Pages

8.19.2010

SEGREGASI (AKHIR)

"SYARATNYA, kebenaran harus dibenarkan dengan kebenaran. Allah menyuburkan aku di hati Muhammad dan Muhammad diutuskan untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan. Lalu Allah menyemaikan engkau di hati Abu Bakar untuk membenarkan kerahmatan yang dibawa bersama-sama baginda. Mereka insan teladan. Manusia kini sudah semakin lupa akan kedua-dua qudwah hasanah itu. Mereka juga lupa akan pusaka berharga baginda Muhammad iaitu, al-Quran dan as-sunnah sehinggakan apakala kedua-dua harta itu dihina dan dicaci sekalipun, cuma segelintir sahaja yang terbekas. Semakin mereka lupa tentang itu, kita semakin luput dari dalam diri manusia. Semakin kita luput dari dalam diri manusia, semakin manusia suka akan kebatilan dan membenarkan kebatilan. Sabda Muhammad SAW, takwa itu di sini, takwa itu di sini, takwa itu di sini." Ujar Al-Amin sambil telunjuknya di arahkan tiga kali ke dada.

"Dan kerana kelupaan itu, kau selamanya menjadi milik mutlak Rasulullah. Manakala aku, sejak peristiwa al-Israk dan al-Mikraj itu hanya menjadi milik mutlak Abu Bakar. Ah, seharusnya kita yang telah disemaikan dalam hati mereka harus dibajai dengan keikhlasan. Ikhlas memegang amanah sebagai seorang muslim maka suci fitrahnya tak tercoreng dek dosa" As-Siddiq menyahut kata-kata Al-Amin dalam nada perlahan.

"Al-Amin, bukankah Rasulullah pernah bersabda bahawa pada tubuh manusia itu ada seketul daging? Jika baik daging itu, maka baiklah keseluruhan jasadnya tetapi jika rosal daging itu, maka rosaklah keseluruhan anggota jasadnya dan ia adalah hati." Ujar As-Siddiq menutur imbas ucapan hikmah Muhammad bin Abdullah.

Al-Amin mengangguk tanda mengiakan kata-kata As-Siddiq.

"Al-Ghazali pernah berkata, apakala bekunya air mata, maknanya hati telah menjadi keras. Kerasnya hati itu kerana banyaknya dosa. Banyaknya dosa pula kerana angan-angan yang panjang. Dan angan-angan yang panjang itu pula adalah kerana cintakan dunia. Bila cintakan dunia, Allah sudah tidak menjadi matlamat yang utama. Khasyhyatillah itu tidak akan wujud lagi dan manusia itu tidak akan pernah takut kepada Allah hatta setelah membayangkan neraka sekalipun."

"Jika begitu jadinya, Al-Amin, aku sudah faham mengapa begitu banyak kepalsuan yang bertebaran sekarang. Hati mereka sudah keras. Lembah iman sudah kering-kontang. Air mata mereka setitis pun bukan kerana Allah tetapi kerana cintakan dunia. Kerana cintakan dunia, mereka panjang angan-angan. Dan kerana panjang angan-angan, mereka sanggup menyingkirkan kebenaran. Biar berdosa asalkan angan-angan terlaksana." Geraham As-Siddiq mengetap kejap.

Kemarahan itu diciptakan oleh Allah untuk memarahi sesuatu yang melampaui batas agama. Ya, memang dia marah. Apatah lagi dia pencinta kebenaran yang tulus. Bukankah melampaui batas namanya kalau menolak dan memalsukan yang benar?

"Dan apakala tiada Al-Amin diriku di hati manusia, siapa lagi yang akan berbicara tentang kebenaran? Dan kau sahabatku, jika dirimu tidak melengkapiku di hati-hati mereka, siapakah yang akan berani membenarkan kebenaran yang terucap meskipun hambar? Aku kesal melihat terlalu ramai manusia yang bisu apakala kebenaran itu seakan jadam untuk diterima sedangkan jika mereka membelanya itulah madu paling manis di syurga. Benar katamu, mereka tidak ikhlas." Lirih Al-Amin. Tubir matanya sudah pun melimbur.

Ya. Yang mustahak itu adalah keikhlasan. Dan apakala tiada keikhlasan, kebenaran tidak akan terbela tanpa hati-hati yang ihklas mencintai kebenaran. Sudah terlalu ramai manusia yang menjadi mangsa kebatilan. Yang tidak bersalah dipersalahkan. Yang bersalah dihukum tanpa keadilan. Al-Amin sungguh benar. Sungguh benar bahkan tersangat benar. Bukankah Al-Amin sentiasa di hati Muhammad, pesuruh Allah? Dan dia, As-Siddiq di hati Abu Bakar yang sentiasa membenarkan Muhammad. Malang berkali-kali malang apakala Allah s.w.t semaikan mereka berdua di hati manusia sedari lahir, tidak terpelihara pula mereka dengan sehabis baik.

"Sahabat sejatiku, Al-Amin. Kita doakan sahaja moga-moga umat Muhammad ini menepati suhuf yang telah dilafazkan kepada Allah pada hari ke-40 dia berada di dalam rahim bondanya. Dan harus juga untuk kita doakan moga-moga umat kecil ini tidak akan segregasikan kita di hatinya apakala ubun-ubunnya mulai mengeras. Bukankah Allah sudah menitipkan firman cinta-Nya kepada kita bahawa Dia menyuruh kita meminta hanya kepada-Nya? Berdoalah, maka akan Dia kabulkan." Ujar As-Siddiq seraya mengukir senyuman dan merangkul bahu Al-Amin dengan penuh kasih-sayang. Harapannya, patah-patah kata yang diucapkan mampu menenangkan kebimbangan rafiknya. Dia tidak betah melihatkan limburan pada empangan indera pandang Al-Amin.

"Ya, kita akan doakan, sahabat. Kita akan berdoa dengan penuh yakin hati terhadap Rabbul 'Izzati. Semoga insan fitrah ini akan selalu memakai busana takwanya sehingga saat akhir dia melunaskan janjinya kepada Yang Maha Esa. Semoga dia sentiasa berusaha untuk mengukuhkan jahitan imannya dengan kudrat yang terberi oleh Tuhan sehingga helaan nafas akhirnya." Ucap Al-Amin dengan wajah yang penuh pengharapan.

Amin...Amin...Amin...Perkenankanlah ya Zul Jalali Wal Ikram.

Pandangan bening kedua-dua sahabat itu dihantar kepada sekujur wajah comel yang terlena dalam fitrah yang zakiah. Dan apakala Al-Amin dan As-Siddiq itu sentiasa saling membenarkan di mandala hati insan, tiadalah hilang unggulnya ketamadunan diri di lembah peribadi.

*~TAMAT~*

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Salam...

Eja,
Akhirnya selesai juga muatkan Segregasi dalam blog ini kan? Apapun, tahniah sekali lagi. =)

Sayidah Mu'izzah said...

Salam

Alhamdulillah...Dan terima kasih kerana mengikutinya.