Pages

1.15.2011

DENDAM DAN KEMAAFAN

ASSALAMUALAIKUM...


Ada sahabat bertanya kepadaku adakah aku akan maafkan sahabat aku yang menyakiti hatiku? Ya, aku maafkan. Adakah aku akan maafkan sahabat yang membuat fitnah tentangku? Ya, aku maafkan. Yang memusnahkan kebahagiaanku? Aku maafkan juga.


Sahabatku bertanya lagi, kalau aku maafkan, kenapa aku tidak mahu lagi bercakap dengannya? Kataku, bukan aku yang tidak mahu. Tetapi, aku tidak tahu mahu berkata apa.


Sahabatku bertanya lagi, apakah aku telah memutuskan persaudaraan itu. Jawabku, tidak. Persaudaraan dalam Islam tidak pernah putus. Katakan ada musibah yang melanda, dan aku perlu selamatkan dia, aku akan selamatkan sebagai seorang saudara seagama. Sebagaimana aku memimpin orang kurang upaya yang tidak aku kenal langsung untuk menyeberangi jalan. Soal sahabatku lagi, sebagai sahabat? Jawabku, aku serik.



Dan aku tambah, sebagai manusia, aku juga punya kelemahan hati. Tuhan sahaja yang bisa meletakkan kelebihan hati pada aku kerana hatiku ini mutlaknya milik Tuhan. Waktunya milik Tuhan. Jika suatu hari nanti, rasa serik aku diterbalikkan oleh Tuhan menjadi tiada, insyaAllah, segalanya akan jadi seperti biasa. Aku tiada dendam. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana menjadikan aku seorang insan yang tidak pernah ada kepandaian untuk berdendam, jauh sekali mahu membalas dendam. Apapun, seorang sahabat, nilainya terlalu besar padaku. Dan seorang saudara seagama, nilainya tiada tara. Pokoknya, aku maafkan semua silapnya dan aku halalkan segala-galanya.


Dan, satu lagi, aku harap orang lain yang bersahabat dengannya tidak akan menghukum dia hanya kerana salah dia padaku. Dia bisa belajar daripada kesilapan itu dan mungkin tidak akan melakukan kesilapan tersebut kepada orang lain. Kamu bersahabatlah dengan dia seperti biasa.

0 Bicara Balas.: