Pages

1.02.2008




Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2008 MASIHI.

Apabila tahun baru menjelma, banyak juga azam baru menjelma. Ada azam yang betul-betul direalitikan, banyak pula azam yang selayaknya di gelar hangat-hangat tahi ayam. Apa pula azam anda menjelang tahun 2008?
Ada orang berazam mahu menjadikan tahun baru sebagai tahun untuk mereka membina kecemerlangan. Maka, untuk membina kecemerlangan agar masa depan gemilang untuk didiami, anda perlu sedia untuk berubah. Ingat perkataan ini, BERUBAH!




TIGA SPESIS MANUSIA MALANG


Ramai manusia yang sekadar berlegar di ambang kejayaan kerana mereka tidak pernah sedia untuk berubah agar menjadi orang yang cemerlang. Ada orang yang tak mahu berubah kerana mereka tidak tahu apa yang perlu diubah. Orang ini datangnya dari spesis ‘tak pernah nak muhasabah diri’. Ada pula yang tak tahu bagaimana hendak berubah. Orang ini pula dari spesis ‘tak pernah nak tolong diri sendiri’. Dan ada orang yang tidak nampak keperluan untuk berubah. Ini pula spesis ‘tak pernah nak sedar diri’. Jadi, periksa diri anda adakah anda termasuk dalam ketiga-tiga golongan yang telah saya sebutkan tadi?


Jika anda mahu berubah, bermula sekarang, carilah titik perubahan (turning point) untuk menjadi orang yang lebih cemerlang pada hari ini berbanding semalam dan lebih lebih cemerlang pada hari esok berbanding hari ini.




SEKOLAH HAYAT ADALAH TITIK PERUBAHAN


Setiap orang memiliki titik perubahan tersendiri bersandarkan sekolah hayat mereka. Ada banyak perkara yang mengajar anda untuk berubah menjadi orang yang lebih cemerlang. Contoh yang lazim, tahun baru seperti yang saya katakan pada awal entri ini. Ada yang berubah selepas dihina, didorong, dikecewakan, gagal, diberi nasihat, mendapat anugerah dan yang paling nikmat perubahan itu adalah ilham daripada Allah swt. Tetapi, inti pati yang penting yang harus ada dalam diri anda ialah BERTINDAK!

Kerana Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra’du ayat 11:


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.”


Maka pilihan terletak pada diri anda.


“Sesungguhnya mukmin yang kuat itu lebih baik daripada mukmin yang lemah” (al-Hadis)


Nah, bertindaklah sekarang sebelum terlambat. Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan tanpa ada sebarang kecemerlangan untuk dunia. Mati pula terlalu dekat untuk anda kejar tanpa sebarang kecemerlangan untuk akhirat. Untuk hidup kita perlu cemerlang, untuk mati juga kita perlu cemerlang. Bukankah dunia itu jambatan ke akhirat?


Semoga jumpa lagi! Selamat merealisasikan azam tahun baru anda. Selamat membina kecemerlangan yang lebih-lebih cemerlang.

0 Bicara Balas.: