Pages

11.02.2010

PUISI: HUJAN oleh FAISAL MAT ZAWI


Hujan pagi itu telah mengalirkan sobekan kertas di jalanan

memang selama ia diam pun belum pernah ada yang peduli padanya

terus, apabila semalam ada angin dan awan yang suram melintas atasnya

(kaku, udara pun mengerti) sobekan kertas itu cuma tersenyum.



sebelum sobekan-sobekan putih mengalir ke dalam genangan air kecil

 
ia sempat memandang pada rumput dan menyapanya

senyum kepada awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya

akhir sekali ia mengucapkan syukur kepada Tuhan,

bahawa ia pernah merasa kehidupan.



Puisi di atas merupakan puisi nukilan Faisal Mat Zawi salah seorang adik di Minggu Penulis Remaja 2008. Saya mengesan bakat semulajadinya dalam industri sastera sejak beliau 'dikuarantinkan' selama seminggu di bengkel penulisan tersebut lagi. Baik puisi mahupun cerpen, saya melihat beliau punya perbedaan berbanding rakan-rakan seusianya. Cerpennya tentang seorang pelacur dan nyamuk Aedes (ketika di MPR 2008) dinikmati secara segar berikutan jalinan cerita dan unsur satira yang jelas dan kreatif. Ia juga diolah secara matang - sesuatu yang sukar dilihat pada karya-karya penulis muda berusia belasan tahun.

Terus kepada objek pembedahan; Puisi Hujan ini juga dicicip- dengan secawan kopi berperisa kacang Hazel pada pukul 5 pagi setelah kantuk menghentak-hentak pelupuk mata agar terkatup (fenomena lazim apabila harus menghadap buku akademik)- secara segar. Sebelum beliau meminta saya membedah puisi ini beliau ada berkata "Kakak, minta maaf kalau puisi ini tak sedap. Saya sudah lama tak menulis." Maka, ini hasil bedah saya:

Kata 'hujan' yang menjadi tajuk kelihatan tidak begitu signifikan di situ kerana pada tubuh puisi tersebut yang menjadi anatomi penting adalah 'kertas' dan 'sobekan' yang membawa makna 'kertas'. Oleh sebab itulah saya sengaja mewarnakan kata tersebut. Maka, tajuk yang dirasakan lebih sesuai untuk puisi ini ialah sesuatu yang menjurus kepada makna 'kertas'. Kalaupun ada kata yang menjurus kepada makna 'air' masih, tidak kelihatan jalinan yang cantik kepada makna 'hujan'.


Menyelami makna pada puisi Hujan ini, ia merupakan penceritaan mengenai kehidupan seorang manusia menerusi masanya yang dilambangkan sebagai kertas yang hanyut - kertas sebagai manusia; hanyut sebagai laluan kehidupan. Puisi ini bercerita sayu dengan kata 'jalanan' pada bait pertamanya yang membawa maksud terbiar. Keterbiaran itu dikukuhkan lagi oleh bait kedua:




memang selama ia diam pun belum pernah ada yang peduli padanya
 
 
Namun begitu, saya rasakan ada baiknya ayat 'memang selama ia diam pun' ditukarkan kepada 'kalau ia riuh sekalipun' untuk lebih mengukuhkan sifat keterbiaran itu, kerana sifat diam seseorang manusia itu memang akan membuatkan dia kurang diberi perhatian oleh orang lain. Maka di sini, yang harus Faisal ketengahkan  ialah ironinya menjadi insan yang riuh tetapi tidak dipedulikan orang.
 
 
Apa pun rangkap pertama puisi ini tidak punya banyak masalah. Ia masih indah dari segi pemilihan kata dan tidak punya masalah citra (lambang dan perlambangan) yang berbaur. 
 

Beralih ke rangkap dua. Bait yang pertama pada rangkap ini:
 

sebelum sobekan-sobekan putih mengalir ke dalam genangan air kecil

 
Saya melihat ia sebagai kisah akhir si 'kertas' (manusia) tersebut apakala ia dihanyutkan ke genangan kecil. Genangan kecil itu saya tamsilkan sebagai nyawa yang sudah hampir ke penghujungnya. Ia perlambangan yang menarik dan segar.
Kita beralih ke bait-bait seterusnya:


ia sempat memandang pada rumput dan menyapanya

senyum kepada awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya
 
 
'Rumput' dan 'awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya' pula saya takwilkan sebagai rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan. Walaupun seseorang insan melewati keterbiaran-ketidakpedulian-kedaifan dalam kehidupan, masih dia punya hidup. Masih sempat 'menyapa rumput' iaitu mencicip keindahan,ketenangan sebagai orang terbiar, juga melontar 'senyum pada awan yang tidak pernah lelah menjatuhkan butirnya' iaitu merasai nikmat rezeki Tuhan yang terlalu luas. Keadaan ini dikukuhkan lagi oleh Faisal dalam bait seterusnya:


akhir sekali ia mengucapkan syukur kepada Tuhan,

bahawa ia pernah merasa kehidupan.

 
Kesimpulannya, puisi yang dinukilkan oleh Faisal sarat dengan falsafahnya yang tersendiri. Pemilihan diksi yang tepat membuatkan puisi ini dinikmati indah. Falsafah hidup yang diturunkan daripada keterbiaran itu kepada kesyukuran berjaya menjemput pengkritik berziarah ke alam kesedaran rohaniah. Ia mengingatkan bahawa walaupun seseorang manusia itu tidak pernah dipeduli oleh insan lain (apatah lagi, untuk dicintai;mungkin), masih, dia punya Tuhan yang tidak putus memberikan rezeki untuk dia terus hidup. Itulah sifat Tuhan kepada setiap hamba-Nya; mencintai tanpa syarat yang fana. Hal ini betepatan sekali dengan salah satu firman Allah swt iaitu, yang membezakan sekalian manusia adalah darjah keimanan.

Tahniah Faisal! Puisi ini punya keindahan rohani dan jasmaninya. Mahu baca lagi karya-karya kamu. Teruskan berkarya!
 

Mode: Usai kritikan-- lapar~ (-_-')v

5 Bicara Balas.:

A. Muziru Idham said...

Wah, jadi pengkritik puisi ya sekarang ni kak? Mantop! Kritik puisi saya sekali boleh?^_^

BiLA PenA bERbicAra said...

Salam Muziru;

Boleh je kalau nak minta kritik.Tapi, akak kritik biasa-biasa je.Emelkanlah puisi Muziru ke inbox FB akak.

iLhAm.HaFiZ said...

Assalamualaikum w.b.t.

Eja,
Tahniah! Sekali lagi awak menunjukkan kematangan awak dalam memberi kritikan puisi. Bolehlah memohon bekerja di mana-mana majalah sastera selepas ini. Heheh. ;p

BiLA PenA bERbicAra said...

Hafiz;

Terima kasih.
Cadangan itu bagus tapi apapun akan difikirkan. Lebih berminat jadi penulis sepenuh masa. =)

(i'm.thankful) said...

nak dikiritik juga, kak eja...

ain dah lama tak menulis.

qurratu'aini mpr08-