SYAHDU membega ruang. Azan di sebelah kanan. Iqamah di sebelah kiri. Maka sempurnalah asas ilmu ma'rifah pada kedua-dua belah pendengaran insan fitrah itu berbaur teriak tangisnya.
Pendengaran si kecil harus digulakan dengan kemanisan kalimah iman. Dan pada waktu itu tarbiah ketakwaan pun bermula. Itulah amanah pertama seorang ayah setelah saat kelahiran bayinya.
Bayi lelaki yang baru sahaja menjadi warga bentala itu sudah berhenti menangis apakala disusui ibunya. Si ayah sujud syukur. Si ibu pula tersenyum bahagia melihatkna perlakuan suaminya itu. Dia dapat rasakan betapa suami yang dikasihinya sangat menghargai waktu-waktu sulit selama sembilan bulan dia mengusung zuriat mereka. Apatah lagi zuriat yang hadir tanpa sebarang noda dosa itu, lahir atas nama ikatan yang barakah.
"Umat baru sudah lahir, As-Siddiq. Ia fitrah. Sangat suci seperti embun dara di pagi hari." Al-Amin memandang sahabat baiknya yang sentiasa setia di sisi sambil melemparkan kuntum senyuman.
As-Siddiq merenung bayi lelaki yang sangat comel itu. Tubuhnya sihat. Kulitnya putih gebu kemerah-merahan. Dalam balasan senyum As-Siddiq berkata.
"Benar Al-Amin. Suara tangisnya itu seperti siulan burung di taman syurga. Semoga Allah memberi rahmat kepada setiap tangga hidupnya." Ucap As-Siddiq membenarkan kata-kata sahabat yang amat dikasihi. Al-Amin mengangguk dan entah apa punca, dia kemudiannya membisu seribu bahasa.
Mereka berdua mengiringi bayi lelaki itu ke wad bersalin bersama-sama ibu dan ayahnya. Wajah pasangan suami isteri itu tampak begitu ceria apatah lagi si ibu. Walaupun raut lembutnya kelihatan lemah usai saat melahirkan, ibu itu yang ditolak gerakannya di atas sebuah kerusi roda, masih dapat mengukir senyum. Setiap kakitangan hospital yang berselisih bahu dengan mereka mengucapkan tahniah. Akhirnya mereka tiba di wad yang dindingnya dicat dengan warna biru lembut dan Al-Amin kembali bersuara.
"Sahabat, aku sangat-sangat bimbangkan masa depan ahli syurga ini. Apakah corak kain takwanya nanti? Apakah di usia empat dekad dia masih memakai pakaian takwa yang fitrah seperti sekarang?" Wajah Al-Amin jelas memperlihatkan cangkaliwang fikiran.
Kedua-dua sahabat itu memasang jeda sambil memerhatikan kegembiraan sepasang ibu dan ayah yang masih muda. Jika diagak-agak umur mereka berdua mungkin sahaja baru mencecah angka jubli perak. Si ibu dan ayah itu tampak tidak puas-puas menatao wajah anak kesayangan. Seperti pasangan ibu bapa yang lainnya, tentu sahaja harapan yang ditimbunkan terhadap anak mereka itu setinggi langit. Bahkan, pasti mereka sangat mengharap langit harapan itu tidak akan sesekali runtuh dan menghempap mereka lalu menghancurkan segala impian yang tertinta di lembaran hati.
"Tetapi Al-Amin, bukankah ibu bapa itu adalah pencorak pakaian takwa? Kedua-dua mereka jugalah yang akan menjahitnya dengan benang iman, iman yang kutahu nilainya tidak tertanding dengan selaut emas atau segunung sahmura. Bukankah itu amanah yang dipikul pada pundak mereka, Al-Amin?" Tanya As-Siddiq mencantas jeda yang bertunas setagal tadi.
"Kau benar sahabatku. Tetapi, iman itu belum tentu mampu dimiliki oleh setiap insan. Kalau mampu dimiliki sekalipun, apakah tegar jahitan ibu bapanya pada kain takwa itu? Apakala insan ini dewasa, kudratnya bertambah, sahabat. Jika tegar sekalipun jahitan kedua-dua orang tuanya, ia sudah mampu menetas sendiri jahitan itu dan setelah ditetas, mungkinkah akan dijahit kembali lebih kukuh dengan kudratnya? Atau mungkin dipersiakan sahaja kudrat yang dikurnia Allah itu lalu dibiarkan ia compang-camping tidak terjaga?" Al-Amin kemudiannya kembali memasang jeda.
Dia sebenarnya sedang membekam satu lagi hipotesis. Dan disebabkan oleh hipotesis itu, jiwanya dihantuk lara.
"Balaghahmu terhenti, sahabat. Jiwamu dibentus pilu barangkali? Khabarkanlah. Tiada gunanya aku berbaiah setia kepadamu andai ruangnya tidak kita kongsi bersama." Ujar As-Siddiq lalu menepuk-nepuk belakang Al-Amin.
Al-Amin menancapkan pandangannya pada raut mulus As-Siddiq. Benarlah. Sahabat ini adalah sahabat yang seharusnya dicintai. Ia sangat memahami. Kerana itu, akas benar ia mengesan dura yang mengapan kalbunya.
"Dan mungkin juga, ia tidak lagi mahu memakai apa pun reka bentuk busana takwa. Aku bimbang jika dia memegang falsafah umur Barat. Life starts at forty. Andai usianya tidak pun sempat menyentuh angka itu bagaimana? Hidup ini adalah sahifah yang telah dipersetujui ketika masih di alam rahim. Untuk menanti empat dekad lagi bagi memulakan sesuatu yang dinamakan kehidupan, berapa banyakkah janji yang bakal dimungkiri? Berapa banyakkah waktu yang terbazir mengalir sia-sia tanpa mengenal puncak maksud setiap helaan nafas kurniaan Tuhan?"
(Bahagian 2 akan disiarkan pada 21 Julai 2010. InsyaAllah.)
Kredit: Mohammad Hafiz Abdul Latiff, kerana sudi menyelongkar kotak-kotaknya untuk mencari cerpen ini. Terima kasih kerana menyimpannya.
7.15.2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Bicara Balas.:
Post a Comment