ADA sahabat yang bertanya, apa yang telah aku belajar daripada hidup di dunia luar?
Dahulu, ketika zaman sekolah, aku jarang bergaul dengan orang. Juga jarang keluar rumah. Oleh sebab sikapku itu, ada antara rakan yang memberi gelaran Puteri Gua kepadaku. Aku gelak sahaja tanpa fikir, serius apakah pada panggilan itu.
Tetapi, keseriusan itu aku lihat setelah aku menghadapi dunia luar hari ini. Awal dahulu, aku jadi seperti katak yang dikeluarkan daripada habitat semulajadinya ; lembap dan selesa. Aku dikeluarkan dan dijemur di tengah kawasan panas dan tandus sehingga aku tidak dapat sesuaikan diri dengan mudah. Bahasa senangnya, culture shock. Tetapi, alhamdulillah, aku tidak teruk mengalami culture shock di dunia luar ini.
katak biru dari google |
Aku dahulu seperti katak yang tidak kenal katak-katak yang lain. Yang beracun, yang tidak beracun, yang berkaki panjang, yang berbentuk bujur, yang bulat, yang gemuk, yang licin, yang merah, yang kuning, yang apa-apa sahaja, tidak aku kenal.
Ohhh... Itu sangat bahaya! Aku melihat bahayanya kini. Bahaya kerana jika tidak kenal semua itu, maka kita akan jadi katak yang awal matinya. Kering. Hangus. Mati katak!
Dahulu aku fikir dengan lurus hati bahawa semua orang itu baik sifatnya. Aku fikir, semua orang berpelajaran itu berhemah dan cerdas dalam kehidupan sehingga aku menyaksikan kegagalan mereka menguruskan kasih sayang dan perasaan. Aku fikir orang yang tidak pakai songkok, kopiah, bertudung itu tidak tahu agama sehingga aku mengerti bahawa hidayah bukan terletak mutlaknya di lidah manusia. Aku fikir orang yang tidak berpelajaran itu bodoh mengurus hidup sehingga aku melihat lelah kudrat mereka mencari rezeki dan kecapi kesenangan. Aku fikir orang yang banyak membaca itu tahu banyak perkara sampailah aku melihat kesombongan mereka yang konon berlagak seperti tahu semua benda sedangkan ilmu manusia cuma setitis air di jemarinya.
Di luar ini, aku belajar kenal yang lurus dan sebaliknya. Aku belajar kenal orang sombong, orang berlagak, orang yang mengharapkan syaitan laknatullah, orang yang lembut sifatnya, orang yang khianat, orang yang jujur, orang yang curang, orang yang celupar, orang yang apa-apa lagi! Apa-apa lagi yang bisa buat kita mati perasaan. Atau mungkin boleh aku katakan, mati awal kerana tekanan jika tiada kekuatan.
Aku sendiri, banyak kali berasa tertekan dengan sikap manusia lain. Awal dahulu, ketika tiba di UIAM, aku tertekan dengan para pelajar undang-undang yang agak sombong, yang ditanya tak berjawab, yang meletakkan mereka sebagai pelajar berstatus paling tinggi di universiti kerana tahu undang-undang. Makluman awal, bukan semua. Dan aku juga kadang-kadang rimas dengan perangai staf admin yang memandang pelajar degree dengan tiada mata. Tertekan! Memang tertekan.
Tapi, perlahan-lahan aku belajar untuk hadapi orang-orang begini.
Masuk bab kerja ; sebagai seorang penulis dan unit trust consultant, lagi banyak perangai baru yang harus aku hadapi. Ditumbuk, diterajang, disepak pada jiwa. Kadangkala, ada tumbuk sepak terajang yang kita tiada layak untuk menerimanya, terpaksa untuk kita terima.
Pun, aku masih belajar sabar kerana aku sudah sampai tahap yang malas mahu ambil kira apa orang mahu dari aku. Tahu kenapa? Mudah. Kita tidak akan pernah dapat puaskan hati semua orang. Kadang-kadang, kita selalu usaha untuk penuhi hasrat orang lain sehingga kita terpaksa lupakan impi hati sendiri. Kita selalu bimbang akan apa kata orang tentang kita sedangkan kita lebih tahu bagaimana diri kita. Lalu kita jalani hidup dengan separuh hati dan kita lupa bahawa manusia tidak akan pernah tahu untuk senyap ; sama ada kita lakukan kebaikan - mereka bising, atau lakukan kejahatan - lagi mereka bising.
Aku adalah orang yang tidak mahu jalani hidup dan kehidupan dengan separuh hati itu. Maka, aku sentiasa berusaha untuk mengutip segala kekasaran manusia dan kekerasan dunia untuk aku lebih teguh pada hati. Aku belajar dan aku cuba cari pengajaran daripada setiapnya.
Tuhan tidak pernah jadikan sesuatu itu sia-sia. Kerana itu Tuhan menyuruh kita memerhati dunia dan isinya termasuk manusia, untuk mengenal Dia.
Maka, inilah jawapannya, bahawa di luar, aku lebih belajar mengenal Tuhan pada kejadian manusia dan alam, dalam diam dan pandangku.
katak ungu dari google |
*Aku boleh histeria kalau tengok katak walaupun dalam gambar. Tapi apa yang aku pelajari, untuk berani dengan sesuatu, harus berani mulakan perkara kecil untuk sesuatu itu.
Jadi, nah!
Aku cuba bela katak dalam blog dahulu sebagai langkah kecil.
1 Bicara Balas.:
katak pun kataklah dik, janji ada pengajaran!
Post a Comment