Pages

1.29.2011

INTERLOK, AIR MATA DAN SLAVERY MUSEUM, LIVERPOOL

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ini cuma sekadar kenyataan sebagai seorang pemerhati dan pemikir yang tidaklah hebat. Aku memerhati dari sudut hidup, kemanusiaan, politik dan kesempitan fikiran kebanyakan masyarakat di Malaysia. Dan kerana kesempitan pemikiran itu Malaysia cuma bergerak maju dengan hanya projek-projek pembangunan, ketinggalan dalam soal rohaniah.

Sepanjang kontroversi novel ni, aku cuma jadi pemerhati selain main kutuk-kutuk belakang tentang orang yang tak berfikiran positif tentang novel itu. - Jadi faham-fahamlah, apa pendirian aku di sini.

Aku perhatikan saja sehingga isu ini dikatakan selesai dua hari lalu.

Ini dari sudut kemanusiaan. Aku lihat foto sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain. Beliau menangis kerana salah tanggap orang tentang Interlok. Dengan keadaan fizikal beliau, aku menangkap satu makna kehidupan. Mungkin sahaja beliau yang sudah lama berjuang di arena sastera, tidak terlintas langsung di fikiran bahawa dalam usia ini (usia yang seharusnya rehat dari segala kekacauan masyarakat) beliau harus berhadapan dengan isu sebegini. Aku terus meletakkan diriku di tempat beliau. Apakah ujian hidup yang akan aku hadapi sewaktu aku berusia begitu?

Ini pula dari sudut kesempitan pemikiran. Malaysia memang kelihatan maju dengan projek. Maka banyaklah bukit-bukit ditarah dan jadi botak. Kuala Lumpur makin panas walaupun hujan. Bukan sahaja bahang daripada matahari tetapi juga bahang dari bumi. Ini kesan sampingan pembangunan 'terancang'. Perkara seringkas ini pun payah hendak difikirkan apatah lagi perkara yang berkaitan dengan pemikiran dalam buku. Lagi-lagi manusia di Malaysia ini kebanyakannnya memang liat membaca. Mereka lagi gemar mendengar muzik, lepak-lepak di kelab malam, rempit-rempit di mana-mana jalan.

Interlok adalah penceritaan mengenal sejarah. Terimalah sejarah walaupun ia pahit. Orang yang tidak dapat terima sejarah adalah orang yang takut menghadapi masa depan dan akan cepat mati. Benar. Dek kerana takut dengan sejarah silam, maka manusia memang akan mahu bunuh diri.

Dan kalaupun Interlok tidak ditulis, dan tidak wujud, hakikat sejarah Tanah Melayu memang didatangi oleh orang-orang bukan Melayu. Semua orang tahu itu.


Aku bukan mahu angkat keterbukaan Barat. Ada keterbukaan yang tidak harus kita contohi kerana menyalahi adab ketimuran. Ada yang harus kita bawakan kepada timbangtara sebagai seorang manusia kerana hidup mereka lebih bergantung kepada human sense. Maka, human sense tidak dapat tidak, tidak boleh lari daripada kita walaupun hidup di timur.

Di Bandaraya Pelabuhan Liverpool, Albert Docks, sebuah muzium hamba abdi telah didirikan. Ia mempamerkan sejarah golongan kulit hitam yang diculik dan dijadikan hamba. Dan masyarakat orang putih selalu sahaja gemar melawat Slavery Museum itu.

pic from google


Malah, tiada pula rusuhan atau kecaman dari pihak orang putih dan minoriti orang kulit hitam yang hidup bersama-sama itu. Kedua-dua pihak tidak tersinggung juga dengan muzium itu. Mereka boleh hidup dengan aman dan bagi orang kulit hitam, mereka bangga dengan sejarah kehambaabdian mereka itu. Mereka melihat dari sudut susah-payah dan perjuangan hidup yang kini membawa kepada kemakmuran.

Bagi mereka itu sejarah yang harus difahami dan harus membawa kepada fikiran yang jernih kerana sejarah adalah fakta - walaupun mungkin dalam buku berbentuk fiksyen, ia dikreatifkan - dan fakta seharusnya membawa kepada puncak fikiran. Berfikir dengan puncak akal. Itulah sebenar-benarnya manusia. Kalau tidak, mengapa Tuhan berikan akal? Betul?

Seperti aku seorang Melayu, bercerita kepada adik-adik kecilku tentang zaman penjajahan British dan Jepun. Kita dipijak di bumi sendiri. Adakah ia sesuatu yang taboo? Tidak! Ia penceritaan sejarah supaya generasi baru harus tahu susah-payah mendapatkan kemerdekaan. Dan, ya, kita harus berbangga tentang itu kerana akhirnya kita merdeka begini.

Malang orang yang melihat sejarah sebagai satu perkara yang ditakuti. Kerana mereka inilah yang menjadi punca keruntuhan bangsa sendiri kerana menafikan sejarah dan lupa tentang sejarah. Banggalah dengan sejarah walaupun ia mungkin pahit kerana kepahitan itulah yang lebih buat kita hargai hidup tanpa rusuh.


*Tuhan jadikan akal di kepala, lidah di tengah-tengah, hati kemudiannya. Kerana akal dan hati harus bersatu terlebih dahulu sebelum mencari lohong bersuara. Dan kenapa Tuhan letakkan akal di kepala pada bahagian atas tubuh manusia? Kerana akal harus jadi ketua sebelum segalanya jadi binasa.

1 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum w.b.t.

Eja,

Seharusnya kita di Malaysia berbangga dengan sejarah yang kita ada. Seperti mana mereka berbangga dengan sejarah mereka. Kita harus belajar daripada sejarah. Dan walau benar sekalipun dalam sejarah tidak terdapat istilah seperti yang dinyatakan, paling tidak, kita harus menerima sebuah karya kreatif tetap karya kreatif. Hanyalah pandangan kerdil daripada saya. =)