Maka, pukul 7 malam (lebih-lebih sikit) saya, Kak Nas, Kak Ghafirah, Azree MH dan seorang lagi sahabat (saya lupa namanya sebab tak kenal sangat) bertolak ke Dataran Shah Alam kerana Kak Nas menjadi panel untuk Forum Apresiasi Budaya Berpaksikan Agama anjuran Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan JIM .
Antara panel yang lainnya ialah Ustaz Nicholas Sylvester (Muhammad bin Abdullah) dan Puan Erma Fatima.
Tiga ahli panel membawa tiga isu yang agak berlainan tetapi masih dalam skop kebudayaan berpaksikan Islam. Ustaz Muhammad membicarakan Hukum Hiburan dalam Islam, panel kedua iaitu Puan Erma Fatima membicarakan penerapan Islam dalam filem manakala Kak Nas membicarakan penerapan budaya Islam dalam sastera.
Menurut Ustaz Muhammad apakala membincangkan soal hiburan dalam Islam dan hukumnya, berlandaskan pendapat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, ulama’ menegaskan bahawa hiburan itu harus apakala berada dalam majlis yang berlandaskan syara’ iaitu hiburan yang tidak membawa kita jauh dari Allah SWT. Hiburan menjadi haram apabila ada unsur-unsur kekejian dan kemaksiatan padanya. Hiburan itu bagaikan pedang. Ia boleh dibawa untuk berjihad fisabilillah.
Sangat menarik apakala Puan Erma Fatima mengkritik cara masyarakat kita berpakaian. Beliau menyatakan bahawa Barat sudah membawa masyarakat kita kembali ke zaman batu kerana pakaian mereka yang sudah menyerupai orang-orang pada zaman itu; singkat, tak cukup kain.
Ketika membicarakan penerapan budaya Islam dalam sastera, Kak Nas menyatakan bahawa sastera itu bertujuan untuk memanusiakan manusia; membangunkan akhlak insaniah. Amar ma’ruf dan nahi mungkar itu tidak boleh dipisahkan, harus seiring sejalanan. Barat menulis sesuatu tentang moral tetapi Islam menulis tentang akhlak. Akhlak dan moral itu berbeza. Dalam pada itu, Kak Nas juga menyentuh isu drama, telenovela dan filem yang menonjolkan unsur-unsur kurafat dan ketahyulan, kebobrokan akhlak masyarakat, juga adegan-adegan picisan. Mungkin pembikin filem, drama atau telenovela mahu memaparkan realiti masyarakat hari ini, mahu memberikan contoh sempadan agar diteladani oleh masyarakat tetapi secara jelasnya di pengakhiran cerita baru ditonjolkan hadis atau firman-firman Allah sedangkan itu bukanlah satu kecukupan untuk menjadikan keteladanan atau sisi putih sesebuah karya dapat disampaikan secara jelas dan terkesan di hati penonton.
Algebra. Artis nasyid pertama yang tampil dalam bentuk ‘band’ yang dianggotai oleh 5 orang pemuda iaitu Ahnaf, Alieff, King, Hafiedz dan Aqi.
“Itulah kali pertama kumpulan kami keluar di media.” Beritahu Ahnaf apakala saya menyatakan bahawa saya mengenali band nasyid ini dalam majalah Dara.Com.
Saya tertarik dengan band nasyid ini kerana mereka melagukan puisi-puisi Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA). Mungkin kerana perkataan ‘puisi’ itu sendiri bagaikan tarikan magnet kepada saya dan saya juga mengagumi sikap Dr. MAZA yang berani dalam menegakkan pendirian beliau dalam sesuatu perkara, bersesuaian dengan tajuk album Algebra itu sendiri ‘Yang Benar Tetap Benar’. Saya bagi 4 bintang kepada band nasyid ini. Mereka memang boleh menyanyi live (maksudnya suara sedap la). Lagu yang paling saya suka ialah Aku Rela- menurut Ahnaf lagu ini paling payah untuk dibawa. Bagi saya, tak rugi memiliki album sulung mereka ini. Yang Benar Tetap Benar. (Puisi inilah yang memberikan ilham kepada saya untuk menulis cerpen Segregasi yang tersiar di majalah Al-Islam Januari 2009)
AKU RELA
Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta aku berkorban
Telah ku rela segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta aku terpaksa
Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa meluah fakta
Mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta
Biarku tanggung rasa derita
Asalkan agama selamat akhirnya
Yang membantah hanya berfalsafah
Kerana bimbang suapan harian
Dengan menjual nama Tuhan
Lalu kebenaran disingkirkan
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya
Reda telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini aku bahagia
Kerana pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga.
KAK Nas...
0 Bicara Balas.:
Post a Comment