Burung merpati ini sendiri pening dengan masalah hakisan kemanusiaan sehingga terpaksa belajar tentang itu. |
SANGKAR MERPATI:
(SEMUSIM TENGADAH LANGIT BERWARNA MERAH)
seakan aku terpanggil untuk menyebut namamu – [merpati]
tatkala kesepian malam telah mengheret aku ke sebuah
perkampungan luka yang penuh berdarah; engkau tahu,
aku melihat para arwah bergentayangan memanggil
namamu demi menuntut nasib yang tidak terkasihani –
pastilah engkau dapat menangguk maknanya sekalipun
terkurung dalam sangkar kehidupan yang amat sukar dimengerti;
telah aku lewati musim kemarau panjang di daerah
kemanusiaan; angin telah menyembur pawaka dan
seterusnya membakar insaniah yang hadir sejak azali –
mengertilah datar peradaban yang kita injak semakin
hangus dibakar pijar matari manusiawi di ufuk kirmizi;
(tapi siapa yang telah mengurung dirimu di dalam sangkar itu?)

SESEBUAH puisi itu tidak bisa dinilai sebagai puisi yang bagus hanya sekadar melihat pada gaya bahasanya sahaja. Ia harus juga dinilai dari sudut makna, lambang dan perlambangan, diksi yang dipilih juga hubungan antara diksi yang digunakan.
Menerusi puisi di atas, A.Muziru Idham, mantan peserta Minggu Penulis Remaja 2009, dilihat memiliki gaya bahasa yang menarik dan matang. Puisinya juga seronok untuk‘diburaikan’.
Kita terus kepada lambang yang digunakan oleh Muziru iaitu ‘Merpati’. Kebiasaannya, merpati dijadikan simbol kebebasan. Itu tanggapan pertama saya pada awal sesi pembedahan. Maka, apabila saya terus-terus membedah puisi ini, saya kira lambang yang digunakan oleh A.Muziru memang menjurus kepada makna kebebasan.
Rangkap pertama puisi ini mudah difahami. Penulis menyeru-nyeru merpati (kebebasan) di perkampungan luka yang penuh darah (daerah yang dilanda peperangan). Selain daripada itu, penulis juga melihat para arwah yang bergentayangan memanggil nama merpati demi menuntut nasib yang tidak dibela (roh-roh orang yang mengharapkan kedamaian dan kebebasan untuk nasib manusia yang masih belum lepas daripada belenggu perang). Manakala, bait akhirnya, pastilah engkau dapat menangguk maknanya sekalipun terkurung dalam sangkar kehidupan yang amat sukar dimengerti pula bermaksud, kebebasan itu memang wujud di mana-mana sekalipun. Tetapi kadang-kadang, dalam hal kehidupan, ada sudut yang menyekat kebebasan itu membuatkan kita tertanya-tanya mengapa kita tidak bebas untuk melakukan sesuatu hal yang baik sedangkan kebebasan untuk itu memang wujud.
Kita beralih pula ke rangkap dua puisi A.Muziru. Tiga bait awal dalam rangkap ini tiada masalah. Masih jelas dan masih mudah difahami.
Namun begitu, bait seterusnya dilihat punya masalah dari segi makna.
mengertilah datar peradaban yang kita injak semakin
hangus dibakar pijar matari manusiawi di ufuk kirmizi;
hangus dibakar pijar matari manusiawi di ufuk kirmizi;
Kata ‘peradaban’ dan ‘manusiawi’ itu dilihat tidak punya hubungan yang sejajar. Bagaimana peradaban itu hangus dibakar manusiawi? Apakah maksud peradaban, dan apakah maksud manusiawi? Saya berikan makna kedua-duanya secara ringkas di sini:
- Peradaban – Tamadun / sistem sosial sesuatu bangsa yang punya kemajuan.
- Manusiawi – Sifat kemanusiaan; yang punya ciri-ciri mulia
Bukankah sifat mulia dan sifat kemanusiaan itu seharusnya menyuburkan tamadun? Jika kita selusuri sejarah, tamadun yang gemilang mengalami keruntuhan disebabkan kurangnya sifat kemanusiaan dan kemuliaan pada mereka. Sebagai contoh, tamadun Andalusia yang tersangat gemilang selama hampir 8 abad itu musnah apabila wujud kerajaan-kerajaan kecil yang etnosentrisme yang dikenali sebagai Muluk Al-Tawa’if. Pengabaian itu bukanlah satu ciri kemanusiaan bahkan bukan juga satu sifat yang mulia. Jadi, apakah relevan, tamadun hangus dibakar sifat mulia ataupun kemanusiaan?
Maka, dalam menulis puisi, terutamanya puisi yang mengangkat tema sosial sebegini, yang harus dititikberatkan juga ialah soal kerelevanan hubungan antara diksi.
Secara keseluruhan, puisi A.Muziru tidak punya banyak masalah, malahan punya keistimewaan sendiri bagi beliau yang berusia belasan tahun.
Tahniah untuk A.Muziru Idham!
Saya menunggu karya beliau yang seterusnya.
*Langit merah atau kirmizi; saya terbayang-bayang langit malam Gaza yang kemerahan dek cahaya ledakan bahan letupan.
1 Bicara Balas.:
Assalamualaikum w.b.t.
Eja,
Tahniah kerana sekali lagi berjaya menjadi 'doktor' yang mengkaji 'anatomi' karya-karya mereka.
Izinkan saya menambah sedikit mengikut penilaian kerdil saya (akui diri masih perlu diperbaiki).
Mengikut tafsiran saya, ayat "angin telah menyembur pawaka" dalam rangkap kedua agak kurang sesuai digunakan. Apakah sifat angin itu menyembur? Saya rasa lebih sesuai jika perkataan 'menyembur' itu digantikan dengan 'menyemarakkan' (sekadar cadangan). Mungkin perkataan 'menyemarakkan' lebih menunjukkan kerelevanan dalam ayat tersebut.
Apapun, tahniah diucapkan kepada Muziru kerana berjaya menghasilkan puisi yang indah. =)
Post a Comment