Pages

10.27.2010

PUISI: PEREMPUAN-PEREMPUAN oleh AIDIL KHALID


AIDIL KHALID
Perempuan-Perempuan
(yang pernah menyukaiku)
Dengan sebatang pensel
Dia lukis sebilah parang.

Larik-larik lakarnya
jelas menunjukkan
parang itu amat tajam.

Dengan sebilah parang tajam
dia cincang habis tubuhku
sampai hancur
sampai lumat.

Cuma ditinggalkan
- tak tersentuh –
adalah seketul hatiku

(dia belum tahu melukis gambar hati)

Seperti perempuan yang diceritakan oleh Aidil Khalid dalam puisinya di atas, saya juga terbiasa menuangkan gambar jiwa saya pada lukisan baik di atas kertas lukisan mahu pun kanvas. Namun, bukanlah kerana saya juga meminati seni lukis, maka saya tertarik dengan puisi nukilan sahabat penulis saya ini. Mudah untuk dinyatakan, saya tertarik dengan segala benda yang punya keindahan yang tersendiri. Dan dalam puisi Perempuan-perempuan, saya temukan keindahan dan juga kemajuan Aidil Khalid sebagai seorang pemuisi. Termasuk puisi yang ini, serasa saya, sudah 4 puisi beliau menjadi kegemaran saya.

Bercerita tentang puisi Perempuan-perempuan, (pada penilaian peribadi saya) ia mengisahkan seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki, namun malang sekali, si perempuan itu tidak dapat memenangi hati lelaki yang dicintainya. Kelaraan hati seorang perempuan digambarkan pada sebilah parang tajam yang dilukisnya. Perempuan tersebut kemudian menyincang tubuh lelaki itu sehingga hancur dan lumat. Sayang sekali, walaupun harus mati, seketul hati yang tidak bisa dipaksa untuk mencintai seseorang tetap tidak dapat mencintai orang itu dalam keadaan rela. Ini digambarkan oleh Aidil dalam stanza:

Cuma ditinggalkan
- tak tersentuh –
adalah seketul hatiku

Ia ingin menyatakan bahawa "Mati hidup semula pun, engkau tidak akan bisa menyentuh hatiku untuk menyintaimu." kerana hakikat perasaan, ia memang tidak boleh dipaksa-paksa sama ada untuk mencintai seseorang, membenci, menyukai dan sebagainya.

Menyentuh soal lambang dan perlambangan, saya kira yang digunakan oleh Aidil Khalid ini sangat menarik. Perempuan (insan yang mencintai), lukisan parang yang tajam (keterlukaan perempuan tersebut yang digarapkan padanya kerana cintanya tidak dibalas), lelaki (yang dicintai),tubuh lelaki yang dicincang (kesakitan lelaki tersebut sama ada secara zahiriah, mahu pun secara batiniah ; merasai juga kesakitan perempuan itu), dan hati yang tidak lumat kerana datanglah pembunuh bersiri pun, hati tetap tidak boleh dipaksa perasaannya (walaupun lelaki itu mengerti akan perasaan perempuan tersebut dan turut merasai luka hatinya.).
Jalinannya sungguh cantik di situ ; perluahan perasaan bahawa cinta tidak bisa dipaksa dalam bentuk puisi yang mudah difahami khalayak, bukan sekadar peluahan perasaan yang selapis dan meleret-leret juga tidak memualkan. Citra yang digunakan juga tidak mengalami masalah bauran dan kekeliruan.
 
Tahniah Aidil Khalid !
Saya menantikan puisi-puisi indah anda yang seterusnya



Terima kasih Aidil Khalid kerana memberi kebenaran untuk menyiarkan puisinya di blog ini.
Anda boleh ke blog beliau untuk melihat 'pembunuhan-pembunuhan' yang telah beliau lakukan:
AIDIL KHALID 

Untuk mengetahui komen lain tentang puisi ini, anda juga boleh berziarah ke blog
  WAN NOR AZRIQ.
 
 

1 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Pertamanya, tahniah buat Aidil Khalid kerana telah berjaya 'melahirkan' puisi yang penuh makna.

Keduanya, tahniah buat Eja yang berjaya membuat 'pembedahan' yang saya kira matang dan bermakna buat Aidil juga, setidak-tidaknya. =)