehingga menjadi rebutan para ibu mahu menjodohkan dia dengan anak gadis mereka. Subhanallah…( “,)

0 Bicara Balas.: