Pages

6.23.2009

RESENSI KERDIL SEORANG PEMBACA

SETELAH buku-buku antologi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2009 menyentuh telapak tangan usai majlis penganugerahan 19 Jun 2009 yang lalu, antara cerpen yang terawal saya serbu ialah cerpen-cerpen pemenang hadiah utama iaitu Dari Kalbu ke Kalbu, Delusi dan Teman, Cukuplah Kami.Maka di sini, saya perturunkan sedikit resensi kerdil seorang pembaca.

Sebelum itu, tahniah kepada semua pemenang HSKU 2009.

Baiklah. sekarang saya mulakan resensi kerdil ini.

Saya menemui masalah relevensi dalam dua cerpen iaitu dalam cerpen Dari Kalbu ke Kalbu dan Teman, Cukuplah Kami. Kita lihat dahulu apakah masalah relevensi yang saya temukan dalam cerpen Dari Kalbu ke Kalbu.

“Gadis ini berusia 19 tahun. Hampir sebulan koma dipercayai akibat demam denggi…”

(Dari Kalbu ke Kalbu: 44)

Saya jadi tertanya-tanya apakah seorang pesakit demam denggi yang koma (bermakna dia masih dijangkiti oleh kuman tersebut), dibenarkan untuk mendermakan jantungnya untuk ‘menghidupkan’ orang sedangkan pemiliknya sendiri sudah hampir menemui maut? Apakah tidak ada apa-apa kesan sampingan kepada si penerima jantung itu?

Saya tidak mahu menyentuh soal jantung pertama yang diterima oleh Nabila kerana saya melihat ‘jantung’ itu membawa maksud konotasinya yang tersendiri.

Saya bukan doktor atau arif tentang ilmu perubatan. Betulkan saya jika saya silap. Setahu saya apabila sesuatu penyakit itu berkaitan dengan darah contohnya demam denggi iaitu jangkitan kuman yang dibawa oleh nyamuk melalui saluran darah, maka secara tidak langsung, ia akan memberi kesan juga terhadap jantung. Bukankah jantung fungsinya mengepam darah ke seluruh tubuh manusia?
Apakah Doktor Salina tidak mengetahui akan fakta perubatan tersebut? Sekali lagi, betulkan saya andai saya silap.


Ketika saya membaca cerpen Delusi, saya temui pendekatan yang sangat bersesuaian dengan tajuknya yang membawa maksud kepercayaan, pendapat atau idea yang silap atau mengelirukan.

Cerpen ini berkisar tentang delusi rakyat Malaysia mengenai potensi skuad bola sepak negara melalui keluhan dan peluahan cita-cita seorang kanak-kanak yang bernama Azharudddin.

Bagi saya, cerpen ini mengambil manfaat yang sepenuhnya daripada tajuk Delusi itu dengan menerangkan kepercayaan yang silap tentang potensi skuad bola sepak negara juga dengan menggunakan idea yang ‘mengelirukan’ dalam diri kanak-kanak yang berumur 8 tahun itu melalui ilusinya berbicara dengan Ronaldinho dan kemudian masuk ke peti televisyen.

‘Kamera televisyen kini memfokuskan wajah Azharuddin yang kemudiannya berkata “ Jangan bimbang, saya akan pulang selepas perlawanan ini dan menyiapkan kerja sekolah. Izinkan saya mempamerkan bakat di sini dulu, kemudian saya penuhi kewajipan saya sebagai pelajar. Saya pulang sebagai duta kecil dan pasti akan saya ubah wajah bola sepak negara. ”’

(Delusi : 62)

Petikan di atas sudah cukup memberi kesan delusi terhadap saya si pembaca. Bukan delusi yang membawa maksud idea yang silap tetapi idea yang mengelirukan “Apakah benar Azharuddin berada di dalam peti televisyen itu?”

Beralih kepada cerpen Teman, Cukuplah Kami, saya mengesan sedikit masalah teknik imbasan kembali apakala ada pengunaan ‘kini’ dalam penceritaan Naseem (watak utama).

‘Kalau dulu saya dikendong ibu…. kini saya….’

(Teman, Cukuplah Kami: 98)

‘Gadis comel bersama kamera besarnya terhinggut-hinggut menangis. Dia yang sejak tadi setia mendengar kisah hidup si bekas peminta sedekah ini berhenti mencatat.’

(Teman, Cukuplah Kami: 104)

Pada pendapat saya yang kerdil dalam ilmu kesusasteraan ini, penggunaan kata ‘kini’ membuatkan saya berasa janggal usai membaca cerpen ini setelah mendapat tahu bahawa cerita itu sebenarnya adalah cerita dalam cerita yang membawa maksud pengimbasan kembali.

‘Kadang-kadang orang seperti ayah yang masa luangnya di kedai teh (yang lebih mirip sebuah bangsal buruk) terdorong juga bercakap tentang isu semasa’

(Teman, Cukuplah Kami: 95)

‘Tetapi dengan upah bapa sebanyak 30 taka (RM 3)…. andalah menyimpulkan sendiri bagaimana 30 taka dapat menampung kehidupan kami empat beranak’

(Teman, Cukuplah Kami: 92)

Saya berasa tertipu di sini apakala pada mulanya si pencerita meminta saya (saya meletakkan diri saya seorang pembaca sebagai gadis comel yang memegang kamera itu) membayangkan bagaimana RM 3 dapat menampung kehidupan yang miskin lagi sesak (walaupun hendak membeli tepung), dan tiba-tiba si ayah dengan senang hati meluangkan masa di kedai teh. Walaupun kedai teh itu mirip sebuah bangsal buruk, wang tetap akan melebur di situ bukan?
Keyakinan saya terhadap kesusahan yang dihadapi oleh keluarga si peminta sedekah itu jadi goyah. Saya mula memperkotak-katikkan cerita Naseem, benarkah kehidupan mereka empat beranak sangat miskin sehingga mewarisi pekerjaan peminta sedekah sedangkan si ayah sesuka hati meneguk teh di kedai? Atau mungkinkah si ayah hanya duduk-duduk di kedai tersebut? Atau mungkin si ayah itu sebenarnya adalah seorang bapa yang tidak bertanggungjawab?

Oleh sebab hak kesimpulan ‘andalah yang menyimpulkan sendiri’ pada permulaan cerpen itu diberi kepada saya (si gadis comel yang memegang kamera), saya berasa tertipu oleh fakta yang diceritakan oleh Naseem. Maka, mengapa harus saya menangis di akhir ceritanya?

3 Bicara Balas.:

Aidil Khalid said...

Saya belum baca dua buah lagi cerpen, jadi saya cuma mahu mengulas mengenai cerpen Delusi itu. Sejujurnya, saya sangat sukakan cerpen tersebut. Cerpen tersebut adalah sebuah cerpen yang bukan ditulis dalam bentuk yang konvensional, justeru tidak boleh dibaca secara konvensional. Ianya ditulis dengan menggunakan teknik realisme-magis, jadi kalau hendak menikmatinya, haruslah dikunyah dengan diiringi lauk-pauk realisme magis juga. =)

Sekadar pandangan.

HAFIZ LATIFF said...

salam...

betul apa yang dikatakan oleh saudara Aidil... cuma, walau apapun yang kita 'hadam', pasti ada yang akan 'diluahkan' kembali kan?

Sayidah Mu'izzah said...

Ini cuma resensi sasterawan kerdil seperti saya, Aidil. Hanya mahu berkongsi pandangan. Saya juga sukakan cerpen Delusi itu. Langgam penceritaannya berkesan. Dan sungguh berkesan apakala tiba di akhir bahagian.

Ilham, apa yang dihadam, akan diluahkan. Tapi,harus diingat,sebelum menghadam, harus hati-hati memilih makanan. Harus makanan yang baik.Makanan yang baik akan menjadi darah daging kita. Sama halnya dengan membaca sesebuah karya yang baik, akan dihadam, menjadi darah daging yang baik juga untuk seseorang penulis.