Pernah kehilangan? Kehilangan insan tercinta, kehilangan barang kesayangan, inspirasi, haiwan kesayangan dan sebagainya. Seperti yang aku katakan dalam entri lalu, asas hidup kita sebagai manusia adalah sama. Yang berbeza itu adalah jenisnya. Maka, asas hidup manusia adalah kehilangan. Yang berbeza itu, subjek kehilangan.
Aku belum pernah diuji dengan kehilangan yang melibatkan kematian. Tentang itu, Tuhan lebih tahu sama ada aku ini sudah cukup tabah atau tidak untuk menghadapi kehilangan sebegitu. Untuk setakat ini, mungkin sahaja Tuhan tahu, bahawa kalau aku diuji begitu, aku akan jadi orang yang paling sasau.
Namun, Tuhan sentiasa sahaja menguji aku dengan kehilangan-kehilangan kecil yang padaku sudah pun memberikan rasa yang sedikit kucar-kacir. Tentang subjek - subjek kehilangan, ia sukar untuk aku kisahkan dan biar sahaja aku bungkus kemas-kemas dalam kantung ingatan. Biar aku buka saat aku mahu cari pengajaran sahaja dan bukan untuk aku ratap akan ia.
Kita sentiasa mahu bandingkan kehilangan kita dengan kehilangan orang. Kita sebenarnya sentiasa lupa bahawa, setiap orang itu punya bahagian kehilangan masing-masing yang telah Tuhan sesuaikan mengikut mampu dayanya.
Ada antara kita yang kehilangan ibu dan bapa. Maka, mereka berasa itu adalah kehilangan yang tersangat besar, lalu ada yang menyalahkan Tuhan untuk kehilangan itu. Ada yang punya ayah dan ibu tetapi tidak miliki kasih sayang daripada keduanya. Maka, mereka berasa itu yang dinamakan kehilangan kasih sayang. Jadi, apakah bezanya di situ? Ia adalah kehilangan pada asas yang sama iaitu kasih sayang. Subjeknya sahaja pada bahagian berbeza.
Aku juga sedang melihat-lihat akan kekurangan diri. Kekurangan yang tiada pada orang lain. Dan kemudian, aku cepat sedar bahawa, kita ini sama pada kekurangan juga. Bahagian sahaja yang berbeza.
Ambil saja contoh, ada antara kita yang tidak kaya pada harta. Tapi, punya anak yang ramai sehingga terkadang hidup pun hanya sampai pada cukup-cukup makan. Ada yang sangat kaya, tetapi langsung tiada kurniaan zuriat daripada Tuhan dan mereka sangat-sangat inginkannya. Di sini juga, yang kurang adalah subjek yang berlainan, tetapi asas yang sama iaitu rezeki. Anak-anak itu bukankah rezeki yang akan menjaga kita pada hari tua nanti dan mendoakan kita setelah kita pergi? Kalaupun berat suara mereka mendoakan, tentu ada saja waktu-waktu yang mereka aminkan doa yang dibaca imam solat Jumaat. Ya, paling tidak ada yang mengaminkan.
Tapi, kita selalu sahaja mahu menyalahkan Tuhan melalui sikap menyalahkan takdir.
Hampir 24 tahun aku jalani hidup dan kehidupan, aku telah lalui fasa-fasa menyalahkan takdir itu. Dan, setelah aku hadapi dunia luar yang sebegini kasar dan keras, setelah aku mula keluarkan separuh tubuh dan jiwaku daripada kepompong buku semata sejak lebih dua tahun sudah, aku mula pelajari untuk lebih mengenal akan adil Tuhan. Bahawa di luar, Tuhan mengajarku untuk lebih teguh dengan rasa syukur dan tabah. Sehingga aku belajar untuk melihat, sesungguhnya Tuhan jadikan kita punya asas yang sama. Bukan sahaja pada asal kejadian bahkan pada asas kehidupan.
Kita ini kehilangan dan kekurangan pada asas yang sama. Ketepikan sahaja subjeknya. Kita bicara terus pada asasnya. Kalau kita sentiasa bicara pada asasnya, kita akan belajar untuk jadi lebih bersyukur kepada Tuhan yang memberikan segalanya pada daya mampu kita.
*Yang tidak cukup makan itu harus juga sedar, hidup ini adalah kerja keras yang berterusan. Yang kaya itu juga telah bekerja keras dengan berterusan. Maka, asas hidup tetap sama.
Kerja keras berterusan.
2 Bicara Balas.:
Assalamualaikum.
Eja,
Ya, memang benar apa yang dikata. Setiap dari kita memiliki kehilangan dan kekurangan yang sama. Bagaimana kita melihat kekurangan dan kehilangan itu dan menukarnya menjadi kelebihan dan kekuatan kita, itu yang menjadi pokok utama. Apapun, teruskan usaha dan kerja keras yang jitu. Insya-Allah, segalanya akan berhasil. Amin Ya Rahman Ya Rahim.
Hafiz;
Waalaikumussalam...
InsyaAllah...Semoga kita lebih meletakkan adil Tuhan sebagai perkara yang utama dalam menilai hidup dan kehidupan.
Post a Comment