Pages

3.17.2011

AGAMA : BELAJAR v. AMALAN

Assalamualaikum...

Sepanjang minggu ini, ada beberapa kisah yang aku kutip daripada pengalaman insan-insan lain. Kisah yang hancurkan hati, bahagiakan jiwa, menyerabutkan fikiran. Aku kutip dan aku harap, ia akan menjadi pengajaran kepada aku, dan kepada sesiapa sahaja yang membaca blog ini.

Sebelum aku berbicara lebih, terima kasih aku tujukan buat setiap insan yang sudi membaca entri di blog ini, yang mengikuti secara terang atau diam. Terima kasih kerana kebanyakan respon yang aku terima memberitahu bahawa aku harus terus menulis dan berkongsi kisah yang mana mampu, untuk dijadikan pedoman meneruskan hidup. Aku cuma berikan apa adanya selagi bernafas di sini.




Kisah yang ini, aku kutip daripada seorang ibu yang sudah lanjut usianya. Sudah sering sakit-sakit. Dia bercerita, anaknya dihantar belajar agama. Sekarang sudah jadi ustaz. Jadi orang bijaksana. Anaknya cuma yang satu itu diharapkan. Tapi bagai menunggu insan menyentuh pelangi, yang datangnya dari cahaya yang tiada bisa disentuh walau bagaimana sekalipun, anaknya itu tidak pernah tahu untuk menjaga dia yang sudah sering tidak sihat itu. Bahkan, dia sering kecil hati dengan anaknya kerana lebih memikirkan isteri di rumah, daripada memikirkan hati ibunya. Ibu ini berkata, dia cuma diam. Setiap kali anaknya berbicara kasar, dia diam. Setiap kali anaknya mengungkit, dia diam. Dia diam tetapi hatinya hancur. Ibu ini, ibu yang pendamkan segala rasa hati kerana dia lebih tahu, apa yang Tuhan akan rencanakan untuk anaknya itu. Dia sentiasa berdoa agar anaknya itu sedar akan silap melayan dia begitu. Tidak mengapalah kalau yang direncanakan Tuhan adalah bala. Asalkan anaknya sedar akan kesilapan diri.

Di akhir pertemuan, ibu ini berkata "Nak, tidak mengapa kalau kamu tidak hafal al-Quran, yang penting, kamu tahu membacanya dan hati kamu faham firman Tuhan. Dan Tuhan lebih memandang hati kamu, lebih daripada hafalan kamu itu. Ambil kisah anak Mak Cik jadi pengajaran. Agamanya nampak di luar. Di dalam diri, kebaikan hatinya mati walaupun untuk ibunya seorang."


Aku terkedu. Memang sangat terkedu mendengarkan tuturan begitu daripada bibir seorang ibu. Sudah terlalu sakit hatinya sehingga bicaranya membawa maksud, tidak mengapalah anaknya tidak dihantar belajar agama pun, asalkan jadi anak yang baik dan bertakwa.

Pertemuan aku dengan Mak Cik yang sudah separuh abad itu, membuatkan aku harus akui. Belajar agama dan mengamalkannya adalah dua perkara yang berbeza. Sepertinya, seorang lulusan bidang agama, menjadi guru agama, tetapi di hatinya agama itu tidak hidup. Ia cuma bergerak pada tingkahlakunya sahaja iaitu berpura-pura. Ya, itu kepalsuan namanya.

Aku bawa perkara ini kepada perbincangan. Aku mahu tahu fikiran orang tentang isu lulusan agama tetapi tidak mengamalkan agama seperti mana layak dengan kelulusannya. Supaya aku tidak bersifat menghukum, kerana menghukum itu bukan hak manusia. Apa hak kita menghukum orang lain dan mengambil hak Tuhan untuk menghukum? Maka, layakkah kita digelar bertakwa kepada Tuhan setelah kita cuba mengambil hak-Nya?

Beberapa teman menyatakan rasa kecewa dengan isu ini kerana mereka ada bertemu beberapa orang yang tampaknya sangat alim tetapi syaitannya lebih besar daripada orang-orang yang biasa ini. Aku juga pernah ketemu makhluk Allah spesis yang itu.
Kesimpulannya, jangan dilihat orang pada tingkahlaku yang mungkin tampak malu-malu, alim, baik atau apapun imej yang bagus kerana kita tidak pernah tahu hatinya. 


Di sini, aku berbicara secara natural. Tidak menuding jari kepada sesiapa kerana bukan semua orang yang berkelulusan agama yang tidak mengamalkannya. Nanti, ada pula yang menyerang aku mengatakan aku kafir laknatullah atau orang tiada akhlak pula. Ketahuilah bahawa aku tidak peduli cakap-cakap orang. Mengeji aku bermakna kamu mencurah air ke daun keladi. Kalau aku membidas pun, ia tidak bermakna kejian itu telah menggoyahkan pendirianku. Memuji aku juga sama. Tiada apa yang penting bakal kamu dapat. Cuma bezanya ada ucapan "Terima kasih" yang bakal menyusul.

Aku? Siapa aku untuk bercakap soal agama? Aku manusia biasa yang dikurniakan akal untuk berfikir tentang manusia.
Kata Saidina Ali r.a "Jangan dilihat siapa yang berbicara. Tetapi, lihatlah apa yang dibicarakannya."
Dan ini bicara aku.


Yang mana baik, aku ikut. Yang mana buruk, aku utarakan fikiranku sejujurnya. Aku cuma manusia biasa yang membiasakan diri untuk lebih banyak berfikir daripada bercakap ketika keadaan tidak memerlukan suaraku.




* Adakala, keadaan kecil juga memerlukan suara kita. Contoh, berbicara dengan pemandu agar dia tidak mengantuk walaupun terpaksa untuk jadi sedikit sengal. Jya!

2 Bicara Balas.:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum Eja,

Pandangan dari seorang hamba yang kecil seperti saya. ;p

Ya, belajar adalah wajib untuk menjadi manusia. Kerana dengan belajar (walaupun bukan dalam sistem pendidikan yang sempurna), kita boleh sahaja belajar melalui pengalaman dan perkongsian cerita daripada orang lain, hidup kita akan menjadi lebih bermakna.

Tetapi, belajar juga menuntut amalan. Ilmu tanpa amal bererti sia-sia. Tidak kiralah ilmu kita walaupun sedikit, jika diamalkan, ianya menjadi perisa dalam masakan hidup kita. Tetapi, jika disia-siakan ilmu yang kita pelajari, masakan rasa kurang sedap.

Apapun, entri yang menarik untuk dikongsikan. Belajar harus seiring dengan amalan. Barulah nampak sedap masakan tersebut. =)

Sayidah Mu'izzah said...

Waalaikumussalam Hafiz;

Setuju bahawa belajar itu harus seiring dengan amalan.

Ramai lulusan cuma berhenti pada ijazah yang digenggam. Bukan untuk mengamalkan ilmu itu. Atau mahukan pekerjaan yang baik.

Itu yang harus dibaiki pada pemikiran orang kita.