Pages

7.05.2010

PUISI DAN BUDAYA i (PUISI MODEN)

PUISI

Samuel Taylor Coleridge mendefinisikan puisi sebagai "Pemilihan kata terbaik dalam susunan terbaik."

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula menyatakan bahawa, "Puisi ialah karya yang dimaksudkan dalam satu-satu pembicaraan yang mencapai peringkat tertinggi iaitu peringkat sastera."

Bagaimanakah rupa sesebuah puisi yang didefinisikan oleh orang-orang hebat dalam bidang sastera?

Saya memberi contoh puisi Anak Laut karya Saudara Rahimidin Zahari (Antologi Anak Laut KOMSAS Tingkatan 4);

Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta

Perkataan kolek, pasir, anak laut dan muara adalah citraan laut. Maka, pemilihan kata oleh Saudara Rahimidin Zahari berada dalam susunan kata-kata yang terbaik kerana tidak mengalami masalah citraan berbaur. Puisi ini juga menggunakan kata-kata yang kongruen dengan citra yang digunakan sebagai contoh, kolek terdampar. Saudara Rahimidin Zahari tidak menggunakan kolek terbaring atau terlentang kerana kata-kata itu tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan sebuah kolek yang tersadai di pinggir pantai.

Maka, pada pandangan saya, puisi Anak Laut adalah puisi yang sempurna dan memenuhi definisi-definisi puisi di atas.


BUDAYA

Kamus Dewan mendefinisikan budaya sebagai, tamadun, peradaban, kemajuan fikiran dan akal budi.


Maka, di sini saya mendefiniskan PUISI + BUDAYA =

Susunan kata-kata falsfah (terbaik) dalam seni sastera (seni tertinggi) yang MEMPERJUANGKAN ketamadunan, peradaban, kemajuan dan akal budi BANGSA,AGAMA dan NEGARA.

Seringkali kita lihat, ramai yang mendakwa bahawa mereka telah menghasilkan puisi atau sajak (walaupun dalam masa 5 minit atau setelah dia bangun tidur, dia terus menulis yang dikatakan olehnya sebagai sajak atau puisi itu).

Aku cinta padamu
aku tidak rela untuk terpisah
walau sejengkal sekali pun

atau yang begini;


Aku, kau dan dia
tidak mungkin bersatu
kerana cinta tidak bisa begitu

Ada yang menyatakan bahawa rangkap di atas adalah puisi. Saya dengan sebulat hati kerdil ini, menyatakan bahawa itu bukan puisi tetapi itu adalah luahan perasaan semata-mata

Puisi bukan medium peluahan kejiwangan anda atau yang disebut oleh Faisal Tehrani sebagai puisi ranjang. Malah, proses penghasilan puisi bukanlah proses penulisan selama 5 minit. Anda mungkin bisa menulis dalam diari dengan hanya 5 minit tetapi tidak dalam penulisan puisi.Puisi adalah penulisan genre yang mempunyai falsafahnya yang tersendiri yang kadangkala mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk disempurnakan. Saya ulang, disempurnakan bukan disiapkan.

Di negeri inilah
aku sesat mencari sekeping matahari
betapa kuterokai lalang diri
semakin aku adalah semut-Mu
semakin aku
akulah semut-Mu


(Fahd Razy, Sang Semut, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008)


Rangkap di atas akan saya namakan sebagai salah sebuah puisi yang sempurna baik dari segi susunan kata, pemilihan kata-kata juga falsafah yang mencerminkan budaya.

Citra yang digunakan adalah citra sebuah negeri iaitu negeri, matahari, lalang dan semut. Citra yang digunakan adalah citra yang sempurna. Ditambah pula dengan sifat manusia yang sesuai untuk diletakkan pada sang semut iaitu sesat dan diterokai. Maka citra dan penggunaan kata sifat manusia adalah kongruen dalam susunan kata-kata yang terbaik.

Falsafah yang digunakan oleh saudara Fahd Razy diambil daripada makhluk Allah SWT yang kerdil iaitu semut yang menggambarkan bahawa betapa kerdil diri penulis sebagai hamba-Nya. Matahari digambarkan sebagai sinar iman.Lalang menggambarkan iman manusia yang sering kali goyah. Dan betapa seorang manusia itu kerdil, maka 'akulah semut-Mu'.

Saudara Fahd Razy telah menyempurnakan sebuah puisi. Apakah budaya yang dibawa dalam puisinya? Budaya yang dibawanya adalah budaya beragama yang memberi manfaat kepada bangsa, negara dan agama.

Maka, jelaslah di sini bahawa untuk mencapai susunan kata-kata terbaik yang dapat didefinisikan sebagai seni sastera yang tertinggi bukanlah satu kerja yang mudah. Ia merupakan proses yang memerlukan kehalusan penelitian dan ketepatan analogi. Dan yang paling penting sesebuah puisi haruslah berbudaya.


(Seperti yang dibentangkan oleh penulis di Kursus Induksi Kelab Puisi UIAM 2009, Gombak)

2 Bicara Balas.:

iLhAm.HaFiZ said...

Assalamualaikum w.b.t.

Sayidah Mu'izzah,
Tahniah! Satu perkongsian yang saya kira sangat berguna juga untuk semua yang baru mahu berjinak-jinak menulis puisi dan lain-lain genre.

Teruskan berkongsi dan teruskan juga mengorak ilmu yang tidak ternilai. =)

BiLA PenA bERbicAra said...

Waalaikumussalam Hafiz,

Terima kasih...Saya suka untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Kalau ada pendapat boleh dikemukakan juga di sini. =)