Pages

11.06.2010

FILEM : MAGIKA

FILEM terbaru yang saya tonton dalam senggang waktu peperiksaan, dalam keadaan yang agak stress, ialah MAGIKA. Filem muzikal ini merupakan filem terbitan KRU Studios. Mengapa filem ini saya 'review'? Bukan kerana ia memenangi anugerah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 2010, tetapi kerana ada kelainan yang ditonjolkan, pada hemat peribadi saya. Dan jujur saya katakan, Magika bukanlah filem yang mencabar minda penontonnya tetapi ada dua jenis nilai didikan padanya yang saya teguk sehingga segala tekanan perasaan dan tekanan minda terbang begitu sahaja.

Didikan yang pertama dapat ditangguk melalui watak dan perwatakan (utama) dua orang adik-beradik iaitu Ayu (Diana Danielle) dan juga Malek (Fimie). Mereka terpaksa menghadapi kehidupan yang berbeza setelah ibu mereka, (Fauziah Ahmad Daud) meninggal dunia. Konflik menjadi lebih tegang apabila Malek berasa bersalah kerana menyangka bahawa kematian ibu mereka itu adalah akibat pendermaan buah pinggang kepadanya. Pertengkaran yang berlaku antara Ayu dan Malek menyebabkan Malek merajuk dan rajuknya itulah menjadi medium yang membawa mereka berdua ke alam Magika. Di alam Magika, mereka berdua belajar untuk menghargai hubungan kekeluargaan,hubungan adik-beradik, nilai kasih sayang, persahabatan dan sebagainya melalui usaha mereka menghadapi pelbagai halangan untuk keluar daripada dunia itu. Itulah nilai moral yang terdapat pada Magika.

Salah satu adegan yang menonjolkan nilai kasih sayang

Pada Magika juga terdapat didikan tradisional dalam bentuk moden yang saya kira mudah diterima oleh masyarakat hari ini. Agak kesal juga apabila generasi masa kini semakin melupakan lagenda-lagenda alam Melayu seperti Hang Tuah Lima Bersaudara, Badang, Lembing Awang Pulang ke Dayang, Mahsuri, Bawang Merah Bawang Putih, Pak Pandir dan sebagainya.

Bawang Merah dan Bawang Putih
Nenek Kebayan | Nujum Pak Belalang
Jika mahu dibandingkan dengan Snow White, Rapunzel, Cinderella yang terlalu kebaratan, ataupun filem-filem sains fiksyen yang terkadang terlalu 'terkedepan' sehingga lupa akan sejarah sendiri, Magika kembali menyuntik jati diri Melayu. Walaupun watak-watak lagenda itu seakan dilayah sahaja dalam babak-babaknya, setidak-tidak kita masih dapat mengingat watak-watak itulah yang banyak memberikan pengajaran dalam 'sistem' pendidikan tidak formal alam Melayu.

Tahniah untuk KRU kerana secara tidak langsung, filem muzikal ini memperkenalkan watak-watak tersebut dalam waktu kebejatan identiti kebanyakan ibu bapa masa kini yang lebih gemar menyogok anak-anak mereka dengan bahan lagenda mahupun bukan lagenda dari barat - kerana minda sempit mereka menyatakan yang datang dari barat itu semuanya moden dan sesuai dengan peraliran zaman.

Mawi sebagai Badang


Dari segi muziknya, lagu-lagu yang diserapkan sebagai medium ataupun 'dialog' filem ini, enak digulakan pada deria dengar. Bahkan dua buah lagunya menjadi kegemaran saya iaitu Gebang oleh Maya Karin dan Kita Bersaudara oleh KRU. Namun begitu, sedikit ralat untuk lagu Gebang yang bercirikan muzik tradisional. Kata 'gebang' itu kelihatan tidak sesuai diletakkan sebagai tajuk mahupun lirik. Alangkah lebih indah jika kata 'gebang' digugurkan dan digantikan dengan kata lain yang lebih asli untuk sifat tradisional itu. Selain itu, lagu yang menjadi kegemaran saya juga, yang saya rasakan penuh dengan kasih sayang sebuah keluarga ialah Tidur Dahulu nyanyian Diana Danielle, Fimie, Datuk Jalaludin Hassan dan Fauziah Ahmad Daud.

Memang, masih ada babak yang harus diperbaiki dari segi kesan teknologi. Tetapi, usaha yang dilakukan oleh KRU Studios sememangnya boleh dipuji jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan filem lain. Apapun, itulah kelebihan yang terdapat pada filem Magika, filem muzikal pertama di Malaysia. Juga menambahkan lagi kelainan pada KRU Studios kerana keberanian mereka mencipta sesuatu yang di luar kotak, yang luar daripada kebiasaan industri perfileman tanah air abad ini; setelah filem superhero pertama di Malaysia- Cicakman.

Dan, daripada terus-terusan mencipta filem tentang bohsia, bohjan, pelacur, mat rempit, mat kereta dan segala kebejatan akhlak yang lain, yang kononnya mahu memberikan pengajaran agar tidak salah memilih jalan hidup, Magika adalah filem yang dua-tiga kali ganda lebih bermaruah dalam usaha mendidik. Tema-tema sensasi sebegitu adalah tema yang langsung tidak membina identiti bangsa. Ia lebih mendorong keinginan remaja untuk melepaskan diri mereka daripada segala dilema identiti dengan cara yang tidak semenggah - semudah itu. Setakat memaparkan sedikit nasihat, atau sepotong dua ayat al-Quran pada intro ataupun pada akhir filem, tanggungjawab pembikinnya bagai melepaskan batuk di tangga, tidak diselesaikan dengan sebagusnya.

Maka, apakah manfaat bikin filem yang 'mencerminkan' semata-mata? Bukankah lebih baik jika yang ditonjolkan ialah 'pantulan' kepada diri penonton?

Sama-sama fikirkan.


*Menunggu filem epik KRU Studios - Merong Mahawangsa 
[satu lagi sejarah alam Melayu]

3 Bicara Balas.:

iLhAm.HaFiZ said...

Assalamualaikum w.b.t.

Eja,
Tahniah! Menarik ulasan filem Magika yang awak nukilkan di sini. Sememangnya, usaha KRU Studios boleh diberikan pujian dan dibanggakan. Dan saya sangat bersetuju dengan pendapat awak. Apa gunanya menghasilkan filem-filem yang semakin galak menonjolkan kebejatan akhlak yang kononnya ingin memberi pengajaran? Sedangkan boleh sahaja berusaha untuk menghasilkan filem dari sudut pandang yang lain juga. Seperti apa yang telah dilakukan oleh KRU Studios, sangat bagus.

Tidak dinafikan, masih ada yang perlu diperbaiki dalam filem Magika ini, dan harapnya pihak KRU Studios akan berusaha lebih untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan mereka dalam penghasilan filem-filem yang seterusnya, insya-Allah.

Apapun, saya tetap berpuas hati dengan Magika dan percaya, jika KRU Studios terus menghasilkan karya-karya yang segar sebegini, mereka akan terus maju. Amin Ya Rabb. =)

BiLA PenA bERbicAra said...

Waalaikumussalam Hafiz,

Pertamanya, terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini.

Terima kasih juga kerana sudi berkongsi pendapat di sini.
Saya setuju dengan saudara. KRU Studios datang ke dunia perfileman tanah air dengan idea-idea segar dan keberanian mencipta realiti.

Semoga karya-karya mereka seterusnya bukan sahaja hebat tetapi terus mendidik masyarakat - dalam sudut agama tentunya, lebih-lebih lagi. Amin Ya Rabb.

i_Zaf said...

Assalamualaikum....

Saya suka baca ulasan kak muizzah tentang filem magika ni...