Pages

Showing posts with label Karya Indah. Show all posts
Showing posts with label Karya Indah. Show all posts

3.10.2011

BUKU APA YANG AKU BACA SEKARANG?

Assalamualaikum...

Aku agak sibuk sekarang. Jadi, agak tiada masa untuk update. Eceh. Padahal baru seminggu tak update. Okey. Ada sahabat yang tanya, buku apa yang aku baca sekarang? Wo! Ini adalah sejenis soalan yang sangat lama aku tak dengar sebenarnya. Dulu, lepas aku bergraduasi daripada Minggu Penulis Remaja, kawan-kawan satu batch 2007 aku selalu juga tanya, macam Aidil Khalid, Hafizul Osman, dan Azriq. Tapi sekarang, aku memang langsung tak dengar soalan-soalan tu dah.

Okeylah. Apapun, sekarang just nak kongsi buku yang aku baca sebab aku tak ada masa nak update panjang-panjang. So, these are the books that i've been reading:

Tuhan Manusia dari google
Aku mungkin agak telat membaca buku ini berbanding rakan-rakan penulis aku yang lain. But, it's ok. Jalan aku, jalan lambat. Bak kata lecturer aku, kita ni kadang-kadang ada masa merangkak. Tak apa merangkak yang penting kita bergerak ke depan berbeza orang yang hanya duduk saja tak buat apa. Sekian.
Tuhan Manusia adalah sebuah novel karya Dr. Faisal Tehrani. He is my guru in writings profession. Buku ni aku masih sedang hadam. So far, ceritanya menarik. Ayat yang paling aku ingat adalah "Benar, tidak banyak remaja seperti saya." sebabnya, benar, banyak sekali ayat ini dalam novel Tuhan Manusia. Ia bermakna, remaja hari ini memang sangat hanyut dengan hedonisme sedangkan banyak lagi perkara yang signifikan yang harus jadi buah fikiran. Aku suggest buku ni untuk dibaca oleh remaja kreatif dan kritis. Aku, jangan dikira walaupun aku dah di hujung usia remaja dan lambat dapat buku ni. Kurang-kurang masih ada nafas nak membaca.
Tuhan Manusia karya Dr. Faisal Tehrani, RM 21.90.
Bab hangpa kata beliau syiah ke tak, aku tak mau campuq. Aku tak mau sakit dengan apa hangpa duk kata kat orang. Aku berkecuali sebab kalau duk pikiaq, hangpa pun baca je buku yang orang Kristian tulih kan? Hak tu tak mau pulak hangpa tengok diri hangpa. So, come on la. Jangan duk nak jadi ketam ajaq ketam lain jalan luruih hangpa duk jalan herot. Ingat ada orang nak dengaq la tu? Tengok diri sendiri macam ketam ke dak baru hangpa tengok orang lain. Sekian, terima kasih.


Bagaimana Saya Menulis dari google

Okeh. Cukup ceramah tak bertauliah di atas. Maka, kepada sesiapa yang baru atau mahu menceburi bidang penulisan, buku ini sangat menarik untuk dijadikan rujukan. Ia terdiri daripada beberapa buah cerpen oleh beberapa orang penulis juga disertakan proses mereka menulis cerpen-cerpen tersebut. Aku pun baru baca dua-tiga buah cerpen dan proses penulisannya. Rugi tak beli. Sangat rugi tak baca. Bagaimana Saya Menulis, diselenggarakan oleh Nisah Haji Haron dan Dr. Mawar Shafei, RM 25. Tapi, aku dapatkan dari Koperasi Buku Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM 21.



The 5 People You Meet In Heaven dari google

Ini adalah buku yang tengah hot di rak buku aku selepas Tuesdays With Morrie daripada penulis yang sama iaitu Mitch Albom. Buku ini penuh dengan motivasi yang disampaikan dengan cara yang tidak membelasah otak seperti apa yang biasa dilakukan dalam buku-buku motivasi dewasa ini. Mitch Albom adalah penulis yang mengambil kisah hidup orang yang sangat bermotivasi dan diadun menjadi cerita yang menyedarkan orang tentang erti hidup.
The Five People You Meet In Heaven, RM 29.50.
Sila jangan bermimpi di siang hari untuk dapatkan buku ini dengan harga belasan ringgit di mana-mana rak di kedai buku BookXcess. Aku dah pernah tanya kedai tu sama ada mereka ada buku ini atau tidak. Jawapan mereka, sorry, we don't have it. Jadi, tok sahlah membazirkan peluh anda memunggah rak-rak buku di BookXcess. Berpeluhlah di rak-rak buku MPH, POPULAR atau mana-mana kedai buku yang anda selalu lepak dan anda dengan relevannya memikirkan bahawa kedai itu menjual buku ini.



komik ikhtiar hidup dari google

Aku pun suka baca komik. Ini komik yang masih panas diangkat dari rak buku MPH. Dah dua hari aku duk ulang-alik MPH Wangsa Maju semata-mata nak beli 'komik budak-budak bijak' ni. Haha, ayat tu aku cilok dari kulit komik ni. Komik ni asalnya dari Korea dan dah lebih 8 juta naskhah sudah dibeli di sana. Ada banyak siri tapi aku baru baca tiga siri iaitu Ikhtiar Hidup di Gurun, Hutan Amazon dan Kawasan Gempa Bumi.
Komik ini adalah komik pengembaraan yang dilengkapi dengan fakta sains yang dikreatifkan, untuk manusia-manusia sesat di mana-mana ceruk dunia, agar dapat hidup dengan lebih lama sehingga menemui jalan pulang ke rumah. Itulah sebab-musabab utama aku beli komik ni. Senang nanti kalau aku nak berikhtiar untuk hidup bertapa dalam gua. Eheheh.. Komik Sains Ikhtiar Hidup, RM 7-RM8, mengikut ketebalan.

Itu sahaja short update aku kali ini. Short? Hehehe... Maka, sekianlah buku-buku yang sedang aku baca sekarang. Nak pinjam, aku minta maaf awal-awal sebab aku memang kedekut buku. Aku lebih rela, nah, ambik 20 sen, pi beli sendiri buku-buku tu ya.

Okey, ada banyak kerja. Jya!

2.01.2011

TUESDAYS WITH MORRIE by MITCH ALBOM

Assalamualaikum...

Today is the book review session. I just want to share a really inspirational book wrote by Mitch Albom, Tuesdays With Morrie. Aku tak tahu kenapa kali pertama pandang buku ni, aku dah tertarik. Itu belum belek lagi. Such a magnetic power that pull me towards it. Tapi, alhamdulillah, ada orang sudi hadiahkan buku ni pada aku. Yang atas tu, english version. Aku punya Malay version. Sebenarnya aku nak yang english version sebab bagi aku kalau baca buku dalam bahasa asal, ia lebih dijiwai. But, it's ok. Rezeki aku dalam bahasa ibunda. Alhamdulillah...


RM 16.50 , TERBITAN PTS

This books is about an old professor named Morrie. He suffered from ALS, the acronym for Amyotrophic Lateral Sclerosis. ALS ni adalah penyakit saraf atau lebih tepat, motor neuron disease. Penyakit ni akan lumpuhkan anggota badan manusia sedikit demi sedikit, dan akhirnya, si pesakit akan meninggal dunia. So that's what happened to Morrie.

Suprisingly, this book is not telling us about death. Betul, ia cerita tentang seorang lelaki yang menghampiri kematian. Tapi, ia bukan tentang kematian itu. Morrie said "When you know how to die, you will know how to live" sebab, hanya orang yang dekat dengan kematian akan menghargai kehidupan. Bila dah dekat nak mati barulah rasa nak kerja betul-betul, nak sayang orang yang sayang kita, nak beritahu orang tu kita sayang dia, nak makan tu, nak buat ni. Betul? Jadi, ia merupakan pelajaran tentang kehidupan daripada seorang lelaki yang sedang menuju kematian.

Novel ini juga mengajar kita untuk bersyukur dengan apa yang kita ada dan nikmati apa yang kita ada itu sesungguhnya. Kata Morrie "Mitch, kalau kamu hendak menunjuk-nunjuk dengan orang di atas kamu, lupakan saja. Mereka akan tetap memandang rendah kepada kamu. Dan, kalau kamu mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang lebih rendah daripada kamu, pun lupakan saja. Mereka akan mencemburuimu. Status tidak membawa kamu ke mana-mana. Hanya hati yang lapang dan terbuka sahaja akan meletakkan kamu sama rata dengan mereka."

Itu adalah pemerhatian yang benar sekali bagi aku. Dan aku mula banding-bandingkan kata-kata itu dengan kehidupan aku sendiri. Apa yang aku kejar? Adakah mahu menjadi yang pertama dalam semua perkara? Dan yang pertama itu kemudiannya tidak membenarkan aku nikmati hidup dengan tenang? Atau mungkin menjadi orang yang kaya-raya, dan kemudian duit mengajar aku untuk pandang rendah pada orang lain dan membentuk jiwa aku jadi seperti duit yang sentiasa turun nilainya dek inflasi dan menyeksa orang lain yang tidak dapat memiliki walau seketul ayam goreng sekalipun?

Pelajaran tentang hidup terlalu banyak dalam Tuesdays With Morrie. Aku tidak boleh bercerita tentang itu dengan rinci. Jika aku ceritakan, ia sama seperti aku plagiat buku itu di sini. Maka, ada baiknya pergi beli sendiri di mana-mana kedai buku seperti MPH, Popular, atau BookXcess di Petaling Jaya. Itu antara kedai buku yang selalu jadi mangsa lepak aku. Kalau nak beli versi bahasa Inggeris, yang mana dekat dengan Petaling Jaya tu, pergilah ke BookXcess di Am Corp Mall, Tingkat 3. Memang kalau ke sana, aku jadi rambang mata sebab bukunya walaupun import tapi harga murah. Even hardcover.

Tuesday With Morrie pun ada filemnya. Boleh cari kat Youtube.


Aku pun baru tahu tadi. Itupun ada adik yang baik hati maklumkan pada aku. Thanks, Dik Izzati Rahim!


Okey, itu serba sedikit yang aku boleh cerita pada semua. Aku akan beli yang versi bahasa Inggeris pula dan tok sah nak cakap aku duk membazir sebab penggila buku memang macam ni. Tanyalah mana-mana orang yang suka membaca, mereka memang sanggup beli dua tiga buah buku yang sama dalam bahasa yang berlainan (dan bahasa yang sama juga). That's our life and we really appreciate it. Ia lebih kurang sama macam beli tudung bawal warna pink, tapi design lain-lain.

Bye!


*Lebih rasai kehadiran Morrie daripada Mitch yang menulis buku itu.  
Both double M did a really good job!

11.30.2010

PENSEL- PENSEL COMEL

MALAM semalam Eja selongkar satu weblog. Ini alamatnya www.oddee.com. Macam - macam gambar pelik dan unik ada di web ini. Jadinya, Eja fikir elok juga kalau boleh berkongsi sedikit dengan pembaca di blog ini. Lagipun, Eja sudah lama tidak 'update'. Mahu ulas puisi, bak kata orang putih 'I don't have the guts yet on doing that'. Entri lain pun macam malas saja nak ditulis. Tapi, Eja harus tinggalkan sesuatu juga di sini. Maka, inilah hasil 'upload' Eja :

Kreatif bukan? Eja panggil Pensel ABC =)


Ini lagi kreatif. Kerusi.




Cinta di tengah pensel


Cinta lagi ; di mata pensel

Peti surat comel =)


Sebenarnya, ada banyak lagi gambar yang unik. Silalah ke web yang sudah Eja 'link'kan di atas ya... Jumpa lagi nanti!  =)

11.10.2010

KERELEVANAN DALAM PUISI A.MUZIRU IDHAM

Burung merpati ini sendiri pening dengan masalah hakisan kemanusiaan sehingga terpaksa belajar tentang itu.


SANGKAR MERPATI: 
(SEMUSIM TENGADAH LANGIT BERWARNA MERAH)


seakan aku terpanggil untuk menyebut namamu – [merpati]

tatkala kesepian malam telah mengheret aku ke sebuah
perkampungan luka yang penuh berdarah; engkau tahu,
aku melihat para arwah bergentayangan memanggil
namamu demi menuntut nasib yang tidak terkasihani –
pastilah engkau dapat menangguk maknanya sekalipun
terkurung dalam sangkar kehidupan yang amat sukar dimengerti;

telah aku lewati musim kemarau panjang di daerah

kemanusiaan; angin telah menyembur pawaka dan
seterusnya membakar insaniah yang hadir sejak azali –
mengertilah datar peradaban yang kita injak semakin
hangus dibakar pijar matari manusiawi di ufuk kirmizi;

(tapi siapa yang telah mengurung dirimu di dalam sangkar itu?)



SESEBUAH puisi itu tidak bisa dinilai sebagai puisi yang bagus hanya sekadar melihat pada gaya bahasanya sahaja. Ia harus juga dinilai dari sudut makna, lambang dan perlambangan, diksi yang dipilih juga hubungan antara diksi yang digunakan.  

Menerusi puisi di atas, A.Muziru Idham, mantan peserta Minggu Penulis Remaja 2009, dilihat memiliki gaya bahasa yang menarik dan matang. Puisinya juga seronok untuk‘diburaikan’. 

Kita terus kepada lambang yang digunakan oleh Muziru iaitu ‘Merpati’. Kebiasaannya, merpati dijadikan simbol kebebasan. Itu tanggapan pertama saya pada awal sesi pembedahan. Maka, apabila saya terus-terus membedah puisi ini, saya kira lambang yang digunakan oleh A.Muziru memang menjurus kepada makna kebebasan.

Rangkap pertama puisi ini mudah difahami. Penulis menyeru-nyeru merpati (kebebasan) di perkampungan luka yang penuh darah (daerah yang dilanda peperangan). Selain daripada itu, penulis juga melihat para arwah yang bergentayangan memanggil nama merpati demi menuntut nasib yang tidak dibela (roh-roh orang yang mengharapkan kedamaian dan kebebasan untuk nasib manusia yang masih belum lepas daripada belenggu perang). Manakala, bait akhirnya, pastilah engkau dapat menangguk maknanya sekalipun terkurung dalam sangkar kehidupan yang amat sukar dimengerti pula bermaksud, kebebasan itu memang wujud di mana-mana sekalipun. Tetapi kadang-kadang, dalam hal kehidupan, ada sudut yang menyekat kebebasan itu membuatkan kita tertanya-tanya mengapa kita tidak bebas untuk melakukan sesuatu hal yang baik sedangkan kebebasan untuk itu memang wujud.

Kita beralih pula ke rangkap dua puisi A.Muziru. Tiga bait awal dalam rangkap ini tiada masalah. Masih jelas dan masih mudah difahami.
Namun begitu, bait seterusnya dilihat punya masalah dari segi makna.

mengertilah datar peradaban yang kita injak semakin
hangus dibakar pijar matari manusiawi di ufuk kirmizi;


Kata ‘peradaban’ dan ‘manusiawi’ itu dilihat tidak punya hubungan yang sejajar. Bagaimana peradaban itu hangus dibakar manusiawi? Apakah maksud peradaban, dan apakah maksud manusiawi? Saya berikan makna kedua-duanya secara ringkas di sini:

  1. Peradaban – Tamadun / sistem sosial sesuatu bangsa yang punya kemajuan.
  2. Manusiawi – Sifat kemanusiaan; yang punya ciri-ciri mulia

Bukankah sifat mulia dan sifat kemanusiaan itu seharusnya menyuburkan tamadun? Jika kita selusuri sejarah, tamadun yang gemilang mengalami keruntuhan disebabkan kurangnya sifat kemanusiaan dan kemuliaan pada mereka. Sebagai contoh, tamadun Andalusia yang tersangat gemilang selama hampir 8 abad itu musnah apabila wujud kerajaan-kerajaan kecil yang etnosentrisme yang dikenali sebagai Muluk Al-Tawa’if. Pengabaian itu bukanlah satu ciri kemanusiaan bahkan bukan juga satu sifat yang mulia. Jadi, apakah relevan, tamadun hangus dibakar sifat mulia ataupun kemanusiaan?

Maka, dalam menulis puisi, terutamanya puisi yang mengangkat tema sosial sebegini, yang harus dititikberatkan juga ialah soal kerelevanan hubungan antara diksi.

Secara keseluruhan, puisi A.Muziru tidak punya banyak masalah, malahan punya keistimewaan sendiri bagi beliau yang berusia belasan tahun.

Tahniah untuk A.Muziru Idham!
Saya menunggu karya beliau yang seterusnya.


*Langit merah atau kirmizi; saya terbayang-bayang langit malam Gaza yang kemerahan dek cahaya ledakan bahan letupan.

11.06.2010

FILEM : MAGIKA

FILEM terbaru yang saya tonton dalam senggang waktu peperiksaan, dalam keadaan yang agak stress, ialah MAGIKA. Filem muzikal ini merupakan filem terbitan KRU Studios. Mengapa filem ini saya 'review'? Bukan kerana ia memenangi anugerah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 2010, tetapi kerana ada kelainan yang ditonjolkan, pada hemat peribadi saya. Dan jujur saya katakan, Magika bukanlah filem yang mencabar minda penontonnya tetapi ada dua jenis nilai didikan padanya yang saya teguk sehingga segala tekanan perasaan dan tekanan minda terbang begitu sahaja.

Didikan yang pertama dapat ditangguk melalui watak dan perwatakan (utama) dua orang adik-beradik iaitu Ayu (Diana Danielle) dan juga Malek (Fimie). Mereka terpaksa menghadapi kehidupan yang berbeza setelah ibu mereka, (Fauziah Ahmad Daud) meninggal dunia. Konflik menjadi lebih tegang apabila Malek berasa bersalah kerana menyangka bahawa kematian ibu mereka itu adalah akibat pendermaan buah pinggang kepadanya. Pertengkaran yang berlaku antara Ayu dan Malek menyebabkan Malek merajuk dan rajuknya itulah menjadi medium yang membawa mereka berdua ke alam Magika. Di alam Magika, mereka berdua belajar untuk menghargai hubungan kekeluargaan,hubungan adik-beradik, nilai kasih sayang, persahabatan dan sebagainya melalui usaha mereka menghadapi pelbagai halangan untuk keluar daripada dunia itu. Itulah nilai moral yang terdapat pada Magika.

Salah satu adegan yang menonjolkan nilai kasih sayang

Pada Magika juga terdapat didikan tradisional dalam bentuk moden yang saya kira mudah diterima oleh masyarakat hari ini. Agak kesal juga apabila generasi masa kini semakin melupakan lagenda-lagenda alam Melayu seperti Hang Tuah Lima Bersaudara, Badang, Lembing Awang Pulang ke Dayang, Mahsuri, Bawang Merah Bawang Putih, Pak Pandir dan sebagainya.

Bawang Merah dan Bawang Putih
Nenek Kebayan | Nujum Pak Belalang
Jika mahu dibandingkan dengan Snow White, Rapunzel, Cinderella yang terlalu kebaratan, ataupun filem-filem sains fiksyen yang terkadang terlalu 'terkedepan' sehingga lupa akan sejarah sendiri, Magika kembali menyuntik jati diri Melayu. Walaupun watak-watak lagenda itu seakan dilayah sahaja dalam babak-babaknya, setidak-tidak kita masih dapat mengingat watak-watak itulah yang banyak memberikan pengajaran dalam 'sistem' pendidikan tidak formal alam Melayu.

Tahniah untuk KRU kerana secara tidak langsung, filem muzikal ini memperkenalkan watak-watak tersebut dalam waktu kebejatan identiti kebanyakan ibu bapa masa kini yang lebih gemar menyogok anak-anak mereka dengan bahan lagenda mahupun bukan lagenda dari barat - kerana minda sempit mereka menyatakan yang datang dari barat itu semuanya moden dan sesuai dengan peraliran zaman.

Mawi sebagai Badang


Dari segi muziknya, lagu-lagu yang diserapkan sebagai medium ataupun 'dialog' filem ini, enak digulakan pada deria dengar. Bahkan dua buah lagunya menjadi kegemaran saya iaitu Gebang oleh Maya Karin dan Kita Bersaudara oleh KRU. Namun begitu, sedikit ralat untuk lagu Gebang yang bercirikan muzik tradisional. Kata 'gebang' itu kelihatan tidak sesuai diletakkan sebagai tajuk mahupun lirik. Alangkah lebih indah jika kata 'gebang' digugurkan dan digantikan dengan kata lain yang lebih asli untuk sifat tradisional itu. Selain itu, lagu yang menjadi kegemaran saya juga, yang saya rasakan penuh dengan kasih sayang sebuah keluarga ialah Tidur Dahulu nyanyian Diana Danielle, Fimie, Datuk Jalaludin Hassan dan Fauziah Ahmad Daud.

Memang, masih ada babak yang harus diperbaiki dari segi kesan teknologi. Tetapi, usaha yang dilakukan oleh KRU Studios sememangnya boleh dipuji jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan filem lain. Apapun, itulah kelebihan yang terdapat pada filem Magika, filem muzikal pertama di Malaysia. Juga menambahkan lagi kelainan pada KRU Studios kerana keberanian mereka mencipta sesuatu yang di luar kotak, yang luar daripada kebiasaan industri perfileman tanah air abad ini; setelah filem superhero pertama di Malaysia- Cicakman.

Dan, daripada terus-terusan mencipta filem tentang bohsia, bohjan, pelacur, mat rempit, mat kereta dan segala kebejatan akhlak yang lain, yang kononnya mahu memberikan pengajaran agar tidak salah memilih jalan hidup, Magika adalah filem yang dua-tiga kali ganda lebih bermaruah dalam usaha mendidik. Tema-tema sensasi sebegitu adalah tema yang langsung tidak membina identiti bangsa. Ia lebih mendorong keinginan remaja untuk melepaskan diri mereka daripada segala dilema identiti dengan cara yang tidak semenggah - semudah itu. Setakat memaparkan sedikit nasihat, atau sepotong dua ayat al-Quran pada intro ataupun pada akhir filem, tanggungjawab pembikinnya bagai melepaskan batuk di tangga, tidak diselesaikan dengan sebagusnya.

Maka, apakah manfaat bikin filem yang 'mencerminkan' semata-mata? Bukankah lebih baik jika yang ditonjolkan ialah 'pantulan' kepada diri penonton?

Sama-sama fikirkan.


*Menunggu filem epik KRU Studios - Merong Mahawangsa 
[satu lagi sejarah alam Melayu]

11.02.2010

PUISI: HUJAN oleh FAISAL MAT ZAWI


Hujan pagi itu telah mengalirkan sobekan kertas di jalanan

memang selama ia diam pun belum pernah ada yang peduli padanya

terus, apabila semalam ada angin dan awan yang suram melintas atasnya

(kaku, udara pun mengerti) sobekan kertas itu cuma tersenyum.



sebelum sobekan-sobekan putih mengalir ke dalam genangan air kecil

 
ia sempat memandang pada rumput dan menyapanya

senyum kepada awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya

akhir sekali ia mengucapkan syukur kepada Tuhan,

bahawa ia pernah merasa kehidupan.



Puisi di atas merupakan puisi nukilan Faisal Mat Zawi salah seorang adik di Minggu Penulis Remaja 2008. Saya mengesan bakat semulajadinya dalam industri sastera sejak beliau 'dikuarantinkan' selama seminggu di bengkel penulisan tersebut lagi. Baik puisi mahupun cerpen, saya melihat beliau punya perbedaan berbanding rakan-rakan seusianya. Cerpennya tentang seorang pelacur dan nyamuk Aedes (ketika di MPR 2008) dinikmati secara segar berikutan jalinan cerita dan unsur satira yang jelas dan kreatif. Ia juga diolah secara matang - sesuatu yang sukar dilihat pada karya-karya penulis muda berusia belasan tahun.

Terus kepada objek pembedahan; Puisi Hujan ini juga dicicip- dengan secawan kopi berperisa kacang Hazel pada pukul 5 pagi setelah kantuk menghentak-hentak pelupuk mata agar terkatup (fenomena lazim apabila harus menghadap buku akademik)- secara segar. Sebelum beliau meminta saya membedah puisi ini beliau ada berkata "Kakak, minta maaf kalau puisi ini tak sedap. Saya sudah lama tak menulis." Maka, ini hasil bedah saya:

Kata 'hujan' yang menjadi tajuk kelihatan tidak begitu signifikan di situ kerana pada tubuh puisi tersebut yang menjadi anatomi penting adalah 'kertas' dan 'sobekan' yang membawa makna 'kertas'. Oleh sebab itulah saya sengaja mewarnakan kata tersebut. Maka, tajuk yang dirasakan lebih sesuai untuk puisi ini ialah sesuatu yang menjurus kepada makna 'kertas'. Kalaupun ada kata yang menjurus kepada makna 'air' masih, tidak kelihatan jalinan yang cantik kepada makna 'hujan'.


Menyelami makna pada puisi Hujan ini, ia merupakan penceritaan mengenai kehidupan seorang manusia menerusi masanya yang dilambangkan sebagai kertas yang hanyut - kertas sebagai manusia; hanyut sebagai laluan kehidupan. Puisi ini bercerita sayu dengan kata 'jalanan' pada bait pertamanya yang membawa maksud terbiar. Keterbiaran itu dikukuhkan lagi oleh bait kedua:




memang selama ia diam pun belum pernah ada yang peduli padanya
 
 
Namun begitu, saya rasakan ada baiknya ayat 'memang selama ia diam pun' ditukarkan kepada 'kalau ia riuh sekalipun' untuk lebih mengukuhkan sifat keterbiaran itu, kerana sifat diam seseorang manusia itu memang akan membuatkan dia kurang diberi perhatian oleh orang lain. Maka di sini, yang harus Faisal ketengahkan  ialah ironinya menjadi insan yang riuh tetapi tidak dipedulikan orang.
 
 
Apa pun rangkap pertama puisi ini tidak punya banyak masalah. Ia masih indah dari segi pemilihan kata dan tidak punya masalah citra (lambang dan perlambangan) yang berbaur. 
 

Beralih ke rangkap dua. Bait yang pertama pada rangkap ini:
 

sebelum sobekan-sobekan putih mengalir ke dalam genangan air kecil

 
Saya melihat ia sebagai kisah akhir si 'kertas' (manusia) tersebut apakala ia dihanyutkan ke genangan kecil. Genangan kecil itu saya tamsilkan sebagai nyawa yang sudah hampir ke penghujungnya. Ia perlambangan yang menarik dan segar.
Kita beralih ke bait-bait seterusnya:


ia sempat memandang pada rumput dan menyapanya

senyum kepada awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya
 
 
'Rumput' dan 'awan yang tanpa lelah menjatuhkan butirnya' pula saya takwilkan sebagai rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan. Walaupun seseorang insan melewati keterbiaran-ketidakpedulian-kedaifan dalam kehidupan, masih dia punya hidup. Masih sempat 'menyapa rumput' iaitu mencicip keindahan,ketenangan sebagai orang terbiar, juga melontar 'senyum pada awan yang tidak pernah lelah menjatuhkan butirnya' iaitu merasai nikmat rezeki Tuhan yang terlalu luas. Keadaan ini dikukuhkan lagi oleh Faisal dalam bait seterusnya:


akhir sekali ia mengucapkan syukur kepada Tuhan,

bahawa ia pernah merasa kehidupan.

 
Kesimpulannya, puisi yang dinukilkan oleh Faisal sarat dengan falsafahnya yang tersendiri. Pemilihan diksi yang tepat membuatkan puisi ini dinikmati indah. Falsafah hidup yang diturunkan daripada keterbiaran itu kepada kesyukuran berjaya menjemput pengkritik berziarah ke alam kesedaran rohaniah. Ia mengingatkan bahawa walaupun seseorang manusia itu tidak pernah dipeduli oleh insan lain (apatah lagi, untuk dicintai;mungkin), masih, dia punya Tuhan yang tidak putus memberikan rezeki untuk dia terus hidup. Itulah sifat Tuhan kepada setiap hamba-Nya; mencintai tanpa syarat yang fana. Hal ini betepatan sekali dengan salah satu firman Allah swt iaitu, yang membezakan sekalian manusia adalah darjah keimanan.

Tahniah Faisal! Puisi ini punya keindahan rohani dan jasmaninya. Mahu baca lagi karya-karya kamu. Teruskan berkarya!
 

Mode: Usai kritikan-- lapar~ (-_-')v

10.27.2010

PUISI: PEREMPUAN-PEREMPUAN oleh AIDIL KHALID


AIDIL KHALID
Perempuan-Perempuan
(yang pernah menyukaiku)
Dengan sebatang pensel
Dia lukis sebilah parang.

Larik-larik lakarnya
jelas menunjukkan
parang itu amat tajam.

Dengan sebilah parang tajam
dia cincang habis tubuhku
sampai hancur
sampai lumat.

Cuma ditinggalkan
- tak tersentuh –
adalah seketul hatiku

(dia belum tahu melukis gambar hati)

Seperti perempuan yang diceritakan oleh Aidil Khalid dalam puisinya di atas, saya juga terbiasa menuangkan gambar jiwa saya pada lukisan baik di atas kertas lukisan mahu pun kanvas. Namun, bukanlah kerana saya juga meminati seni lukis, maka saya tertarik dengan puisi nukilan sahabat penulis saya ini. Mudah untuk dinyatakan, saya tertarik dengan segala benda yang punya keindahan yang tersendiri. Dan dalam puisi Perempuan-perempuan, saya temukan keindahan dan juga kemajuan Aidil Khalid sebagai seorang pemuisi. Termasuk puisi yang ini, serasa saya, sudah 4 puisi beliau menjadi kegemaran saya.

Bercerita tentang puisi Perempuan-perempuan, (pada penilaian peribadi saya) ia mengisahkan seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki, namun malang sekali, si perempuan itu tidak dapat memenangi hati lelaki yang dicintainya. Kelaraan hati seorang perempuan digambarkan pada sebilah parang tajam yang dilukisnya. Perempuan tersebut kemudian menyincang tubuh lelaki itu sehingga hancur dan lumat. Sayang sekali, walaupun harus mati, seketul hati yang tidak bisa dipaksa untuk mencintai seseorang tetap tidak dapat mencintai orang itu dalam keadaan rela. Ini digambarkan oleh Aidil dalam stanza:

Cuma ditinggalkan
- tak tersentuh –
adalah seketul hatiku

Ia ingin menyatakan bahawa "Mati hidup semula pun, engkau tidak akan bisa menyentuh hatiku untuk menyintaimu." kerana hakikat perasaan, ia memang tidak boleh dipaksa-paksa sama ada untuk mencintai seseorang, membenci, menyukai dan sebagainya.

Menyentuh soal lambang dan perlambangan, saya kira yang digunakan oleh Aidil Khalid ini sangat menarik. Perempuan (insan yang mencintai), lukisan parang yang tajam (keterlukaan perempuan tersebut yang digarapkan padanya kerana cintanya tidak dibalas), lelaki (yang dicintai),tubuh lelaki yang dicincang (kesakitan lelaki tersebut sama ada secara zahiriah, mahu pun secara batiniah ; merasai juga kesakitan perempuan itu), dan hati yang tidak lumat kerana datanglah pembunuh bersiri pun, hati tetap tidak boleh dipaksa perasaannya (walaupun lelaki itu mengerti akan perasaan perempuan tersebut dan turut merasai luka hatinya.).
Jalinannya sungguh cantik di situ ; perluahan perasaan bahawa cinta tidak bisa dipaksa dalam bentuk puisi yang mudah difahami khalayak, bukan sekadar peluahan perasaan yang selapis dan meleret-leret juga tidak memualkan. Citra yang digunakan juga tidak mengalami masalah bauran dan kekeliruan.
 
Tahniah Aidil Khalid !
Saya menantikan puisi-puisi indah anda yang seterusnya



Terima kasih Aidil Khalid kerana memberi kebenaran untuk menyiarkan puisinya di blog ini.
Anda boleh ke blog beliau untuk melihat 'pembunuhan-pembunuhan' yang telah beliau lakukan:
AIDIL KHALID 

Untuk mengetahui komen lain tentang puisi ini, anda juga boleh berziarah ke blog
  WAN NOR AZRIQ.
 
 

8.21.2010

FILEM : KETIKA CINTA BERTASBIH v. AYAT-AYAT CINTA

MUNGKIN saja saya telat meresensikan filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) sementelah waktu tayangannya sudah menjangkau setahun sejak mula ditayangkan pada 19 Jun 2009. Ya, saya telat menontonnya. Namun, bersyukur juga kerana masih diberikan peluang untuk menonton filem tersebut yang pada perkiraan saya, mesej Islaminya lebih padat berbanding filem Ayat-ayat Cinta (ACC) yang datangnya daripada seorang penulis yang sama iaitu Ustaz Habiburrahman El-Shirazy.

Pada karya pertama Ustaz Habiburrahman, iaitu ACC, kepuasan membaca dan menikmati dakwah lebih menjuruskan kepada novelnya berbanding filemnya. Entah mengapa pada selera peribadi saya, filem ACC masih punya lompang yang tidak terisi bahkan tidak berapa padat. Cintanya lebih menjurus kepada cinta sesama manusia. Itu merupakan perkara yang membuatkan saya tidak puas menonton filem tersebut.

Namun, dalam KCB, lain pula ceritanya. Kepuasan lebih menyerlah dengan kepadatan unsur dakwah sehingga saya berulang kali menonton bahagian-bahagian tertentu pada filem tersebut untuk menghayati ilmu yang disampaikannya baik secara lisan mahu pun bahasa tubuh pemain-pemain filem ini.



Watak utama KCB, Abdullah Khaerul Azzam yang diperankan oleh Kholidi Asadil Alam lebih realistik berbanding watak Fahri dalam ACC yang tiada cacat-celanya langsung. Watak Abdullah Khaerul Azzam disisipkan sedikit kelemahan manusiawinya iaitu kelewatan graduasi dari Al-Azhar. Namun, kelemahan itu diadun secara relevan dengan sebab yang munasabah iaitu kelewatan itu disebabkan oleh tanggungjawabnya terhadap keluarga. Abdullah Khaerul Azzam terpaksa menjual Bakso dan Tempe juga menjadi tukang masak di Cairo, Mesir, demi membiayai kehidupan keluarganya di Kartasura, Jawa Tengah, Indonesia. Inilah ruang lompang yang diisi padat dalam KCB berbanding ACC. Memang dalam ACC, watak Fahri juga merupakan watak pemuda yang tidak senang, namun lompangnya adalah ia tidak punya sebab yang dilihat kemas dan padat.

Selain itu, hal yang realistik adalah perjalanan Abdullah Khaerul Azzam dalam mencari jodoh. Jika dalam ACC, majoriti wanita dalam filem itu mahu Fahri menjadi suami mereka, dalam KCB halangan dan dugaan yang dihadapi oleh watak utamanya kelihatan benar sekali dan tiada yang pura-pura padanya.

Pada filem KCB juga, unsur Islaminya dinilai lebih menyeluruh. Jika dalam ACC, isu yang lebih menonjol adalah isu poligami sehingga menenggelamkan isu lain yang cuba diangkat, namun dalam KCB ilmu-ilmu yang ditonjolkan lebih bersifat ringan dan menyusup masuk ke dalam jiwa penonton. Dipermudahkan, tiada ilmu yang menutup keserlahan ilmu yang lain. Namun, saya tidak boleh menilai filem ACC sebagai filem yang cacat juga kerana mungkin atmosfera kisahnya memang bertujuan mengangkat tema poligami sebagai salah satu cabang topik dalam ilmu munakahat (nikah kahwin) supaya dimengerti konsepnya.

Selain itu, kecintaan pada Allah SWT juga lebih menonjol dalam KCB. Kesabaran,keredaan dan keikhlasan watak-wataknya dalam menerima tarbiah daripada Allah SWT telah menonjolkan konsep sebenar beriman kepada Tuhan Azza Wa Jalla. Sebagai contoh, watak Anna Althafunnisa yang dibawa oleh Oki Setiana Dewi dan Abdullah Khaerul Azzam yang sebenarnya mencintai antara satu sama lain, namun masing-masing reda dengan perkahwinan antara Anna dan Furqan (Andi Arsyil Rahman). Kemudian, kekuasaan Allah SWT ditunjukkan pada perjalanan mereka setelah itu yang akhirnya membawa kepada perkahwinan Anna Althafunnisa dan Abdullah Khaerul Azzam. Jalan ceritanya dijalin dengan cantik sekali tanpa membiarkan sesuatu isu dilompat-lompatkan sehingga mengakibatkan kelompangan.

Semangat persahabatan juga dapat dirasai antara Abdullah Khaerul Azzam, Anna Althafunnisa, Furqan, Ayatul Husna (Meyda Sefira) dan Elliana (Alice Norin) baik di Mesir juga di Indonesia. Semangat kekeluargaan juga turut ditonjolkan dalam setiap keluarga yang ada dalam filem ini yang menjurus kepada sakinah fiddunya wal akhirah.

Penghayatan Islam dalam KCB lebih dirasai mungkin kerana sistem audisi yang dijalankan untuk mencari pemain-pemain filemnya. Jika dilihat, para pemainnya kelihatan punya latarbelakang agama contohnya Oki Setiana Dewi dan Meyda Sefira yang sememangnya bertudung baik dalam penggambaran mahupun di luar penggambaran. Manakala Kholidi Asadil Alam atau lebih dekat dipanggil Odi ini kelihatan juga seperti orang yang tahu agama sehingga dipertanggungjawabkan untuk melaungkan azan di RCTI, yang merupakan stesen televisyen swasta pertama di Indonesia. Watak Kiyai Haji Lutfi juga sangat cocok dengan Deddy Mizwar (yang lebih saya kenali dengan nama Haji Romli dalam Sinetron Kiamat Sudah Dekat). Apa pun pemilihan watak-wataknya sesuai dan berpadanan dengan pameran wajah masing-masing.

Saya kira tidak keterlampauan jika saya katakan udara KCB lebih tenang. Untuk ACC, filemnya juga bagus kerana punya ilmu namun dari segi kekemasan jalinan cerita, KCB lebih menyerlah.

Kepada yang belum menonton KCB, tontonlah dan buatlah penilaian sendiri. Ia sebuah filem yang bagus buat pencinta ilmu dan kebaikan.

10.24.2009

SEEKOR BURUNG- LUPITA LUKMAN

1
Dia sudah besar tinggi rupanya, sudah besar. Sehingga ranjang yang
sedari kecil menjadi saksi mimpi-mimpinya itu, kini tak lagi cukup
menampung tubuhnya. Hingga ibunya yang selalu mengantar
tidurnya dengan dongeng-dongeng, tembang atau doa-doa itu, kini
menyuruhnya pergi.

"Segeralah kau temui mimpi-mimpimu yang terserak di jalanan,
tinggalkan ranjang ini,
kamar, juga rumah ini, jadilah burung!"

"Tapi, Bu...," tiba-tiba saja kalimatnya terhenti ketika ia terlanjur
sadar tangannya mengepak menjadi sayap, terbang menjelma burung
dengan hati amat senyap. Meninggalkan ranjang berseprei abu-abu.
Meninggalkan ibu.
"Tentu dia terbang kini, dia sudah besar," gumam ibu.

2
Burung itu terbang seharian. Telah puas bermain-main di bebukitan.
Kini, ia kelelahan.
Meski tetap saja ia merasa sungkan hinggap di sebuah dahan.
"Sekarang aku akan ke mana? Awan menghitam, hujan segera datang.
Saat seperti ini, aku hanya ingin kembali ke ranjangku dan meringkuk
di sisi ibu."

3
Setahun sudah berlalu, ibu sendirian di rumah itu. Ranjang itu pun
sepreinya sudah diganti biru. Astaga! Kini ibu senang memelihara
berbagai jenis burung dalam sangkar, dalam kamar.

Sambil memandikan seekor burung dalam sangkar bambu, ibu
bergumam,
"Dia sudah besar, tak mungkin lupa jalan pulang, tak mungkin sasar."

4
Di sebuah senja berwajah jingga, aku melihat seekor burung terbang
penasaran, berputar-putar di sekitar batang bambu, lupa jalan pulang
ke rumah ibu.


*60 Puisi Indonesia Terbaik 2009
Anugerah Sastera Pena Kencana

10.19.2009

PUISI: TAWARAN oleh AIDIL KHALID








Tadi pagi sebaik terjaga daripada tidur
seekor jin yang tadi malam baru sahaya selesai karang kisahnya
(dalam karangan itu ia dibebaskan daripada sumpahan sebuah balang),
tiba-tiba hadir benar-benar menjelma di hadapan mata
mengucap terima kasih kepada sahaya lalu menawarkan;
mahukah dihadiahkan bulan sabit, wahai tuan,
atau mahu bulan mengambang,
malah boleh juga roket terbang?
Sahaya tidak menjawab sebaliknya menanyakan
apa tiga itu cumakah pilihan?
Jin lalu menawarkan tambahan –
atau mahukah dacing perak buat menimbang emas permata, wahai tuan?
Menggeleng sahaya menggeleng.
Atau mahu keris pusaka warisan turunan bertatah berlian?
Cukuplah, jawab sahaya penuh penghormatan, sekadar dihadiahkan sebatang pena
agar dapat terus sahaya peliharan dan pulihara kemuliaan kemanusiaan.

Aidil Khalid
Shah Alam, Selangor.
(Terbit di Mingguan Malaysia; 18 Oktober 2009)



SAYA masih ingat kali pertama bertemu dengan Aidil Khalid di Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007. Orangnya tampak pendiam. Tapi saya pasti, di sebalik sifatnya yang tampak begitu, beliau merupakan seorang pemerhati yang tajam seperti penanya yang bagi saya bersifat pembunuh. Sekali-sekala, sesudah MPR, beliau menjadi tempat rujukan saya dalam bidang penulisan kerana sifat 'pembunuh' beliau itu.


Saya juga masih ingat bayang-bayang puisi Aidil yang saya kira puisi pertama beliau yang terbit di Tunas Cipta. (Maaf jika perkiraan saya itu silap). Memang saya tidak teruja langsung dengan garapan puisi tersebut. Pemilihan bentuk katanya tidak mampu untuk membuatkan saya meneruskan bacaan. Tetapi, saya cukup gemarkan cerpen-cerpen beliau. Dan saya sendiri lebih mengenali beliau melalui cerpen antaranya (ketika itu) Mencipta Berlian, Susahnya Nak Kahwin! dan sebagainya.



Kini, setelah hampir setahun lebih mengenali Aidil Khalid dan karya-karyanya, saya dapat melihat kemajuan sahabat saya ini dalam bidang puisi. Pemilihan katanya sudah berada dalam susunan yang baik- sudah mampu membuatkan saya berasa teruja walaupun setelah habis puisinya saya baca.


Puisi Tawaran, merupakan puisi Aidil yang kedua yang mampu menghadirkan keterujaan saya sebagai seorang pembaca dan penulis khususnya.


Saya menanggapi Aidil Khalid cuba mengkritik timbunan filem yang berunsurkan tahyul dalam industri perfileman negara. Tidak dinafikan selera tonton masyarakat nampaknya sudah menjurus ke arah itu atau mudah saya katakan, masyarakat kita sudah kembali ke zaman pemeliharaan jin dan iblis walaupun tidak secara langsung. Sesuatu yang pada pendapat peribadi saya, memundurkan ketamadunan bangsa.



Saya menyenangi ayat-ayat terakhir Aidil dalam puisi Tawaran. Aidil meminta agar jin tersebut menghadiahkan kepada beliau sebatang pena untuk memelihara dan memulihara kemuliaan kemanusiaan. Aidil Khalid cuba mengangkat peranan bidang penulisan, tidak kira dalam genre apa sekali pun, bahawa penulis itu menggalas tanggungjawab sosial di pundaknya. Saya sendiri percaya bahawa kita adalah apa yang kita baca. Maka bahan bacaan itu haruslah dipelihara kemuliaan insannya oleh penulis. Maka, saya sangat bersetuju dengan usulan beliau dalam puisi ini - kuasa sebatang pena dalam melestarikan ketamadunan manusia.



Saya tidak tahu apakah ada mesej lain yang ingin disampaikan oleh Aidil Khalid dalam Puisi Tawaran beliau, tetapi inilah resensi kerdil daripada saya. 

Tahniah Aidil Khalid! Semoga terus cemerlang dalam bidang ini walau apa pun genre yang beliau karyakan. Teruskan 'membunuh'!


*Gambar dicuplik dari Facebook Aidil. Hehehe=p 

10.18.2009

PUISI PENDEK v. PUISI PANJANG

kala sunyi senyum sinis padaku
aku jadi pembenci rindu



Ada sahabat memberi komentarnya tentang puisi saya yang pendek ini. Katanya "Tak puas baca."
Saya tergelak.
Dia kemudiannya terus mencari puisi dalam filem Ketika Cinta Bertasbih di internet lalu membacakannya kepada saya.



cinta adalah kekuatan
yang mampu mengubah duri jadi mawar
mengubah cuka jadi anggur
mengubah sedih jadi riang
mengubah amarah jadi ramah
mengubah musibah jadi muhibbah
itulah cinta...



sekalipun cinta telah kuuraikan
dan kujelaskan panjang lebar,
namun jika cinta kudatangi
aku jadi malu pada keteranganku sendiri
meskipun lidahku sudah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah,
cinta ternyata lebih terang,
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya,
kata-kata pecah berkeping-keping
begitu sampai kepada cinta...
dalam menguraikan cinta,
akal terbaring dalam lumpur,
cinta sendirilah yang menerangkan cinta
dan percintaan...



Jawapan saya, terpulang pada selera masing-masing.