happiness from google |
Tak sihat lagi. Itu mode sekarang. Tak apa. Ketepikan soal itu. Yang penting, masih lagi boleh buka mata dan bernafas untuk hari esok. Alhamdulillah...
Setiap orang mahu rasa bahagia. Dan definisi bahagia setiap orang itu berbeza. Ada yang mahu hidup dengan hanya belajar hingga peringkat paling tinggi kerana itu definisi bahagia bagi mereka. Ada yang mahukan keluarga yang besar kerana itu kebahagiaan bagi mereka.
Definisi bahagia aku ialah, aku mahu lakukan perkara yang aku mahu dan aku jiwai perkara itu. Sebagai contoh, aku mahu menulis dan aku rasa bahagia dengan keadaan itu kerana tekanan hilang pada waktu menulis. Jiwa aku sejak dari kecil hingga sekarang ialah menulis. Kalaupun menjadi graduan undang-undang pun, aku tetap akan bekerja sebagai seorang penulis. Aku tiada niat menyambung pelajaran lagi. Jika ada rezeki untuk belajar, bidang undang-undang bukan lagi pilihan. Mungkin ada yang akan berkata bahawa ia merupakan satu kerugian tapi setiap orang punya definisi bahagia berbeza.
Aku juga tidak minat bekerja makan gaji. Tidak berminat bekerja di bawah orang. Mungkin kerana jiwa aku memang sedari kecil suka menyendiri kerana aku biasa sendiri. Aku cucu sulung Ma yang dijaga sejak kecil olehnya. Tinggal sendiri sehingga Ma memiliki cucu-cucu yang lain pun. Duniaku cuma buku. Dan kerana kesendirian itu, aku lebih banyak menguliti kata yang aku karang sendiri. Aku juga jarang keluar rumah bermain dengan anak-anak sebaya. Dan aku, sehingga kini lebih suka diam kecuali jika ada yang bertanya, maka aku akan jawab. Jika tidak, kebiasaannya aku cuma diam walaupun aku berada dalam kumpulan. Tapi, aku bahagia dengan diam itu.
Ada orang bahagia dengan makan gaji. Aku tidak punya hak untuk persoalkan tentang itu. Ada orang bahagia dengan belajar dalam bidang akademik tanpa henti. Ada orang bahagia dengan menyimpang dari kursus yang diambilnya di universiti dengan pekerjaannya kini. Pun aku tak punya hak untuk persoalkan tentang semua itu. Kalau ada yang persoalkan, ada orang rasa bahagia dengan ambil dadah atau buat jahat, minta maaf awal-awal, itu soalan yang tidak serius tentang hidup. Fikir ya, itu adalah perkara yang meletakkan kawat besi di sekeliling hidup.
Bahagia orang itu berbeza.
Mereka lebih tahu kebahagiaan hidup mereka. Dan aku sedar kebahagiaan hidup aku. Sekarang cuma melangkah. Kalaupun nanti tersadung dan jatuh, aku akan bangun dengan caraku. Caraku yang bahagia yang mungkin pada awalnya diperlekeh orang. Tapi, kalau sudah bahagia, mahu dikata apa lagi?
0 Bicara Balas.:
Post a Comment