Pages

9.30.2009

MELUNAS JANJI DI PERKUBURAN

26 September 2009, Aidilfitri hari yang ke-7, saya baru mengambil tempat di dalam bas sewaktu mendapat panggilan telefon daripada Ilham Hafiz yang menyatakan bahawa beliau tidak jadi pulang ke Kuala Lumpur tetapi tidak memberitahu sebabnya. Sejenak, setelah talian dimatikan, ada khidmat pesanan ringkas yang menyusul.


“Mama baru telefon tadi, Abah mungkin dah tak ada… Pagi tadi macam dah tak ada…”


Saya terkedu walaupun sebenarnya sudah dapat menjangkakan hal itu. Dan air mata laju sahaja berlari di atas pipi.


Saya masih ingat akan janji saya dua minggu sebelum Aidilfitri.


“Abah, Eja balik dulu ya… Lepas raya Eja datang tengok abah lagi…”
“Tak apalah… susah-susah kamu datang… jauh…”
“Tak apalah abah… tak jauh pun… tak susahkan Eja pun.”


Abah mengangguk lemah dan kemudian berpesan.


“Jaga diri elok-elok… belajar rajin-rajin.” Kali itu saya pula yang mengangguk dan kemudian berlalu dengan sebuah salam dan lambaian. Abah membalas dan saya tidak pernah menyangka bahawa itu adalah lambaian terakhir abah.


Saya juga masih ingat, pada hari raya pertama Ilham memberitahu bahawa abah bertanyakan keberadaan saya. Ketika itu saya berada di rumah keluarga di Terengganu dan saya juga diberitahu bahawa keadaan abah sudah semakin kritikal. Saya berpesan kepada Ilham agar memberitahu abah bahawa saya masih ingat akan janji saya tempoh hari. Saya akan datang melawat abah lagi.


Tetapi, Izrail tidak akan pernah menunggu untuk menyampaikan ajal kepada setiap yang hidup. Izrail tidak pernah menunggu suami, isteri, anak, menantu, cucu atau sesiapa sahaja walau kurang sesaat pun. Juga tidak menunggu kedatangan saya untuk melunaskan janji. Tidak akan pernah!


Dan saya, saya tidak pernah menyangka bahawa saya hanya dapat menunaikan janji di perkuburan.
Al- Fatihah untuk Abah.


Semoga Abah dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman.


Allahumma ahsin ‘aakibatana fil umuri kulliha wa ajizna min khizyiddunya wal ‘azabal aakhirah. Rabbana aatina fiddunya hasanah. Wafil aakhirati hasanatawwaqina ‘azaabannar wa ‘azabal qubri wa fitnatuddunya wa fitnatul qubri.


Ya Allah, baikkanlah akibat kami dalam segala bentuk urusan dunia dan lepaskanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab di akhirat. Berikanlah kami kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat serta peliharalah kami dari azab api neraka, azab kubur, fitnah dunia dan fitnah kubur.

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

assalamualaikum w.b.t.

sayidah mu'izzah...
dugaan datang dalam bentuk yang pelbagai. alhamdulillah, setidak-tidaknya eja masih sempat bertemu dengan abah... abah mengenali eja dan merestui eja... tabah dan sabarlah... lambaian pertama dan terakhir itu akan menjadi azimat kehidupan... teruskan langkahan tanpa menoleh lagi... ilham sendiri terpaksa kuatkan semangat untuk memimpin keluarga... mengambil alih bahtera dari abah bukanlah satu kerja yang mudah... doakan sahaja kita semua diberi kekuatan Yang Maha Esa.

Sayidah Mu'izzah said...

wassalam...
eja faham...walaupun kadang2 terasa berat...payah...tapi eja akan sentiasa bersabar...sama2 sentiasa menunggu hikmah di sebalik setiap yang Allah berikan...