Assalamualaikum...
AKU alami beberapa hari yang lemah semangat kebelakanga ini. Ia buat aku lebih-lebih diam, lebih banyak mengerut dahi, sehingga aku lupa pada orang di sekelilingku. Bahkan adakalanya tidak kisah langsung pada kehadiran mereka. Ia hari yang membuatkan aku termenung jauh memikirkan apa yang aku mahu lakukan dalam hidup sebenarnya. Perkara biasa yang sering berlaku dalam diri kebanyakan anak muda.
Ma adalah nenekku. Seorang wanita yang sentiasa aku jadikan kayu ukur untuk aku menjadi wanita. Daripada Ma, aku diajar apa itu Melayu dan Islam. Kadang-kadang Ma garang. Tetapi, kebiasaan, Ma lebih bersifat lembut dan nasihatnya sangat mudah masuk ke jiwaku. Dan, aku lebih senang melepaskan segala isi hati kepadanya. Ya, dalam hidup setiap orang, tentu saja punya seseorang yang dirasakan sangat disenangi untuk bercerita.
Ma pernah berkata pada aku, Ma kenal aku lebih daripada orang lain mengenal aku. Ya, aku harus akui itu kerana Ma yang melihat bagaimana aku jadi dewasa. Bukan hanya melihat, bahkan, Ma turut susuri jalanku dan hatiku menuju kedewasaan. Ma berpenat-lelah mengajar aku membaca, menulis, mengira, menyekolahkan aku. Langsung tidak pernah jemu belikan aku buku setiap kali aku merengek di mana-mana kedai buku. Setiap kali aku bosan dan sedih, Ma ajar aku untuk ke kedai buku. Dan aku akan ke sana bersama-sama Ma, Ayah De ataupun Cik Ngah. Mungkin kerana itu, sehingga kini, kedai buku adalah tempat perawatan jiwaku yang tidak lepas aku kunjung.
Kata Ma, aku anak yang tegas dan sangat sukakan perkara yang mencabar. Lebih mencabar, lebih aku suka. Aku anak yang kuat pada hati. Aku anak yang teguh pendirian. Aku anak yang garang pada dugaan. Setiap kali dugaan datang, aku garang melawan. Aku selalu berani tidak kenal tempat, yang kadang-kadang buat Ma geleng kepala kerana bimbang. Maka, mengapa aku harus jadi lemah pada hari ini?
Kata Ma lagi, susur dahulu laluan yang sedang aku jalani. Kita tidak pernah tahu apa yang berada di setiap hentian hidup.Yang di hadapan itu adalah ketentuan Tuhan. Jadi, sentiasa mohon kepada-Nya agar yang ditemui adalah perhentian paling baik untuk seorang Sayidah Mu'izzah.
Kata Ma, kalau gundah, kalau sedih, cari Tuhan. Solat jangan tinggal. Al-Quran jangan lupa dibaca. Biar jadi amalan. Kalau sakit, kalau lemah, ayat-ayat Syifa' jangan lepas dari bibir. Ingat, itu yang Ma ajar sejak kecil. Kalau sesat sejauh mana pun, ingat itu yang Ma didik sejak kecil.
Sentiasa cari Tuhan. Tuhan itu sentiasa ada untuk kita.
3.05.2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Bicara Balas.:
saya follow blog awak.. awak seorang penulis ye?? saya ade baca serba sedikit apa yg ditulis oleh awak..
saya ade sahabat .. die pon suka menulis.. mcam awak.. ;)
Thanks Adibah.
Saya penulis biasa saja. =)
Kirim salam saya pada sahabat awak ya. Menulis itu bagus. Terapi minda juga sebenarnya.
Terima kasih sebab sudi jenguk blog saya dan follow blog ni. =)
Post a Comment