Pages

12.18.2007

YAHUDI YANG MEMELUK ISLAM- KISAH DI SEBALIK KESUCIAN AL-QURAN

Telah menjadi satu rutin bagi ahli silat Gayung untuk memberikan tazkirah setelah selesai menjalani latihan. Ada sebuah cerita yang ingin saya kongsi pada kali ini. Cerita ini saya ambil daripada tazkirah salah seorang brother, juga ahli silat Gayung.


Ketika zaman sahabat, ada seorang lelaki yahudi yang suka menyertai majlis syuraa yang diadakan oleh orang Muslim. Lelaki yahudi ini terlalu suka mempertikaikan apa sahaja yang dibincangkan oleh umat Islam dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar hal. Pendek kata, dalam setiap majlis syuraa yang diadakan mulut lelaki ini tidak pernah mahu senyap.
Pada suatu hari, ketika lelaki ini berada dalam majlis syuraa, orang Muslim berasa tersangat hairan kerana si lelaki yahudi yang terkenal dengan mulutnya yang becok itu hanya diam saat bermula majlis sehingga tamat majlis. Maka salah seorang Muslim pun bertanya kepada lelaki tersebut,


“Wahai, yahudi. Mengapa engkau berdiam diri sahaja hari ini?”


“Jangan panggil aku yahudi. Aku adalah seorang Muslim.” Ujar lelaki tersebut.


Muslim yang bertanya tadi sangat terkejut mendengar pernyataan itu. Oleh sebab itu, Muslim tersebut bertanya, “Apakah sebabnya engkau memeluk Islam sedangkan dalam setiap majlis engkau sentiasa mempertikaikan apa yang kami (umat Islam) bincangkan?”


Lelaki itu memulakan kisah bagaimana hatinya terbuka untuk memeluk Islam.
“Aku sebenarnya adalah seorang penulis kitab Injil. Aku sering mengubah kandungan kitab yang diturunkan untuk Isa itu. Sudah terlalu banyak inti patinya yang aku ubah dan kitab-kitab yang ku gubah itu ku jualkan ke kedai-kedai. Itulah punca rezekiku selama ini.


Pada satu ketika, hatiku terdetik untuk mengubah kandungan al-Quran. Maka aku mengubah isi al-Quran itu pada tiga tempat. Setelah selesai, aku pergi ke sebuah kedai untuk ku jualkan kitab palsu itu.


Di kedai yang pertama, tuan kedai itu menolak kerana setelah diperiksa, kesalahan pertama telah dijumpai.


Di kedai yang kedua juga tuan kedai telah menolak kerana kesalahan kedua pula telah dijumpai.


Maka aku pergi ke kedai yang pemiliknya adalah seorang yang buta. Aku tunjukkan kepadanya kitab itu. Tiba-tiba anak kecil pemilik kedai itu membelek-belek kitab yang telah ku gubah lalu berkata “Ayah, ini bukan al-Quran. Ada kesalahan pada kitab ini.” Jadi, aku tahu bahawa kesalahan ketiga yang telah aku lakukan dengan sengaja itu telah dijumpai.


Lantas aku menyedari bahawa al-Quran adalah sebuah kitab suci umat Islam yang terpelihara. Tidak akan ada sesiapa pun yang dapat mengubah kandungannya tidak seperti kitab-kitab lain sedangkan tiada sesiapa pun yang menyedari tentang kesalahan kitab injil yang telah berkali-kali kulakukan itu. Setelah menyedari kesucian al-Quran yang terpelihara ini, aku memutuskan untuk memeluk agama suci Islam.


Sememangnya Allah swt telah berfirman di dalam surah al-Hijr ayat 9 bahawa Dia yang menurunkan al-Quran dan Dia jugalah yang akan memelihara kitab suci itu.


“Sesungguhnya Kami lah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”


Brother tersebut juga ada menceritakan sebuah kisah yang baru sahaja berlaku. Baru-baru ini ada seorang hafiz al-Quran yang meninggal dunia. Setelah dikebumikan ada saksi yang telah memberitahu bahawa dia telah melihat ayat-ayat al-Quran dari kubur hafiz itu telah naik ke langit.


Kisah ini mungkin benar kerana apabila hampir hari kiamat, para hafiz akan dilenyapkan ingatan mereka terhadap ayat-ayat al-Quran yang telah mereka hafaz.


Maka, fikir-fikirkanlah berapa langkah lagi dunia ini dengan hari Kiamat biar pun kita memang tidak akan dapat menjawab persoalan itu. Wallahu’alam.


SELAMAT HARI RAYA ‘AIDUL ADHA

0 Bicara Balas.: