Pages

10.07.2010

MENYELONGKAR ENTRI-ENTRI LAMA - DALAM PERUBAHAN USIA

ENTAH jangkitan apa yang disuntik malam membuatkan saya rajin menyelongkar kembali entri-entri lama. Sedar dan tidak, sudah 4 tahun saya menyandang gelaran 'blogger'.

Dalam menyelongkar segala jenis entri, saya makin sedar bahawa saya makin jauh menuju ke daerah kedewasaan. Mudah cerita seperti yang diguraukan oleh rakan-rakan "sudah semakin tua".

Ah, terlalu pantas masa berlari! Barangkali sahaja memecut membiarkan saya termengah sendiri ditinggalkannya. Makin dewasa, makin tua, makin banyak dugaan yang harus dihadapi, makin banyak miliki pengalaman, makin rasa madu dan jadam kehidupan.

Ada entri yang jelas menunjukkan kemarahan, kegeraman, pemberontakan jiwa sebagai seorang gadis awal remaja. Kemudian menjadi lebih tenang dalam penulisan entri pada tahun selepasnya. Sepeka saya, rasanya blog ini sudah bertukar lagi trend penulisannya pada tahun ini. Entahlah. Perasaan saya atau, ia memang benar, sendiri malas untuk menilai sebenarnya.

Malam ini, malam menyelongkar sejarah hidup sendiri di blog. Sejarah daripada punyai sedikit kematangan, kepada sedikit lagi pertambahan kematangan itu dan masih, belum cukup matang barangkali.

Sehingga hari ini, masih belajar 'membaca' dunia dan isinya. Dan masih membaca masa yang semakin tidak mencukupi rasanya di kedua-dua belah tangan ini.

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Eja,
Saat awak menyelongkar entri-entri lama untuk melihat perubahan usia, ya, tidak dinafikan memang terdapat perubahan yang dibahagikan kepada dua iaitu ketara dan tidak ketara.

Tidak ketara;
Perubahan dari cara penyampaian, penggunaan bahasa.

Ketara;
1) Awak semakin tua! ;p
2) Memang susunan ayat menjadi lebih matang. Entri juga seiring dengan pertambahan usia awak.
3) 'Layout' laman sesawang awak juga sudah berubah 3 kali kalau tidak salah saya.

Apapun, kadang-kadang, memang kita perlu melihat ke belakang. Ada kisah lucu yang ditinggalkan. =)

Sayidah Mu'izzah said...

HAFIZ,

Alhamdulillah, usia bertambah dan masih Allah berikan umur yang panjang.

Ya, saya akui saya makin tua. Manusia mana yang makin muda?

Apa pun, memang banyak perkara yang berlaku dalam hidup rupa-rupanya, setelah diselongkar segala macam isi blog ini.

'layout' sudah 4 kali rasanya ditukar. =)

Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog ini. =)