PANDANGAN Al-Amin kemudian dialihkan kepada bayi yang sedari tadi diperhatikan oleh mereka. Mata kecilnya masih belum terbuka. Kelihatan ia sudah lena di atas sebuah katil kecil bersebelahan dengan katil ibunya. Al-Amin menghampiri bayi itu. Diusapnya ubun-ubun yang masih lembut. As-Siddiq sekadar memerhati dengan wajah yang sentiasa tenang.
"Saat ubun-ubun ini masih lembut, selembut fitrah, kita sebati pada setiap penjuru hatinya dengan cinta yang membuyur dari langit oleh Tuhan. Setelah ubun-ubun ini keras, kita tersegregasi di hati mereka. Semakin memencil. Kecil. Kecil dan kecil. Dan akhirnya, mungkin jua terus menghilang. Lalu bagaimana pohon rahmat mahu tumbuh di mandala peribadi jika hatinya jadi keras?" Tanya Al-Amin bagai memohon pencernaan fikrah daripada As-Siddiq sementara tangannya masih lagi membelai ubun-ubun bayi lelaki itu.
As-Siddiq mendengar. Akalnya mentadabbur bicara filsuf Al-Amin yang tidak pernah diragui kebenarannya. Dia mengangguk-anggukkan kepala.
Ya, seperti tanah juga diperumpamakan hati, jika ia keras apakah ia dapat menjadi bustan yang indah? Hijau dan mendamaikan?
"Jika hati keras, ia akan menjadi tandus. Bukankah ketamadunan bermula di lembah yang subur? Jika tiada Sungai Nil, maka tiadalah Mesir. Begitu juga dengan Babylon dengan sungainya Tigris-Euphrates. Bahkan, ketamadunan Hijjaz bermula daripada air zamzam di hujung hentakan kaki nabi Allah Ismail. Jadi tamadun apakah yang bakal terbina jika kita disegregasikan di hati insan, sahabatku?"
Ya, benar sungguh Al-Amin ini. Ketamadunan bermula di lembah yang subur. Air. Air yang mengalir di bumi itu mengguyur dari langit. Rahmat itu datangnya dari langit. Kebenaran itu asalnya dari langit dan bukankah kebenaran itu hanya untuk dibenarkan? Menolak kebenaran bererti menolak ketamadunan. Menabur fitnah bererti menuai kehancuran. Bersubahat dengan kebatilan itu mengundang kemusnahan. Ah, manusia! Ketamadunan apakah yang bakal terbina di kawasan yang kering-kontang? Peradaban apakah yang akan bercambah di gurun pasir yang dicengkam tuarang?
"Busana akan dipakai oleh orang-orang yang sekadar bertamadun. Tetapi busana takwa hanya akan dipakai oleh orang-orang yang memiliki lembah yang subur di hati lalu membina ketamadunan dan peradaban ynag unggul. Gahnya keunggulan itu hanya akan terpelihara oleh kebenaran bersama syarat." Ucap Al-Amin tanpa menyatakan lebih lanjut tentang syarat yang dimaksudkan menyebabkan wajah As-Siddiq dihurung tagihan penjelasan.
"Apakah syaratnya Al-Amin?"
Suara As-Siddiq menyoal sembari pandangan matanya masih merayapi wajah jernih Al-Amin yang sedang mengusap pipi gebu bayi itu dengan jari kelengkengnya bagai menyentuh kelopak mawar yang bugar. Penuh hati-hati. Penuh kehalusan tetapi sarat dengan kegalauan kalbu.
(Bahagian 3 akan bersambung pada minggu hadapan)
7.21.2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Bicara Balas.:
Post a Comment