Pages

2.28.2011

DI LUAR INI , AKU LEBIH BELAJAR UNTUK KENAL TUHAN

Assalamualaikum...

ADA sahabat yang bertanya, apa yang telah aku belajar daripada hidup di dunia luar?

Dahulu, ketika zaman sekolah, aku jarang bergaul dengan orang. Juga jarang keluar rumah. Oleh sebab sikapku itu, ada antara rakan yang memberi gelaran Puteri Gua kepadaku. Aku gelak sahaja tanpa fikir, serius apakah pada panggilan itu.

Tetapi, keseriusan itu aku lihat setelah aku menghadapi dunia luar hari ini. Awal dahulu, aku jadi seperti katak yang dikeluarkan daripada habitat semulajadinya ; lembap dan selesa. Aku dikeluarkan dan dijemur di tengah kawasan panas dan tandus sehingga aku tidak dapat sesuaikan diri dengan mudah. Bahasa senangnya, culture shock. Tetapi, alhamdulillah, aku tidak teruk mengalami culture shock di dunia luar ini.

katak biru dari google


Aku dahulu seperti katak yang tidak kenal katak-katak yang lain. Yang beracun, yang tidak beracun, yang berkaki panjang, yang berbentuk bujur, yang bulat, yang gemuk, yang licin, yang merah, yang kuning, yang apa-apa sahaja, tidak aku kenal.

Ohhh... Itu sangat bahaya! Aku melihat bahayanya kini. Bahaya kerana jika tidak kenal semua itu, maka kita akan jadi katak yang awal matinya. Kering. Hangus. Mati katak!

Dahulu aku fikir dengan lurus hati bahawa semua orang itu baik sifatnya. Aku fikir, semua orang berpelajaran itu berhemah dan cerdas dalam kehidupan sehingga aku menyaksikan kegagalan mereka menguruskan kasih sayang dan perasaan. Aku fikir orang yang tidak pakai songkok, kopiah, bertudung itu tidak tahu agama sehingga aku mengerti bahawa hidayah bukan terletak mutlaknya di lidah manusia. Aku fikir orang yang tidak berpelajaran itu bodoh mengurus hidup sehingga aku melihat lelah kudrat mereka mencari rezeki dan kecapi kesenangan. Aku fikir orang yang banyak membaca itu tahu banyak perkara sampailah aku melihat kesombongan mereka yang konon berlagak seperti tahu semua benda sedangkan ilmu manusia cuma setitis air di jemarinya.

Di luar ini, aku belajar kenal yang lurus dan sebaliknya. Aku belajar kenal orang sombong, orang berlagak, orang yang mengharapkan syaitan laknatullah, orang yang lembut sifatnya, orang yang khianat, orang yang jujur, orang yang curang, orang yang celupar, orang yang apa-apa lagi! Apa-apa lagi yang bisa buat kita mati perasaan. Atau mungkin boleh aku katakan, mati awal kerana tekanan jika tiada kekuatan.

Aku sendiri, banyak kali berasa tertekan dengan sikap manusia lain. Awal dahulu, ketika tiba di UIAM, aku tertekan dengan para pelajar undang-undang yang agak sombong, yang ditanya tak berjawab, yang meletakkan mereka sebagai pelajar berstatus paling tinggi di universiti kerana tahu undang-undang. Makluman awal, bukan semua. Dan aku juga kadang-kadang rimas dengan perangai staf admin yang memandang pelajar degree dengan tiada mata. Tertekan! Memang tertekan.

Tapi, perlahan-lahan aku belajar untuk hadapi orang-orang begini.

Masuk bab kerja ; sebagai seorang penulis dan unit trust consultant, lagi banyak perangai baru yang harus aku hadapi. Ditumbuk, diterajang, disepak pada jiwa. Kadangkala, ada tumbuk sepak terajang yang kita tiada layak untuk menerimanya, terpaksa untuk kita terima.

Pun, aku masih belajar sabar kerana aku sudah sampai tahap yang malas mahu ambil kira apa orang mahu dari aku. Tahu kenapa? Mudah. Kita tidak akan pernah dapat puaskan hati semua orang. Kadang-kadang, kita selalu usaha untuk penuhi hasrat orang lain sehingga kita terpaksa lupakan impi hati sendiri. Kita selalu bimbang akan apa kata orang tentang kita sedangkan kita lebih tahu bagaimana diri kita. Lalu kita jalani hidup dengan separuh hati dan kita lupa bahawa manusia tidak akan pernah tahu untuk senyap ; sama ada kita lakukan kebaikan - mereka bising, atau lakukan kejahatan - lagi mereka bising.

Aku adalah orang yang tidak mahu jalani hidup dan kehidupan dengan separuh hati itu. Maka, aku sentiasa berusaha untuk mengutip segala kekasaran manusia dan kekerasan dunia untuk aku lebih teguh pada hati. Aku belajar dan aku cuba cari pengajaran daripada setiapnya.

Tuhan tidak pernah jadikan sesuatu itu sia-sia. Kerana itu Tuhan menyuruh kita memerhati dunia dan isinya termasuk manusia, untuk mengenal Dia.

Maka, inilah jawapannya, bahawa di luar, aku lebih belajar mengenal Tuhan pada kejadian manusia dan alam, dalam diam dan pandangku.



katak ungu dari google


*Aku boleh histeria kalau tengok katak walaupun dalam gambar. Tapi apa yang aku pelajari, untuk berani dengan sesuatu, harus berani mulakan perkara kecil untuk sesuatu itu.
Jadi, nah!
Aku cuba bela katak dalam blog dahulu sebagai langkah kecil.


2.23.2011

KITA INI KEHILANGAN DAN PUNYA KEKURANGAN YANG SAMA

Assalamualaikum...




Pernah kehilangan? Kehilangan insan tercinta, kehilangan barang kesayangan, inspirasi, haiwan kesayangan dan sebagainya. Seperti yang aku katakan dalam entri lalu, asas hidup kita sebagai manusia adalah sama. Yang berbeza itu adalah jenisnya. Maka, asas hidup manusia adalah kehilangan. Yang berbeza itu, subjek kehilangan.

Aku belum pernah diuji dengan kehilangan yang melibatkan kematian. Tentang itu, Tuhan lebih tahu sama ada aku ini sudah cukup tabah atau tidak untuk menghadapi kehilangan sebegitu. Untuk setakat ini, mungkin sahaja Tuhan tahu, bahawa kalau aku diuji begitu, aku akan jadi orang yang paling sasau.

Namun, Tuhan sentiasa sahaja menguji aku dengan kehilangan-kehilangan kecil yang padaku sudah pun memberikan rasa yang sedikit kucar-kacir. Tentang subjek - subjek kehilangan, ia sukar untuk aku kisahkan dan biar sahaja aku bungkus kemas-kemas dalam kantung ingatan. Biar aku buka saat aku mahu cari pengajaran sahaja dan bukan untuk aku ratap akan ia.

Kita sentiasa mahu bandingkan kehilangan kita dengan kehilangan orang. Kita sebenarnya sentiasa lupa bahawa, setiap orang itu punya bahagian kehilangan masing-masing yang telah Tuhan sesuaikan mengikut mampu dayanya.

Ada antara kita yang kehilangan ibu dan bapa. Maka, mereka berasa itu adalah kehilangan yang tersangat besar, lalu ada yang menyalahkan Tuhan untuk kehilangan itu. Ada yang punya ayah dan ibu tetapi tidak miliki kasih sayang daripada keduanya. Maka, mereka berasa itu yang dinamakan kehilangan kasih sayang. Jadi, apakah bezanya di situ? Ia adalah kehilangan pada asas yang sama iaitu kasih sayang. Subjeknya sahaja pada bahagian berbeza.

Aku juga sedang melihat-lihat akan kekurangan diri. Kekurangan yang tiada pada orang lain. Dan kemudian, aku cepat sedar bahawa, kita ini sama pada kekurangan juga. Bahagian sahaja yang berbeza.

Ambil saja contoh, ada antara kita yang tidak kaya pada harta. Tapi, punya anak yang ramai sehingga terkadang hidup pun hanya sampai pada cukup-cukup makan. Ada yang sangat kaya, tetapi langsung tiada kurniaan zuriat daripada Tuhan dan mereka sangat-sangat inginkannya. Di sini juga, yang kurang adalah subjek yang berlainan, tetapi asas yang sama iaitu rezeki. Anak-anak itu bukankah rezeki yang akan menjaga kita pada hari tua nanti dan mendoakan kita setelah kita pergi? Kalaupun berat suara mereka mendoakan, tentu ada saja waktu-waktu yang mereka aminkan doa yang dibaca imam solat Jumaat. Ya, paling tidak ada yang mengaminkan.

Tapi, kita selalu sahaja mahu menyalahkan Tuhan melalui sikap menyalahkan takdir.

Hampir 24 tahun aku jalani hidup dan kehidupan, aku telah lalui fasa-fasa menyalahkan takdir itu. Dan, setelah aku hadapi dunia luar yang sebegini kasar dan keras, setelah aku mula keluarkan separuh tubuh dan jiwaku daripada kepompong buku semata sejak lebih dua tahun sudah, aku mula pelajari untuk lebih mengenal akan adil Tuhan. Bahawa di luar, Tuhan mengajarku untuk lebih teguh dengan rasa syukur dan tabah. Sehingga aku belajar untuk melihat, sesungguhnya Tuhan jadikan kita punya asas yang sama. Bukan sahaja pada asal kejadian bahkan pada asas kehidupan.

Kita ini kehilangan dan kekurangan pada asas yang sama. Ketepikan sahaja subjeknya. Kita bicara terus pada asasnya. Kalau kita sentiasa bicara pada asasnya,  kita akan belajar untuk jadi lebih bersyukur kepada Tuhan yang memberikan segalanya pada daya mampu kita.




*Yang tidak cukup makan itu harus juga sedar, hidup ini adalah kerja keras yang berterusan. Yang kaya itu juga telah bekerja keras dengan berterusan. Maka, asas hidup tetap sama. 
Kerja keras berterusan.

2.21.2011

DIAM DAN BUKU ITU BAHAGIAKU

Assalamualaikum...

Awal pagi Isnin dan aku tidak dapat tidur dengan sempurna. Batuk terlalu kuat dan acap menyebabkan aku asyik terjaga. Ada darah juga yang keluar sedikit. Mungkin kerana tekakku sudah luka. Dan batuk juga buat aku jadi lebih gemar mendiamkan diri.




Ada teman pernah berkata kepadaku "Kalau saya tak tanya tentang awak, Eja, sampai bila-bilalah saya tak tahu apa-apa pun tentang awak. Awak tak pernah nak cerita. Adik-beradik berapa orang. Ayah awak kerja apa. Mak awak nama apa.". Aku juga pernah terima ayat ini "Ada emas dalam mulut awak? Bak sini saya nak jual.".

Aku sebenarnya selalu serba-salah ketika duduk dalam kumpulan sahabat-sahabatku. Mereka bercerita, aku mendengar tapi aku tidak tahu di mana aku boleh menyelit. Aku tidak tahu untuk bercerita seperti dalam blog ini di dalam dunia nyata. Jika duduk dalam kumpulan, aku akan jadi tidak tahu untuk bersembang hal-hal yang biasa dijadikan bualan. Tambah-tambah lagi kalau bergosip. Tambah-tambah-tambah lagi kalau aku tidak faham dengan apa yang dibualkan. Kadang-kadang aku juga lambat pick-up orangnya dengan kiasan dan sahabat-sahabatku akan tertawakan aku dan memanggilku 'Lampi'. Aku cuma senyum. Aku tidak pernah kecil hati untuk itu kerana aku tahu itu gurauan bagi mereka.

Aku cuma tahu bercakap apabila ada soalan. Juga ketika satu-satu isu yang nampak penting diutarakan. Atau ketika menjalankan tugas yang memerlukan perbincangan. Atau ada orang yang meminta pandangan. Aku juga tidak tahu untuk hubungi orang dan bersembang di telefon kecuali ada perkara yang aku tahu untuk dibebelkan.

Terbaru, dua hari sudah, ketika aku duduk dengan empat orang sahabat sambil menikmati makan malam, mereka seronok bercerita tetapi aku lebih banyak diam. Aku dengar apa yang mereka bualkan. Mereka bersembang tentang kerja, pelajaran, minat, kesukaan dan sebagainya. Aku tidak tahu di mana harus aku menyampuk dan bercerita sama. Akhirnya, kerana tidak tahu, pandanganku dialihkan ke wajah televisyen yang berdekatan. Mujurlah siarannya menarik iaitu cerita mengenai seismologi kerana aku sangat minat dengan Geografi Alam.

Antara empat sahabat itu, ada yang perasan akan aku yang diam. Aku kadang-kadang disiku-siku mereka dan mereka bertanya "Ok tak, Eja?". Pastinya aku okey, kerana aku memang diam. Kerana aku bahagia dengan diam walaupun adakala aku bimbang juga kalau-kalau sahabat-sahabatku fikir aku seorang yang sombong. Kemudian, aku terangkan kepada mereka bahawa aku memang diam orangnya melainkan ada soalan yang aku harus jawab. Mereka nampak mengerti dan kemudian, mereka heret aku ikut dalam sembang dengan soalan. Antara soalan yang aku ingat "Apa yang Eja mahu bila hari lahir nanti?". Aku senyum dan aku jawab "Buku." "Buku apa yang Eja suka baca?" dan seterusnya, aku ikut sembang hingga akhir pertemuan.

Dan aku tergelak sendiri dalam hati dengan jawapan 'buku' kerana teringat akan rungutan seorang sahabat lama "Saya ni nak bagi buku kat awak. Nak buat suprise. Tapi pening duk fikir buku apa sebab saya takut awak dah ada buku tu. Buku awak dah sangat banyak."

Ya, selain diam, bahagiaku juga adalah buku. Aku gemar baca sesuatu yang punya falsafah dan berat kandungannya tetapi tidak serabut dan pemerhatiannya harus tajam. Aku sangat mencintai keindahan bahasa dalam karya yang aku baca. Antara keindahan bahasa yang aku peroleh adalah daripada Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan. Jika ianya cerpen, antara penulis muda yang aku kagumi ketajaman pemerhatiannya ialah Aidil Khalid. Dan terbaru, yang aku gemar akan falsafah hidupnya ialah Mitch Albom dengan Tuesdays With Morrie - dan sekarang aku sedang membaca The Five People You Meet In Heaven oleh pengarang yang sama. Tetapi, kelemahanku adalah, aku kurang gemarkan fakta yang menyendat dalam bacaan.

Ya, aku harus bersyukur kerana Tuhan jadikan manusia dengan kebolehan bersastera. Kerana sastera membawa ilmu dan falsafah secara kreatif dan mudah untuk aku hadam. Mungkin ada yang tidak boleh menerima sastera disebabkan oleh definisi-definisi mereka yang tertentu. Tapi, itu bahagiaku selain diam.


*Jadi lebih serba-salah dengan orang yang diam juga. Maka, 'lawanku' harus seorang yang bising untuk jadikan hidup tidak sunyi.

2.19.2011

HIDUP ADALAH KERJA KERAS BERTERUSAN!

Assalamualaikum...


google


Baru lepas kerja. Yeap! Kerja juga pada hari Sabtu. Biasa rehat hanya pada hari Ahad. Hari yang lainnya, kelas dan juga kerja. Tapi, itu yang harus aku lakukan sebagai seorang insan yang punya tanggungjawab yang besar.

Bercakap soal tanggungjawab. Terkadang rasa agak berat untuk digalas. Kadangkala rasa putus-asa. Ditambah dengan bukan sedikit ujian dan dugaan yang datang. Harus hadapi orang yang kadang-kadang suka buat masalah kepada orang lain. Tapi, itu semua tanda Tuhan sayangkan kita. Kerana Tuhan memberi ujian dan dugaan atas daya kita yang mampu untuk hadapi semua itu.

Apapun, asas hidup adalah kerja keras. Tiada kesenangan yang bergolek datang dengan mudah. Tiada kebahagiaan yang terbang hinggap ke hati tanpa ada kesedihan dahulu yang menjadi asas. Kerana Tuhan mahu kita hargai hidup dan kehidupan. Kerana hidup dan kehidupan itu tidak terlalu panjang untuk seseorang insan. Seperti aku, yang entah esok sudah tidak lagi dikurniakan nikmat merasai udara dan pandangan indah.

Hidup adalah tanggungjawab dan kerja keras. Memang adakala ia membuatkan kita menangis sendiri. Mungkin buatkan kita terperuk sepi di kamar memikirkan rasa susah. Tapi itulah hidup. Jatuh bangun, itulah hidup. Sedih gembira, itulah hidup. Setiap manusia punya asas hidup yang begitu. Asasnya sama. Yang berbeza cuma jenis dugaannya.

Tabah sahaja dan terus melangkah!
Semoga ketemu jalannya.

2.18.2011

BAHAGIA ORANG ITU BERBEZA

Assalamualaikum...

happiness from google


Tak sihat lagi.  Itu mode sekarang. Tak apa. Ketepikan soal itu. Yang penting, masih lagi boleh buka mata dan bernafas untuk hari esok. Alhamdulillah...

Setiap orang mahu rasa bahagia. Dan definisi bahagia setiap orang itu berbeza. Ada yang mahu hidup dengan hanya belajar hingga peringkat paling tinggi kerana itu definisi bahagia bagi mereka. Ada yang mahukan keluarga yang besar kerana itu kebahagiaan bagi mereka.

Definisi bahagia aku ialah, aku mahu lakukan perkara yang aku mahu dan aku jiwai perkara itu. Sebagai contoh, aku mahu menulis dan aku rasa bahagia dengan keadaan itu kerana tekanan hilang pada waktu menulis. Jiwa aku sejak dari kecil hingga sekarang ialah menulis. Kalaupun menjadi graduan undang-undang pun, aku tetap akan bekerja sebagai seorang penulis. Aku tiada niat menyambung pelajaran lagi. Jika ada rezeki untuk belajar, bidang undang-undang bukan lagi pilihan. Mungkin ada yang akan berkata bahawa ia merupakan satu kerugian tapi setiap orang punya definisi bahagia berbeza.

Aku juga tidak minat bekerja makan gaji. Tidak berminat bekerja di bawah orang. Mungkin kerana jiwa aku memang sedari kecil suka menyendiri kerana aku biasa sendiri. Aku cucu sulung Ma yang dijaga sejak kecil olehnya. Tinggal sendiri sehingga Ma memiliki cucu-cucu yang lain pun. Duniaku cuma buku. Dan kerana kesendirian itu, aku lebih banyak menguliti kata yang aku karang sendiri. Aku juga jarang keluar rumah bermain dengan anak-anak sebaya. Dan aku, sehingga kini lebih suka diam kecuali jika ada yang bertanya, maka aku akan jawab. Jika tidak, kebiasaannya aku cuma diam walaupun aku berada dalam kumpulan. Tapi, aku bahagia dengan diam itu.

Ada orang bahagia dengan makan gaji. Aku tidak punya hak untuk persoalkan tentang itu. Ada orang bahagia dengan belajar dalam bidang akademik tanpa henti. Ada orang bahagia dengan menyimpang dari kursus yang diambilnya di universiti dengan pekerjaannya kini. Pun aku tak punya hak untuk persoalkan tentang semua itu. Kalau ada yang persoalkan, ada orang rasa bahagia dengan ambil dadah atau buat jahat, minta maaf awal-awal, itu soalan yang tidak serius tentang hidup. Fikir ya, itu adalah perkara yang meletakkan kawat besi di sekeliling hidup.

Bahagia orang itu berbeza.

Mereka lebih tahu kebahagiaan hidup mereka. Dan aku sedar kebahagiaan hidup aku. Sekarang cuma melangkah. Kalaupun nanti tersadung dan jatuh, aku akan bangun dengan caraku. Caraku yang bahagia yang mungkin pada awalnya diperlekeh orang. Tapi, kalau sudah bahagia, mahu dikata apa lagi?

2.12.2011

ASAS HUBUNGAN

Assalamualaikum...

DALAM dunia, ikhlas itu sangat sukar ditemui. Baik dalam bersahabat, perkahwinan, anak- ibu dan bapa, dan dalam apa sahaja hubungan insan.

Aku juga mungkin ada masanya tidak cukup ikhlas dengan sesuatu atau sesiapa. Tetapi, asas hubungan denganku mudah. Tidak mengapa kalau tidak mahu hargai. Tapi aku amat pantang kalau dikhianati. Contoh, aku percaya tetapi orang hancur lumatkan kepercayaan aku. Aku buat baik, di belakang aku dia sebarkan fitnah atau keburukan tentang aku. Itu adalah contoh-contoh pengkhianatan.

Contoh tidak mengharapkan balasan? Mudah. Aku bantu dalam kesusahan, tidak mengapa kalau satu-satu masa aku pula yang dalam kesusahan tidak mahu dibantunya. Kerana, aku yakin sekali dengan Tuhan. Bahawa Tuhan itu sentiasa ada untuk aku, untuk membantuku.


tangan dari Google


Dalam setiap hubungan dengan manusia, bukan manfaat yang boleh aku ambil kesempatan yang aku inginkan. Aku tidak pandai untuk hal-hal sebegitu. Yang aku sentiasa cari adalah manfaat budi pekerti untuk aku tumpangi.  Orang-orang begini akan sentiasa aku ingati. Antara sahabat yang segar ingatanku terhadapnya adalah teman sebilikku yang kupanggil Kakak. Adakala beliau akan membelikan makanan untukku, dan apabila aku mahu bayarkan harganya, beliau menolak. Kata beliau "Beri makan kepada orang itu besar pahalanya." Dan, itulah yang aku pegang sehingga kini. Beri makan kepada orang itu, besar pahalanya. Jika tidak mampu belanjakan makanan yang mewah, cukup sahaja dengan segelas air. Jangan jadi terlalu lokek untuk sesuatu kepada insan lain. Itulah antara baik pekerti yang aku tumpangi daripada sahabatku itu.

Mencari pekerti yang baik yang boleh kita tumpangi walaupun mungkin sedikit. Juga memberi pekerti yang baik agar bisa sahabat kita tumpangi walaupun sedikit. Kukatakan walaupun sedikit kerana manusia itu tiada yang sempurna.

Ya, asas hubungan denganku begitu.

2.11.2011

JUST THE WORDS OF EXHAUSTED

Assalamualaikum...

It is the end of weekday. I've been so stress to chase and catch everything. And I got the bonus too. A really worst bonus whereby I need to confront the troublesome people here.


credit to google


Ohhh...Betapa aku selalu cuba untuk tersenyum. Paksa diri untuk senyum. Dan sebenarnya aku ini sangat tidak sukakan keplastikan diri. Cikgu aku ketika aku berada dalam tingkatan 3 pernah berkata pada aku "Eja memiliki ekspresi wajah yang sangat jujur. Kalau Eja sedih, ia akan jelas pada wajah. Kalau Eja gembira, ia juga jelas pada wajah. Wajah Eja memang tak pandai menipu perasaan Eja." Aku masih ingat, Cikgu Aishah yang kupanggil Cikgu Is.

Itu aku yang bukan plastik. Aku sukakan itu. Kalau aku marah, ia jelas pada wajah. Aku tak perlu bercakap untuk nyatakan kemarahan aku. Cukup hanya diam, dengan api marah hanya terpancar pada wajah. But, it doesn't mean that I don't know how to burst out the fury inside. Dan, harus diingat bahawa gunung berapi selalu senyap sebelum meletup. Ada yang makan beratus tahun diamnya sebelum meletup atau meletus. Ia lebih bahaya daripada marak api biasa.

Aku penat sebenarnya. Penat untuk menghadap orang yang kadang-kadang fikir dia sangat bagus sehingga menghina orang lain. Penat untuk hadapi orang yang selalu fikir dia sangat hebat sehingga memandang orang lain sangat bodoh dan sangat tidak tahu. Tapi, inilah hidup. Kalau tidak ada orang-orang yang berperangai begini, itu bukan hidup namanya. Itu dipanggil kehidupan sesudah dunia iaitu syurga abadi yang tiada bejat dan hanya ada senyum untuk semua.

Dan kalaupun hidup terlalu susah, ia adalah ujian cinta daripada Tuhan. Apakah kuat cinta kita kepada-Nya kerana cinta yang sejati tidak pernah goyah walau sesukar mana kehidupan bersama itu. Dalam cinta insan pun, sama seperti itu. Kalaupun selalu ada yang terkurang, rasa kebersamaan sentiasa akan cuba penuhi ruang kekurangan. Jika tidak mampu, anggap sahaja ia sebagai satu lengkapan pada diri sendiri yang punya kelebihan. Dan, selalu juga ingatkan pada diri bahawa kita tidak pernah sempurna kerana pada satu-satu kelompangan sendiri, yang dicintai itulah pelengkapnya.
Oh, sudah masuk bab cinta Tuhan dan insan. Okey, aku harus berhenti di sini. Cinta bukan mudah untuk dihuraikan kerana ia perasaan dan perasaan adalah perkara paling misteri dalam diri seseorang insan.


Awal pagi Jumaat yang sunyi, dingin dan halus. Cuma belum tenang dan penat masih belum reda. Mahu baca Manzil! Mudahan ketemu tenang dan rehat yang dicari juga jadi pendinding diri dari segala musibah manusia, jin dan syaitan.

2.08.2011

TERUS SAHAJA UNTUK SUATU KETIKA




credit to google


PADA suatu ketika, walaupun gelap, sentiasa percaya ada cahaya akan tiba.

Ketika itu, pohon hati kamu akan terukir namamu dengan rasa percaya pada diri untuk siang esok.
Untuk siang esok, terus sahaja miliki hati baik kamu sebagai seorang anak, saudara, sahabat dan teman.
Terus sahaja, walau kadang-kadang kamu kecewa.

Kerana, pada suatu ketika, kamu akan mengerti bahawa kebaikan hati adalah segala-galanya.



*Experience's thought*

P/S : First time, I saw the pic just now. OMG! Idea ada iras dengan lukisan aku. 
Tapi lukisan di atas lagi cantik dan kreatif.
Tajuk : 7 HEARTS (Aku cuba kira memang ada 7. Huhu...)
Pelukis : Aku tak nampak namanya. ;p
Gambar di atas, ada kaitan ke dengan entri aku?
Aku main ambil je tadi sebab, suka. (^^,)

2.06.2011

DON'T GIVE A DAMN WITH THE ACCENT. CAN I SAY THAT?

Assalamualaikum...

Biasa dengar mat saleh celup bercakap? Aku belajar di UIA. Maka, memang akan biasa dengar mat saleh celup bercakap. Okey. Definisi mat saleh celup bercakap adalah, bila bercakap bahasa Inggeris, accent nya terlebih dan juga gediknya terlebih. Bila gedik terlebih, maka sukalah nak merendah-rendahkan orang yang kononnya tak ada accent macam aku ni.

Contoh ayat bersekali dengan nada penuh gedik,  "Your English sounds pure Malay. You should learn some accent" Paling tidak aku pure Malay. Tak adalah sampai jadi the fake American and non-pure Malay. So, you make yourself become totally fake, huh?

Duk bercakap-cakap dengan accent yang bagusnya itu, tiba-tiba boleh pula tak cukup vocabulary nak bercakap. Ohhoo... So, can I say, don't give a damn with the accent? Bukanlah tak bagus bercakap bahasa Inggeris dalam accent yang sedap didengar. Tapi, janganlah sampai duk mengejek orang lain. Itu yang jadi tak bagus tu.

Accent ada, tapi vocab tarak, mesej tarak sampai juga. So, it's so futile lah kan. Daripada duk nak meniru accent orang putih, baiklah pi hafal kamus supaya bila bercakap, tahu perkataannya dan tak adalah separuh jalan je bercerita.

Just short update from me who have no accent and have poor vocab yet got the worst grammar.



*Wait a minute. Malay accent is the accent too, right? =P

2.04.2011

KEBAIKAN HATI ADALAH PUNCAK PERASAAN INSAN

Assalamualaikum wbt...

Aku sudah deactivate FB aku sekali lagi semalam. Namun, aku aktifkan kembali setelah Tuhan jentikkan aku ingatan pada seorang sahabat yang kini berada di Kaherah, Mesir. Beliau sedang melawat kota purba itu bagi menghabiskan masa cutinya.

Dan, kota Firaun itu pun bergolak.

Rusuh politiknya jadi gawat.

Aku cuba-cuba intai sahabatku ini di FBnya. Nyata, beliau selamat. Alhamdulillah... Namun, aku masih gusar dengan keadaan yang tidak menentu di sana. Dengan talian komunikasinya yang dimatikan, urusan perbankan yang dihentikan, juga perintah berkurung itu, buat sesiapa sahaja yang punya anak, saudara, sahabat dan apa sahaja hubungan kemanusiaan, jadi resah.

Doktor Faisal. Itu yang kugelarkan padanya sementelah beliau seorang pelajar perubatan di Volgograd, Russia. Bukan sekadar gelaran tetapi itu juga kuanggap doa untuknya semoga beliau jadi doktor yang berjaya dunia dan akhirat. Persahabatan kami sudah masuk ke usia 11 tahun jika ikut kiraan dari darjah 5. Tapi aku rasa, aku kenal beliau sebelum darjah 5 lagi. Sehingga kini kami masih berkawan baik walaupun terputus hubungan beberapa tahun lepas. Beliau juga antara sahabat yang sentiasa sudi membantu aku dalam mencari maklumat tentang bidang perubatan dalam usaha mengusaikan kerja penulisanku.

Dalam waktu gawat ini, aku belajar sesuatu yang baharu daripada persahabatan kami. Dalam waktu beliau jauh di bumi Mesir yang sedang bergolak, dengan keluh-kesah memikirkan keadaan kewangan untuk melalui pemindahan dari Kaherah - Jeddah - Kuala Lumpur - Moscow, aku adalah sahabat yang tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengirim doa.

Aku katakan pada beliau, aku tiada mampu membantu dari segi kewangan. Tetapi, doaku sentiasa ada untuknya juga umat Islam yang lain. 

Beliau menulis sesuatu di status FBku, "Kalau nak deactivate, jangan sampai lost contact eh..saya tak nak kehilangan seorang sahabat seperti anda.."

Aku berjeda sebentar dan memusing-musingkan bulat fikir yang tidak sebesar mana. Teringat pesan ummi agar berbuat baik kepada semua orang. Dan kata-kata Doktor Faisal adalah buktinya. Oh, lisan ummi terlalu sakti!

Kata-kata Doktor Faisal buat aku tahu bahawa dalam persahabatan, seringkas kata boleh jadi penawar mujarab rusuh diri, juga mampu jadi bisa membunuh nyawa percaya dan kebaikan hati walaupun seculin, adalah segala-galanya.

Kebaikan hati itu adalah puncak perasaan insan. Cinta dan kasih sayang itu datang dari sana. Ikhlas dan kemaafan juga datang dari sana. Ia terlalu tinggi dan untuk tiba, manusia memang perlu mendaki gunung fikir. Kalau gelincir, harus teguh berpaut pada tali akal. Kerana hati dan akal itu harus sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan.

Kebaikan hati juga tiada corak tagihan balasan. Ia putih seperti awan. Kalaupun rapuh, ia cuma ada tangisan. Dan tangisan itu bukan sendu lemah. Ia sekadar guyuran kecewa yang tidak lama, jatuh ke bumi dan kemudian kembali ke langit, muncul lagi sebagai kebaikan hati.



*Sesudah hujan, bianglala tersenyum. 
Kamu semua sahabatku, adalah warna-warninya yang tiada jalur tambah.

2.03.2011

DUNIA DAN PENGKHIANATAN

Assalamualaikum...

Sekarang pukul 4.30 pagi. Dan aku baru habis study. Tiba-tiba aku terfikir-fikir apa yang aku bualkan dengan ayah aku dua hari lepas.

"Biasalah tu kena khianat dengan kawan, dengan orang yang tak suka kita. Ke mana-mana pun akan ada orang macam tu."

Memang apa yang ayah aku cakap itu betul. Aku fikir sepanjang aku hidup hampir 24 tahun, memang aku selalu berdepan dengan pengkhianatan orang. Dan akhirnya itu membentuk diriku seperti hari ini. Aku jadi serik untuk terlalu baik atau lembut hati dengan sesiapa pun. Selama aku diam, orang fikir aku seorang gadis yang mudah dilambung-lambung, ditolak ke tepi, ke tengah, ke atas, ke bawah, ke mana-mana sahaja.

Pernah di zaman sekolah, seorang kawan yang berkawan denganku sejak sekolah rendah berkata, aku adalah orang yang paling baik yang pernah dia jumpa sebab selalu sabar dengan kerenah orang. Aku selalu diam pada perbuatan orang terhadapku termasuklah perangainya yang panas baran. Itu kata-katanya ketika kami sama-sama menuntut dalam tingkatan 6.  Tak tahulah apa maksudnya, sama ada pujian ataupun kritikan. Aku masih ingat, waktu itu dia datang menghampiri aku yang sedang menung jauh di koridor di hadapan kelas. Ya, aku selalu tuli pada tajam lidah orang. Juga sering buta pada kejam laku orang. Memang nampak macam bodoh.

Entahlah.

Aku jarang mahu bercerita masalahku pada keluarga. Mungkin sebab aku anak sulung, maka sense of independant itu agak kuat dan aku pun jenis yang tak berapa suka bercerita masalah.Tapi, dua hari lepas aku mampu bercerita.

Kata aku pada ummiku, juga dua hari lalu "Sekarang Eja tak mahu lembut dengan orang. Kalau lembut, orang fikir kita senang nak kena tenyeh. Nak jadi kejam sikit."

Ummi aku tergelak dan kemudian berkata "Jangan macam tu... Buat baik pada semua orang. Orang yang khianat kita tu biarlah. Serahkan pada Tuhan. Hidup dengan ramai orang, macam tu lah." 

"Dah, orang selalu ingat kita baik sangat sampai orang suka hati buat kita macam-macam."  Aku bantah begitu.


Aku anak yang selalu degil. Selalu perlukan masa untuk berfikir.
Dan pada pagi berembun dingin ini, aku harus akur dengan kata-kata ummi dan ayahku, setelah difikir-fikir, bahawa ke mana-mana sahaja pengkhianatan memang ada. Walau betapa keras pun hati kita, atau betapa baik pun hati kita, dunia ini memang penuh dengan pengkhianatan.

Sekadar kongsi dapatan dari apa yang aku fikir tentang kata-kata nasihat ummi dan ayahku.

Apa yang harus kita lakukan adalah reda dan ikhlas dengan hati yang teguh berserah kepada Allah swt.

Subuh Khamis yang indah. Reda dan ikhlas saja pada setiap orang kerana Allah.


*Oh, dan tiba-tiba track yang tiba adalah lagu  
Aku Merinduimu - Devotees ft. Naz Far East

2.02.2011

A REALLY CUTE YEAR!

Assalamualaikum...

It's the Chinese New Year eve!!! And this year is the year of RABBIT! Sebab tu ada gambar arnab ni. Heheh...

Comellll!!!


Okey. Just a short update. Kenapa aku nak sibuk-sibuk pasal tahun arnab kan? Sebelum ni mana ada tulis pasal tahun naga ke, lembu ke, harimau ke... Sebabnya, tahun arnab adalah tahun kelahiran aku mengikut Kalendar Cina.

Aku pun tanya kawan aku yang berbangsa Cina. Namanya Amy Kwok. Saja nak tambah ilmu pengetahuan tentang masyarakat Cina.

"Amy, Eja lahir tahun Arnab! What does it mean?"


"That's why you are so cute!

Rabbit is one of the most stylish creatures of the Chinese Animal Signs. They have a burning desire to get out there & live life to its fullest. They are active & adventurous, love anything that sparks their creativity or curiosity. They are also very charming =)"


Itulah jawapannya. Amy ni memang pandai ambil hati orang. Kalau ke wall FBnya tak pernah lah nampak negative words. Semuanya positive and sweet.

Anyway. Itulah kepercayaan untuk orang yang lahir tahun arnab. Jadi, kepada sesiapa yang lahir tahun 1987, tahun arnab adalah tahun kita. Ada lagi beberapa tahun yang tahun arnab. Tapi aku tak ingat. Yang aku ingat tahun aku jelah.

Dan, aku pun baru tahu bahawa kalendar Cina adalah Kalendar Lunisolar iaitu gabungan unsur takwim qamari dan juga takwim solar. Kiranya bulan dan bintang bersatu lah. Senang cerita. Itu yang aku fahamlah selepas berWiki tadi.

Gambar arnab tu aku ambil dari FB Amy. She's tagging me that pic cause I really love that bunny. And the bunny is my year!

First time ever; I draw a rabbit. Peluh-peluh lukis. Huhu...

Thanks Amy Kwok for the info about the year of rabbit! It's a pleasure to have a friend like you. (^^,)



HAPPY CHINESE NEW YEAR 
TO ALL OF MY CHINESE FRIENDS!
 


*Tak boleh nak bela arnab secara realiti sebab ada resdung. Bela arnab dalam blog jelah. Wuwuw...

2.01.2011

TUESDAYS WITH MORRIE by MITCH ALBOM

Assalamualaikum...

Today is the book review session. I just want to share a really inspirational book wrote by Mitch Albom, Tuesdays With Morrie. Aku tak tahu kenapa kali pertama pandang buku ni, aku dah tertarik. Itu belum belek lagi. Such a magnetic power that pull me towards it. Tapi, alhamdulillah, ada orang sudi hadiahkan buku ni pada aku. Yang atas tu, english version. Aku punya Malay version. Sebenarnya aku nak yang english version sebab bagi aku kalau baca buku dalam bahasa asal, ia lebih dijiwai. But, it's ok. Rezeki aku dalam bahasa ibunda. Alhamdulillah...


RM 16.50 , TERBITAN PTS

This books is about an old professor named Morrie. He suffered from ALS, the acronym for Amyotrophic Lateral Sclerosis. ALS ni adalah penyakit saraf atau lebih tepat, motor neuron disease. Penyakit ni akan lumpuhkan anggota badan manusia sedikit demi sedikit, dan akhirnya, si pesakit akan meninggal dunia. So that's what happened to Morrie.

Suprisingly, this book is not telling us about death. Betul, ia cerita tentang seorang lelaki yang menghampiri kematian. Tapi, ia bukan tentang kematian itu. Morrie said "When you know how to die, you will know how to live" sebab, hanya orang yang dekat dengan kematian akan menghargai kehidupan. Bila dah dekat nak mati barulah rasa nak kerja betul-betul, nak sayang orang yang sayang kita, nak beritahu orang tu kita sayang dia, nak makan tu, nak buat ni. Betul? Jadi, ia merupakan pelajaran tentang kehidupan daripada seorang lelaki yang sedang menuju kematian.

Novel ini juga mengajar kita untuk bersyukur dengan apa yang kita ada dan nikmati apa yang kita ada itu sesungguhnya. Kata Morrie "Mitch, kalau kamu hendak menunjuk-nunjuk dengan orang di atas kamu, lupakan saja. Mereka akan tetap memandang rendah kepada kamu. Dan, kalau kamu mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang lebih rendah daripada kamu, pun lupakan saja. Mereka akan mencemburuimu. Status tidak membawa kamu ke mana-mana. Hanya hati yang lapang dan terbuka sahaja akan meletakkan kamu sama rata dengan mereka."

Itu adalah pemerhatian yang benar sekali bagi aku. Dan aku mula banding-bandingkan kata-kata itu dengan kehidupan aku sendiri. Apa yang aku kejar? Adakah mahu menjadi yang pertama dalam semua perkara? Dan yang pertama itu kemudiannya tidak membenarkan aku nikmati hidup dengan tenang? Atau mungkin menjadi orang yang kaya-raya, dan kemudian duit mengajar aku untuk pandang rendah pada orang lain dan membentuk jiwa aku jadi seperti duit yang sentiasa turun nilainya dek inflasi dan menyeksa orang lain yang tidak dapat memiliki walau seketul ayam goreng sekalipun?

Pelajaran tentang hidup terlalu banyak dalam Tuesdays With Morrie. Aku tidak boleh bercerita tentang itu dengan rinci. Jika aku ceritakan, ia sama seperti aku plagiat buku itu di sini. Maka, ada baiknya pergi beli sendiri di mana-mana kedai buku seperti MPH, Popular, atau BookXcess di Petaling Jaya. Itu antara kedai buku yang selalu jadi mangsa lepak aku. Kalau nak beli versi bahasa Inggeris, yang mana dekat dengan Petaling Jaya tu, pergilah ke BookXcess di Am Corp Mall, Tingkat 3. Memang kalau ke sana, aku jadi rambang mata sebab bukunya walaupun import tapi harga murah. Even hardcover.

Tuesday With Morrie pun ada filemnya. Boleh cari kat Youtube.


Aku pun baru tahu tadi. Itupun ada adik yang baik hati maklumkan pada aku. Thanks, Dik Izzati Rahim!


Okey, itu serba sedikit yang aku boleh cerita pada semua. Aku akan beli yang versi bahasa Inggeris pula dan tok sah nak cakap aku duk membazir sebab penggila buku memang macam ni. Tanyalah mana-mana orang yang suka membaca, mereka memang sanggup beli dua tiga buah buku yang sama dalam bahasa yang berlainan (dan bahasa yang sama juga). That's our life and we really appreciate it. Ia lebih kurang sama macam beli tudung bawal warna pink, tapi design lain-lain.

Bye!


*Lebih rasai kehadiran Morrie daripada Mitch yang menulis buku itu.  
Both double M did a really good job!