Pages

9.09.2010

AIDILFITRI 2010 - SELAMAT KEMBALI MENJADI PERINDU RAMADAN

AIDILFITRI 2010, jika dibuat perbandingan dengan Aidilfitri pada tahun-tahun yang sebelumnya memang tidak banyak beza. Tahun ini masih perlu buat kuih raya, tetapi bagi tugasan pada bahagian ini, saya tidak banyak terlibat kerana Ummi saya yang akan bersengkang mata sehingga pagi menguli tepung, mengacu doh juga membakarnya. Turut serta menjadi burung hantu bulan Ramadan adalah adik bongsu saya yang berusia 6 tahun, Sayidah Mus'ifah atau lebih senang dipanggil Adik. Saya juga turut menjadi geng kumpulan burung hantu pada setiap kali menjelang Aidilfitri kerana harus menyiapkan kerja menjahit baju-baju hari raya sendiri dan adik-adik. Sebenarnya, itu sisa kerja Ummi. Tetapi, alang-alang sudah anak perempuan sulungnya ada, maka tugasan mengusaikan jahitan dilepaskan kepada saya.

Ma; Ketika pulang dari Makkah tahun lalu
 Persamaan yang lainnya, hari raya pertama pada kali ini masih tanpa nenek (Ma) kerana beliau senang menghabiskan waktunya pada bulan mulia ini di tanah suci Makkah. Tahun ini adalah tahun yang kedua. Perbezaannya pula, jika pada Aidilfitri 2009, Ma pulang ke Malaysia pada hari raya kedua, namun pada tahun ini, beliau akan tiba di Malaysia pada hari raya keempat. Bagi saya, kalau sudah raya keempat, mungkin kemeriahannya sudah kepudaran. Namun, lihat sahajalah nanti keadaannya; masih meriah atau sudah kurang meriahnya.


Sesudah Aidilfitri, adik perempuan saya, Sayidah Musfirah pula akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kata Adik Fawwaz, dia tidak seronok kerana kakaknya itu perlu memikirkan UPSR sewaktu raya. [Hurm...Musykil sebab Akak tengok Kak Irah rileks saja...]

 Saya pula dalam membuat persiapan Aidilfitri, diwajibkan untuk menelaah teori-teori sastera; masih! Kadangkala saya jadi 'blurr' kerana saya orang sastera celupan. Tetapi saya katakan kepada diri sendiri "Yeahhh!!!Redahkan saja Eja oiiii~Salah tak apa. Masih sedang belajar bukan?". Makanya, ya, belasah saja

Adik-adikku sayang
Apa lagi? Hurm...Oh, ya! Satu lagi perbezaannya. Adik lelaki saya, Syarafi menikmati keghairahan balik kampungnya yang pertama kerana ini semester pertamanya menuntut di Universiti Teknologi Mara, Machang, Kelantan. Maka, ini juga keghairahan kali pertama bagi saya menunggu kepulangannya untuk membuli dan dibuli. Huhuhu...

Apa pun keadaannya, ketibaan Aidilfitri pada tahun ini tetap disyukuri. Semoga lebaran pada tahun ini menghadirkan seribu kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat.
Ameen ya Rabb...

KEPADA SEMUA PEMBACA;

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DARIPADA SAYA DAN KELUARGA
MAAF ZAHIR DAN BATIN
HALALKAN SEGALA MAKAN DAN MINUM
SEGALA YANG TERLEBIH DAN TERKURANG

Dan aku...
kembali menjadi perindu Ramadan

0 Bicara Balas.: