Pages

10.19.2009

PUISI: TAWARAN oleh AIDIL KHALID








Tadi pagi sebaik terjaga daripada tidur
seekor jin yang tadi malam baru sahaya selesai karang kisahnya
(dalam karangan itu ia dibebaskan daripada sumpahan sebuah balang),
tiba-tiba hadir benar-benar menjelma di hadapan mata
mengucap terima kasih kepada sahaya lalu menawarkan;
mahukah dihadiahkan bulan sabit, wahai tuan,
atau mahu bulan mengambang,
malah boleh juga roket terbang?
Sahaya tidak menjawab sebaliknya menanyakan
apa tiga itu cumakah pilihan?
Jin lalu menawarkan tambahan –
atau mahukah dacing perak buat menimbang emas permata, wahai tuan?
Menggeleng sahaya menggeleng.
Atau mahu keris pusaka warisan turunan bertatah berlian?
Cukuplah, jawab sahaya penuh penghormatan, sekadar dihadiahkan sebatang pena
agar dapat terus sahaya peliharan dan pulihara kemuliaan kemanusiaan.

Aidil Khalid
Shah Alam, Selangor.
(Terbit di Mingguan Malaysia; 18 Oktober 2009)



SAYA masih ingat kali pertama bertemu dengan Aidil Khalid di Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007. Orangnya tampak pendiam. Tapi saya pasti, di sebalik sifatnya yang tampak begitu, beliau merupakan seorang pemerhati yang tajam seperti penanya yang bagi saya bersifat pembunuh. Sekali-sekala, sesudah MPR, beliau menjadi tempat rujukan saya dalam bidang penulisan kerana sifat 'pembunuh' beliau itu.


Saya juga masih ingat bayang-bayang puisi Aidil yang saya kira puisi pertama beliau yang terbit di Tunas Cipta. (Maaf jika perkiraan saya itu silap). Memang saya tidak teruja langsung dengan garapan puisi tersebut. Pemilihan bentuk katanya tidak mampu untuk membuatkan saya meneruskan bacaan. Tetapi, saya cukup gemarkan cerpen-cerpen beliau. Dan saya sendiri lebih mengenali beliau melalui cerpen antaranya (ketika itu) Mencipta Berlian, Susahnya Nak Kahwin! dan sebagainya.



Kini, setelah hampir setahun lebih mengenali Aidil Khalid dan karya-karyanya, saya dapat melihat kemajuan sahabat saya ini dalam bidang puisi. Pemilihan katanya sudah berada dalam susunan yang baik- sudah mampu membuatkan saya berasa teruja walaupun setelah habis puisinya saya baca.


Puisi Tawaran, merupakan puisi Aidil yang kedua yang mampu menghadirkan keterujaan saya sebagai seorang pembaca dan penulis khususnya.


Saya menanggapi Aidil Khalid cuba mengkritik timbunan filem yang berunsurkan tahyul dalam industri perfileman negara. Tidak dinafikan selera tonton masyarakat nampaknya sudah menjurus ke arah itu atau mudah saya katakan, masyarakat kita sudah kembali ke zaman pemeliharaan jin dan iblis walaupun tidak secara langsung. Sesuatu yang pada pendapat peribadi saya, memundurkan ketamadunan bangsa.



Saya menyenangi ayat-ayat terakhir Aidil dalam puisi Tawaran. Aidil meminta agar jin tersebut menghadiahkan kepada beliau sebatang pena untuk memelihara dan memulihara kemuliaan kemanusiaan. Aidil Khalid cuba mengangkat peranan bidang penulisan, tidak kira dalam genre apa sekali pun, bahawa penulis itu menggalas tanggungjawab sosial di pundaknya. Saya sendiri percaya bahawa kita adalah apa yang kita baca. Maka bahan bacaan itu haruslah dipelihara kemuliaan insannya oleh penulis. Maka, saya sangat bersetuju dengan usulan beliau dalam puisi ini - kuasa sebatang pena dalam melestarikan ketamadunan manusia.



Saya tidak tahu apakah ada mesej lain yang ingin disampaikan oleh Aidil Khalid dalam Puisi Tawaran beliau, tetapi inilah resensi kerdil daripada saya. 

Tahniah Aidil Khalid! Semoga terus cemerlang dalam bidang ini walau apa pun genre yang beliau karyakan. Teruskan 'membunuh'!


*Gambar dicuplik dari Facebook Aidil. Hehehe=p 

12 Bicara Balas.:

BiLA PenA bERbicAra said...

Tambah komen:

Walaupun jin tu nak bagi Aidil harta benda berharga dan kemudian memang akan terikat dengan jin tu sebab biasalah kalau dah bekerja dengan jin mana mahu lari lagi? Sampai matilah jawabnya sengsara dengan benda tu. Dan Aidil pilih pena.

Maksudnya, daripada dapat duit dengan menulis benda-benda tak mendatangkan faedah kepada masyarakat,lagi bagus tak menulis langsung!

Jamilah Mohd Norddin said...

Wah, akak.. Makin cantik blog ni.... Bertukar wajah...

Fahd Razy said...

saya lebih nampak 'politik' nya. haha. Apa-apapun, ulasan yang baik!

hani salwah yaakup said...

Setuju ngan Fahd. Akak pun lebih nampak politiknya disitu...huhu. Tapi, suatu ulasan yang menarik. Lari daripada kebiasaan...

BiLA PenA bERbicAra said...

Jamilah, terima kasih... kredit untuk Ilham Hafiz. Beliau yang tolong buatkan benda alah ni. Ikut Kak Eja kamu ni, agak tunaIT.heheh =)


Abang Fahd,Kak Hani, tafsiran Eja tu dibuat pada bacaan imbasan pertama dan ada juga agakan bahawa Aidil menulis tentang politik.

Bagi Eja, Aidil adalah seorang penulis yang menyenangi gaya satira dalam penulisannya.Maka walau apa pun karya yang digarapkan oleh Aidil, Eja tetap cuba untuk mengesan kehalusan 'pembunuhan' yang dilakukan oleh beliau.


Cuma dalam bidang penulisan, minda Eja tak disetkan untuk menulis tentang politik. Maka, Eja lebih senang melihat dari sudut obligasi seorang penulis di situ.

Apa pun terima kasih kerana abang dan kakak sudi berkongsi pandangan yang selainnya daripada Eja.=)

BiLA PenA bERbicAra said...

Tambah komen:

Abang Fahd dan Kak Hani lebih nampak akan isu politik di situ. Saya melihat pada isu obligasi penulisan dalam memartabatkan ketamadunan manusia.

Tidak dapat disangkal, citra yang digunakan oleh Aidil Khalid seperti;

Bulan mengambang
Bulan sabit
Roket terbang
Dacing,

mewakili lambang parti-parti politik di Malaysia.

Apa pun, pendapat tak ada salah atau betulnya kerana dalam hidup ini, terkadang kita melihat sesuatu itu dari tasawwur yang berbeza.=)

Aidil Khalid said...

Eja,

Sebuah karya, sebaik sahaja terbit, memang menjadi milik khalayak sepenuhnya untuk mentafsirkan bagaimana sekalipun. Hak pengarang untuk meletakkan makna terhadap karyanya sudah tamat.

Saya suka ulasan Eja ini. =)

iLhAm.HaFiZ said...

assalamualaikum w.b.t.

sayidah mu'izzah...
usaha yang bagus. tahniah buat saudara aidil khalid!

BiLA PenA bERbicAra said...

Aidil,

Terima kasih..Eja sangat setuju dengan pandangan Aidil itu.

Ilham Hafiz,
Terima kasih untuk sokongan itu.Juga terima kasih untuk ubahsuai blog ini.

iLhAm.HaFiZ said...

salam...

sayidah mu'izzah...
tidak perlu berterima kasih... hanya membantu seadanya... harap dapat terima. jika ada yang kurang senang atau selesa, bagitahu, insyaAllah, akan saya perbetulkan...

BiLA PenA bERbicAra said...

wassalam, Ilham Hafiz,

setakat ini eja sudah berpuas hati...
=)

MusFiRaH_ShUKRi said...

Yole cik kak oiy... Skrg dah x men copy dah. Siap x lyn blog lg tau... Heheh. Ni pun nk tau khaba' je ni. Oh ye! Mana shoutbox nyer? Susahla x der bnda tu tau?