Awal pagi Isnin dan aku tidak dapat tidur dengan sempurna. Batuk terlalu kuat dan acap menyebabkan aku asyik terjaga. Ada darah juga yang keluar sedikit. Mungkin kerana tekakku sudah luka. Dan batuk juga buat aku jadi lebih gemar mendiamkan diri.
Ada teman pernah berkata kepadaku "Kalau saya tak tanya tentang awak, Eja, sampai bila-bilalah saya tak tahu apa-apa pun tentang awak. Awak tak pernah nak cerita. Adik-beradik berapa orang. Ayah awak kerja apa. Mak awak nama apa.". Aku juga pernah terima ayat ini "Ada emas dalam mulut awak? Bak sini saya nak jual.".
Aku sebenarnya selalu serba-salah ketika duduk dalam kumpulan sahabat-sahabatku. Mereka bercerita, aku mendengar tapi aku tidak tahu di mana aku boleh menyelit. Aku tidak tahu untuk bercerita seperti dalam blog ini di dalam dunia nyata. Jika duduk dalam kumpulan, aku akan jadi tidak tahu untuk bersembang hal-hal yang biasa dijadikan bualan. Tambah-tambah lagi kalau bergosip. Tambah-tambah-tambah lagi kalau aku tidak faham dengan apa yang dibualkan. Kadang-kadang aku juga lambat pick-up orangnya dengan kiasan dan sahabat-sahabatku akan tertawakan aku dan memanggilku 'Lampi'. Aku cuma senyum. Aku tidak pernah kecil hati untuk itu kerana aku tahu itu gurauan bagi mereka.
Aku cuma tahu bercakap apabila ada soalan. Juga ketika satu-satu isu yang nampak penting diutarakan. Atau ketika menjalankan tugas yang memerlukan perbincangan. Atau ada orang yang meminta pandangan. Aku juga tidak tahu untuk hubungi orang dan bersembang di telefon kecuali ada perkara yang aku tahu untuk dibebelkan.
Terbaru, dua hari sudah, ketika aku duduk dengan empat orang sahabat sambil menikmati makan malam, mereka seronok bercerita tetapi aku lebih banyak diam. Aku dengar apa yang mereka bualkan. Mereka bersembang tentang kerja, pelajaran, minat, kesukaan dan sebagainya. Aku tidak tahu di mana harus aku menyampuk dan bercerita sama. Akhirnya, kerana tidak tahu, pandanganku dialihkan ke wajah televisyen yang berdekatan. Mujurlah siarannya menarik iaitu cerita mengenai seismologi kerana aku sangat minat dengan Geografi Alam.
Antara empat sahabat itu, ada yang perasan akan aku yang diam. Aku kadang-kadang disiku-siku mereka dan mereka bertanya "Ok tak, Eja?". Pastinya aku okey, kerana aku memang diam. Kerana aku bahagia dengan diam walaupun adakala aku bimbang juga kalau-kalau sahabat-sahabatku fikir aku seorang yang sombong. Kemudian, aku terangkan kepada mereka bahawa aku memang diam orangnya melainkan ada soalan yang aku harus jawab. Mereka nampak mengerti dan kemudian, mereka heret aku ikut dalam sembang dengan soalan. Antara soalan yang aku ingat "Apa yang Eja mahu bila hari lahir nanti?". Aku senyum dan aku jawab "Buku." "Buku apa yang Eja suka baca?" dan seterusnya, aku ikut sembang hingga akhir pertemuan.
Dan aku tergelak sendiri dalam hati dengan jawapan 'buku' kerana teringat akan rungutan seorang sahabat lama "Saya ni nak bagi buku kat awak. Nak buat suprise. Tapi pening duk fikir buku apa sebab saya takut awak dah ada buku tu. Buku awak dah sangat banyak."
Ya, selain diam, bahagiaku juga adalah buku. Aku gemar baca sesuatu yang punya falsafah dan berat kandungannya tetapi tidak serabut dan pemerhatiannya harus tajam. Aku sangat mencintai keindahan bahasa dalam karya yang aku baca. Antara keindahan bahasa yang aku peroleh adalah daripada Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan. Jika ianya cerpen, antara penulis muda yang aku kagumi ketajaman pemerhatiannya ialah Aidil Khalid. Dan terbaru, yang aku gemar akan falsafah hidupnya ialah Mitch Albom dengan Tuesdays With Morrie - dan sekarang aku sedang membaca The Five People You Meet In Heaven oleh pengarang yang sama. Tetapi, kelemahanku adalah, aku kurang gemarkan fakta yang menyendat dalam bacaan.
Ya, aku harus bersyukur kerana Tuhan jadikan manusia dengan kebolehan bersastera. Kerana sastera membawa ilmu dan falsafah secara kreatif dan mudah untuk aku hadam. Mungkin ada yang tidak boleh menerima sastera disebabkan oleh definisi-definisi mereka yang tertentu. Tapi, itu bahagiaku selain diam.
*Jadi lebih serba-salah dengan orang yang diam juga. Maka, 'lawanku' harus seorang yang bising untuk jadikan hidup tidak sunyi.
2 Bicara Balas.:
Mu'izzah, saya berpendapat yang sama. Ada orang kata orang yang suka membaca itu sombong. Awak setuju ke? Sebab kawan saya pernah kata, bila saya membaca saya tidak akan bercakap atau bersembang dengan mereka. Tapi, saya tak sombong...hehe.
like father, like daughter :)
Post a Comment