Pages

6.30.2010

BAGAIMANA IDEA MEMBENTUK?

 Apa yang kreativiti anda katakan mengenai bunga-bunga (idea) ini? Adakah ia akan berubah menjadi seorang puteri atau pun seekor naga?



RAMAI yang bertanya bagaimana saya memperolehi idea untuk menulis. Atau daripada mana idea itu datang. Ramai juga yang menyatakan bahawa mereka kekeringan idea. Atau kehilangan idea. Atau langsung tiada idea.

Mengimbau kembali pengalaman di Minggu Penulis Remaja 2007, ada kata-kata mengenai idea daripada pembimbingnya iaitu Abang Faisal Tehrani menjadi pegangan saya sehingga sekarang.

"Jangan kata kamu semua tidak ada idea. Idea itu sentiasa ada di sekeliling kamu."

Idea memang sentiasa ada di sekeliling kita. Baik ketika makan, ketika minum, ketika tidur, ketika bersiar-siar, idea sentiasa ada. Yang tidak menyedari kehadirannya adalah orang yang mencari itu sendiri.

Jadi, untuk soalan bagaimana saya memperoleh idea untuk menulis adalah dengan menjadi seorang yang kreatif kerana setiap perkara di sekeliling kita boleh dijadikan sebuah cerita dan mungkin pelbagai jenis cerita. Jika diikutkan hati, setiap benda yang berada di sekeliling saya, ingin saya jadikan puisi, cerpen mahu pun novel.

Kepada sesiapa yang telah membaca novel sulung saya, Janji Miftahul Raudhah, anda tentu telah membaca puisi dalam kisah tersebut. Jadi di sini, itulah bukti bahawa seorang gadis yang bernama Miftahul Raudhah boleh menjadi novel dan boleh juga menjadi sebuah puisi.

Janji Miftahul Raudhah adalah idea yang diperam sejak 6 tahun yang lalu. Sejak zaman persekolahan lagi  saya sangat mahu menceritakan perihal remaja di sekolah saya, baik yang bagus mahupun remaja yang nakal. Sejak 6 tahun yang lalu saya lebih menjadi seorang pemerhati dan penilai. Saya cerakinkan satu per satu sifat dan sikap seseorang dan seseorang yang lain, dan kemudian saya cipta satu watak dalam novel tersebut.

Bagaimana idea untuk membentuk watak ayah kepada Miftahul Raudhah menyinggah? Watak itu sebenarnya, saya cipta dengan menyerapkan perwatakan nenek saya baik dari segi nasihat mahupun perlakuan. Ramai pembaca mungkin memikirkan dari awal bahawa watak seorang ayah itu berasal daripada watak seorang lelaki juga. Jawapannya adalah, tidak. Perwatakan ayah Miftahul Raudhah adalah hasil adunan yang saya lakukan daripada perwatakan nenek saya yang membesarkan saya dan mendidik saya sejak kecil. Itulah yang dinamakan proses penulisan kreatif. Anda tidak perlu untuk terlalu berkeras apabila menyerap perwatakan realiti dalam perwatakan idea anda.

Maka, perkara yang anda harus faham adalah, idea bukanlah datang dalam bentuk seketul batu tetapi ia datang dalam bentuk yang fleksibel, yang mungkin boleh berubah, menyerap, melantun, melengkung dan membentuk apa-apa sahaja pada bila-bila masa.

Jadi, mulai sekarang, fokuskan dalam minda bahawa, idea itu sentiasa ada di sekeliling anda waima dalam mimpi. Yang penting adalah kreativiti anda untuk mengembangkan idea tersebut.

Ingat, idea itu sentiasa ada. Berkreatiflah!

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Sayidah Mu'izzah,

Bagus entri awak kali ini. Memang inilah yang saya tunggu-tunggukan selama ini. Melihat bagaimana awak berkongsi pandangan awak mengenai penulisan dengan masyarakat (mereka yang memerlukan bimbingan awal, tetapi mungkin tidak tahu di mana).

Saya melihat bunga itu sebagai diri saya sendiri. Mungkin ada orang melihat bunga itu 'busuk', tetapi ada juga sebahagiannya melihat bunga itu 'wangi'. Bukan kita yang berhak menentukan busuk atau wanginya kita. Tetapi, apa yang penting, kita lakukan yang terbaik dalam setiap tindakan. =)

Sayidah Mu'izzah said...

Wassalam Hafiz,

Terima kasih sudi menjengah entri saya kali ini. Ini cuma bantuan kecil yang mampu saya berikan atas permintaan beberapa orang rakan.

Perspektif bunga itu bagus. Kita adalah 'Tuhan' dalam karya kita. Jadi kita berhak menentukan apa sahaja. apabila karya itu tiba di tangan editor atau pembaca, itu pula hak mereka untuk menyatakan perspektif mereka.