7.16.2009
CEROBOH (BAHAGIAN 1)
ADA kata sakti memberitahu, antara kebahagiaan yang dikecapi oleh seseorang ialah mendapat jiran yang baik. Saya akui kebenaran kata-kata itu setelah saya rasakan sendiri betapa sakitnya hati apakala mendapat jiran yang seakan tidak tahu menghormati saya sekeluarga sebagai jirannya.
Kisah yang akan saya ceritakan ini bukanlah satu umpatan atau fitnah kerana nama yang saya gunakan di sini bukanlah nama sebenar. Maka, anda semua tidak perlu khuatir kerana anda tidak akan menadah dosa sepanjang anda membaca kisah ini dan bacalah dengan hati yang terbuka juga gunakanlah mata akal. Bukan mata dangkal.
Kisah ini bermula apakala sepasang suami isteri yang berasal dari salah sebuah negara barat berpindah ke rumah kembar bersebelahan dengan rumah saya sekeluarga. Saya namakan mereka sebagai Encik Mathew dan Puan Rowena Saints.
Pada mulanya kehadiran mereka sebagai jiran baru amat kami senangi. Mereka memang ramah dan mudah mesra. Tetapi, sesudah sebulan hidup berjiran, mereka mula melakukan perkara-perkara yang amat menyakitkan hati. Menceroboh ke kawasan rumah kami.
Secara harfiahnya, mungkin anda gambarkan pencerobohan mereka berdua itu sebagai perlakuan masuk ke kawasan atau rumah orang tanpa meminta kebenaran juga tanpa persetujuan tuan rumah. Anda boleh menggambarkannya sebegitu tetapi pencerobohan yang mereka lakukan adalah secara variasi.
Minggu pertama selepas sebulan Encik Mathew dan Puan Rowena Saints menjadi jiran baru kami, saya diluahkan kerunsingan ummi tentang kebun sayurnya yang terletak di belakang rumah.
“Eja, rumput liar dari rumah jiran baru kita ini sudah mula menjalar ke kebun sayur ummi. Kebun itu sudah mula mahu menampakkan hasilnya. Habislah tanaman kita dirosakkan tumbuhan parasit itu.Ummi tak mahu beli sayuran yang disembur racun di pasar. Yang ditanam di tanah sendiri itu lebih baik.” ujar ummi dalam nada garisah sambil matanya dikelayaukan ke kebun menerobosi jendela rumah kami.
Saya turut menggelintarkan pandangan. Urat-urat rumput liar yang sudah menceroboh ke kawasan kebun kesayangan ummi itu membuatkan saya mengerling pula ke laman belakang rumah jiran baru kami. Semak menjulangi separuh daripada pagar dawai yang merentang.
“Tak mengapa. Nanti kita cuba-cuba beritahu jiran kita ini supaya membersihkan laman rumah mereka itu. Ayah juga bimbang kalau ada binatang berbahaya yang bersarang di situ.” Suara ayah yang tiba-tiba menerpa dari lawang dapur membuatkan kami menoleh hampir serentak. Ayah sedang berkacak pinggang membawa tafsiran tidak puas hati. Petang itu juga, ketika Encik Mathew sedang membasuh keretanya, ayah menghampiri pagar dawai yang mengantarakan rumah kami.
“Bagaimana bang? Abang sudah beritahu Encik Mathew?” Tanya ummi ketika kami bertiga menikmati hidangan makan malam membuatkan suapan ayah jadi terhenti.
“Encik Mathew kata kita tak usah bimbang. Dia akan upah orang untuk bersihkan kawasan rumahnya esok.” Ujaran ayah buat wajah ummi tampak lega dan terkuak pintu harapannya untuk melihat kebun sayuran kami diselamatkan. Namun hari seterusnya, sehingga senja menarik matahari ke kaki langit, air wajah ummi jelas resah kerana kebun sayurnya masih lagi diancam oleh tumbuhan parasit dari kawasan rumah sebelah.
“Sabarlah. Mungkin dia tidak ketemu orang untuk diupah membersihkan laman belakang rumahnya itu. Mungkin esok.” Ayah memegang bahu ummi. Cuba menenangkan kegalauan hati wanita yang kami kasihi.
Pagi esoknya, sesudah enjin kereta ayah kedengaran dihidupkan, dari jendela kamar tidur di tingkat atas, saya melihat ayah bercekak pinggang memerhatikan sesuatu di atas tanah, di laman tepi rumah kami. Ummi pula kelihatan sedang mengusap-usap belakang badan ayah, membawa maksud sedang cuba menenangkan suaminya yang sedang marah.
Saya cuba-cuba menjengket. Mahu mendapatkan pandangan yang jelas tentang perkara yang sedang ayah marahkan. Di atas rumput-rumput yang mula mahu hidup subur, yang saya kira baru dua minggu ayah tanam, kelihatan tiga ekor kucing Siam yang panjang-panjang ekornya sedang berkeliaran.
Utusan Mingguan Melayu
6 Julai 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 Bicara Balas.:
Oh. Saya ingat cerita betul tadi. Tetapi, kalau cerita betul, orang putih, sikapnya macam tu ke?
Selalunya, mereka dalam part-part, sosial ni amat ambil berat.
Beza dengan kita
sabar dulu..tunggu penulis blog ini paparkan jalan cerita melalui cerpennya waktu demi waktu..baru tahu kesudahannya bagaimana.kan eja?
Saya bercerita tentang cerita yang betul. kisah jiran ini saya alami sendiri.
Orang putih pun manusia biasa. Saya belajar undang-undang, maka saya terapkan prinsipal undang-undang dalam cerpen saya.
Undang-undang yang berkaitan dengan pencerobohan kawasan/orang/ harta benda (Trespass to land/ person/goods)berada bawah undang-undang tort.
Saya rujuk beberapa kes yang menunjukkan kadang-kadang orang putih pun suka buat hal dalam hubungan sosial.
Paling saya ingat, kes Christie v. Davey yang menunjukkan perangai 'annoying' mat salih.
Ingat, mat salih pun manusia biasa. =)
Kak Yana, tunggu episod seterusnya nanti. =)
yup...dalam undang2 tort ia diistilahkan sebagai trespass to land/person/goods. jatuh under law of torts. if a person is wronged & is caused substantial harm, you are entitled to sue them...hehe..sori kut english. tak tahu nak melayukan macam mana. akak pun minat jugak tort2 ni...yeah...i am waiting for the next episode...
Post a Comment