Pages

8.08.2009

CEROBOH (Bahagian Akhir)






“Jadi, Encik Mathew, apa pendapat anda tentang plat nombor rumah kami ini?” Abang Nadim mengunjukkan sekeping plat logam yang tertera nombor rumah kami.

“Oh, cantik. Ada ukiran yang jelas menonjolkan kesenian Melayu. Ukiran itu sama seperti yang pernah saya lihat pada rumah-rumah Melayu lama ketika saya berkunjung ke sebuah perkampungan di Melaka.”

“Apakah kesenian Melayu pada pendapat anda, Encik Mathew?”

“Ia mempamerkan budaya anda, Encik Nadim. Itu sahaja pada pendapat saya yang agak kurang mengerti tentang budaya ini.” akui Encik Mathew dengan rautan wajah yang lurus. Akuan yang jujur barangkali, pada pandangan saya.

“Anda hampir tepat. Tetapi sebenarnya Melayu itu lebih daripada seni dan budaya. Melayu itu sendiri adalah falsafah yang sungguh sarat terkandung dalam setiap ucapan dan perlakuan kami. Dan kadang-kadang ia lebih daripada falsafah itu sendiri. Ia adalah pemikiran yang menjangkau pandangan mata kasar. Ia renungan tajam mata akal dan budi. Ia lambang kesantunan kami dalam teguran untuk difikirkan oleh orang yang mahu mengerti. Jika encik tahu tentang peribahasa, bidalan atau puisi kami, itu semua hasil pemerhatian dan pemikiran yang tajam sejak berkurun yang lalu.”

“Plat itu tahan karat?” Entah mengapa pertanyaan itu terpacul dari bibir Encik Mathew.

“Tentu, Encik Mathew. Tahan karat dan tahan panas sama seperti pemiliknya yang bertahan sabar.” Ada sengihan yang diulas sinis pada bibir Abang Nadim dan pipi mat saleh yang putih melepak itu tampak sedikit kemerahan ronanya.

“Kalau anda dapat jelaskan pemikiran Melayu, Encik Nadim, apakah ada falsafah pada plat nombor rumah anda itu?” Tanya Encik Mathew dan saya kira dia sudah mula mengesan ‘teguran-teguran halus’ Abang Nadim.

“Tentu, Encik Mathew. Ukiran ini, seperti yang Encik katakan tadi, adalah kesenian dan kebudayaan Melayu. Maka, ia menunjukkan pemilik rumah ini mencintai seni dan budaya yang diwarisinya turun- temurun. A 152 pula ialah nombor rumah kami.
Menunjukkan ini rumah kami. Hak kami dan tidak ada seorang pun yang boleh mencerobohnya. Dan Encik Mathew, Encik sendiri pasti akan bersetuju dengan saya andai saya katakan hanya orang yang dangkal fikirannya yang akan membenarkan orang lain menzalimi haknya. Betul?”

Encik Mathew mengangguk tanpa suara.

“Malah pada pandangan undang-undang sendiri, seseorang itu didapati bersalah seandainya dia menceroboh sesebuah kawasan yang bukan hak miliknya biar pun dia tidak sedar bahawa dia sudah pun menjadi penceroboh. Defendan tetap dikira bersalah walaupun yang melakukan pencerobohan itu bukan dirinya tetapi binatang ternakannya atau ranting kayu daripada kawasannya yang menjulur ke dalam kawasan plaintif.” Wajah Encik Mathew kelihatan makin memerah. Masakan tidak, petah bicara Abang Nadim kedengaran sungguh jurus apakala prinsipal undang-undang pencerobohan kawasan diterapkan dalam perbualan mereka petang itu.

“Encik Mathew, apakah rumah kamu tidak memiliki plat nombor?” Tanya Abang Nadim.

“Oh, ya! Anda telah menyedarkan saya pada petang ini, Encik Nadim, bahawa rumah saya itu tidak memiliki plat nombor.”

“Tentu payah posmen mahu menghantar surat ke rumah anda.” sindir Abang Nadim.

“Anda betul, Encik Nadim. Bukan sekadar posmen. Saya fikir, suatu hari nanti saya juga mungkin tidak dapat membezakan antara rumah saya dan rumah kamu.” Ujar Encik Mathew diikuti tawa yang kedengaran dibuat-buat seraya meminta diri dan saya lihat, ada senyuman puas yang terulas di bibir Abang Nadim.

Ah, kalau bukan kita yang mempertahankan hak sendiri siapa lagi?


p/s: Maaf kerana lambat menyiarkan bahagian akhir CEROBOH. Sudah dua minggu kesibukan memburu dan kesihatan sangat terganggu.

0 Bicara Balas.: