Pages

7.21.2009

CEROBOH (Bahagian 2)





“Jiran baru kita ini gemar betul memberi masalah.” Rungut ummi setelah ayah beredar ke tempat kerjanya seraya mengambil tempat di atas sofa bersetentang dengan saya yang sedang membaca akhbar baru.

“Kenapa ummi?” akhbar yang menghalang penglihatan dari wajah ummi, saya jatuhkan ke riba. Saya hantar pandang yang sebening mungkin ke wajah wanita yang amat saya kasihi itu dengan harapan dapat mendinginkan hatinya. Saya tahu ummi sedang marah.

“Anak-anak rumput yang baru ayah kamu tanam, sudah rosak dikerjakan kucing-kucing jiran kita ini. Kucing-kucing itu sudah gali lubang dan buang najis di situ.”
Aduan ummi itu buat saya terdiam.

Dalam ingatan saya masih jelas. Seharian susuk tubuh ayah yang sederhana terbongkok-bongkok dengan peluh yang lencun membasahi dahi dan baju T, menanam anak-anak rumput di laman rumah kami. Kata ayah, ayah mahukan sebuah taman untuk kami sekeluarga berehat bersama-sama pada waktu petang. Wajah ayah ketika itu amat gembira walaupun proses penanaman rumput-rumput tersebut sungguh renyah. Setelah seharian terbongkok-bongkok di laman rumah, ayah jatuh demam selama dua hari. Demam urat, kata ummi, menyebabkan ayah langsung tidak mampu untuk bangun dan hanya terbaring di dalam kamar tidur.


Padanlah nyala amarah mudah benar menyewat hati ayah seawal pagi salangkan ayah tidak gemar ke tempat kerja dalam keadaan yang sebegitu.


“Senyum. Tidak elok marah-marah di pagi hari. Payah rezeki mahu hampiri kita.” Nasihat ayah. Tetapi pagi itu, jiran baru kami sudah berjaya membuatkan ayah ingkar dengan nasihatnya sendiri. Kerenyahan usaha menanam rumput-rumput itu dan kepuasan hati ayah ketika berjaya menyelesai proses penanaman tersebut pantas jadi lebur pada pagi itu. Jelas benar sejak Encik Mathew dan Puan Rowena Saints menghuni rumah yang berkembar dengan rumah kami, memang kami tidak mendapat salah satu kebahagiaan di dunia ini iaitu jiran yang tidak menyakitkan hati.


Saya segera menelefon abang sulung saya yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kalau-kalau dia mempunyai idea yang bernas untuk menyelesaikan keruwetan yang kami hadapi.


“Abang akan pulang hujung minggu ini. Beritahu ummi dan ayah, tak usah bimbang. Kita lihat usaha yang boleh kita lakukan.” Ujar abang saya itu sebelum ganggang telefon diletakkan ke tempat asalnya.


Dan ketika waktu dimakan hari, untuk tiba ke penghujung minggu amatlah resah bagi ayah dan ummi juga saya sendiri kerana saya belum pernah ketemu spesis manusia yang sanggup melambakkan sampah-sarap sehingga melimpah ke kawasan rumah jirannya. Bau busuk longgokan sampah itu bukan setakat menusuk-nusuk deria hidu bahkan sudah tiba di tahap menarik-narik urat kepala.


“Ayah, Nadim rasa lebih bagus kiranya pagar dawai itu kita gantikan dengan pagar batu.” Cadang Abang Nadim sewaktu kami sekeluarga menikmati hidangan minum petang di laman rumah sambil pandangannya ditancap pada pagar dawai yang merentangi kawasan rumah kembar kami dan rumah jiran baru kami itu. Ayah menyeluruhi wajah anak sulungnya dengan kedua-dua belah kening yang terangkat menjelaskan tagihan musabab saranan itu.


“Lambang hak kita sebagai tuan rumah. Lubang-lubang pada pagar dawai itu masih mengizinkan apa sahaja benda dari rumah sebelah untuk lolos ke kawasan kita. Ayah, kita sendiri yang perlu membina kekukuhan itu.” Ujar Abang Nadim buat ayah tersenyum seraya mengangguk kecil.


Setelah pembinaan pagar batu tersebut usai, pada satu petang, Abang Nadim menantikan kepulangan Encik Mathew dari tempat kerjanya. Dengan senyuman mesra, abang tunggal saya berjabat tangan dengan jiran mat saleh kami itu seraya menjemputnya untuk menikmati hidangan minum petang di laman rumah kami.


“Encik Mathew, apa pendapat anda tentang pagar batu kami?”


“Tidakkah kamu rasakan ia mengasingkan kita sebagai jiran? Kita seperti tidak akan melihat wajah sesama kita.”


“Itu kerana wajah kita tidak akan pernah menjadi sama, Encik Mathew.” Seloroh Abang Nadim penuh makna sembari tertawa dan saya nilaikan itu sebagai sesuatu yang sinis.


Utusan Mingguan Melayu
13 Jun 2009

3 Bicara Balas.:

cik farahana said...

WAH INI SESUAI DENGAN TAJUK ENTRI AKAK JIRAN
HEHEHE

cik farahana said...

WAH INI SESUAI DENGAN TAJUK ENTRI AKAK JIRAN
HEHEHE

BiLA PenA bERbicAra said...

Kak Farahana, kisah ini memang berlaku kepada keluarga saya. Orang belakang rumah saya tu tunggu nak kena saman je..hu2