Pages

1.04.2008

TAMAM MANIKAM KALBU


Setelah Detektif Indigo dan 1515H [Kombat], novel yang baru sahaja saya hadam ialah Manikam Kalbu oleh Faisal Tehrani. Jalan ceritanya cukup menarik. Maka tidak hairanlah apabila novel ini memenangi tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka.

Usai membaca, saya syorkan pula kepada teman sebilik. Ketika teman saya itu membaca novel ini, beliau selalu tertawa. Ya, jalan cerita Manikam Kalbu tidak membosankan. Ada unsur humor dalam cerita tersebut di samping memberitahu kita tentang sejarah seorang jurubusana istana yang bernama Manikam Kalbu. Ramai yang mungkin terpinga-pinga apabila mendengar nama Manikam Kalbu termasuklah saya sendiri. Wujudkah orang yang bernama Manikam Kalbu ini?

Maka, atas dasar ingin tahu, saya pun menghantar SMS kepada penulis novel ini.

-Abang Faizal, Manikam Kalbu ni betul-betul wujud ke?
=Wujud. Pusara almarhum ada di Sentul dan panjang pusara tu 18 kaki.
-Perjalanan Manikam Kalbu tu pun betul ke?
=Betul. Jejak almarhum dapat dikesan di Acheh dan Palembang. Kalau nak tahu, tanya Nas. Dia tahu tentang tu.


(Malang sekali saya masih belum ada kesempatan untuk berbual-bual dengan Kak Nasriah Abdul Salam kerana masing-masing sibuk walaupun kami menuntut di fakulti yang sama.)

Berbalik kepada Manikam Kalbu, ya, novel ini menceritakan sejarah.Lebih khusus, sejarah busana Melayu yang menurut ciri-ciri yang dikehendaki oleh agama Islam yang suci. Dalam novel ini pula setiap plotnya mempunyai pelbagai ilmu yang dapat diperolehi. Bukan hanya sejarah Melayu dan Islam, tetapi juga ilmu jahitan,ilmu tekstil,ilmu sains dan sebagainya. Ilmu tersebut pula disampaikan dengan cara yang menambat hati.

Dengarnya seperti buku ilmiah apabila saya katakan terdapat banyak ilmu yang diperolehi daripada novel ini. Tidak, ini bukan buku ilmiah seperti yang anda harus depani setiap hari untuk lulus peperiksaan tetapi ia merupakan sebuah novel yang bukan hanya menyampaikan cerita semata-mata tetapi juga memberikan input kepada anda. Beginilah ciri-ciri novel yang seharusnya dibaca oleh generasi muda. Ia lebih mengasah minda berbanding novel-novel picisan yang terdapat di pasaran yang hanya membenarkan anda melayan perasaan sendiri.

Maka, tidak rugi jika anda membaca novel ini kerana jalan ceritanya sangat menarik dan yang paling penting ialah dapatannya dari awal hingga akhir bacaan.

4 Bicara Balas.:

Aurora Trading & Services said...

salam...wah2...harus dbeli ni...

Raden Qurratu 'Aini said...

ana dah cuba mencari di kedai2 buku terkemuka, tapi kenapa susah sungguh nak menemukannya?

terpikat dengan cerita ini, walaupun belu membacanya!

Izzati said...

salam, kak muizzah..

wah, tak sangka manikam kalbu betul2 wujud!
nnt nak soal siasat kak nas jugalah!
=)

Anonymous said...

hahaha!!

tanya, tanya...meh pakat tanya akak!

(sabar aje lah aku!)